Kumpulan gadis pop sensasi Malaysia, Dolla, bukan sahaja berjaya melancarkan single terbaharu mereka, "Question", malah turut mengumumkan perancangan besar untuk melangkah lebih jauh pada tahun 2026.
Dalam usaha memantapkan kedudukan mereka di rantau ini, Dolla menetapkan sasaran untuk melancarkan album baharu dan mengembangkan kehadiran mereka ke seluruh Asia Tenggara.
"Kami sangat teruja untuk berkongsi lebih banyak muzik dan berhubung dengan peminat di luar Malaysia," kata Angel mengenai aspirasi kumpulan itu untuk tahun mendatang.
Namun, sebelum tahun 2025 melabuhkan tirai, para peminat boleh menyaksikan persembahan bertenaga mereka secara langsung dalam konsert yang dinanti-nantikan, "Good Girls Gone Bad", yang akan berlangsung pada 6 Disember 2025 depan.
Seiring dengan perancangan masa depan yang mengujakan, Dolla kembali menggegarkan industri muzik tempatan dengan pelancaran single terbaharu dan video muzik mereka, "Question", pada 6 November 2025 lalu, bertempat di The Campus, Ampang.

Dari kiri: Angel, Tabby dan Sabronzo.
Lagu pop ini bukan sekadar melodi menangkap telinga, malah ia menjadi simbol kematangan seni mereka dengan menyelami perasaan sebenar pengkhianatan, patah hati, dan yang paling penting, proses berdepan dengan kelemahan diri sendiri selepas dikecewakan.
Pada pendengaran pertama,"Question" mungkin kedengaran seperti lagu konfrontasi terhadap pasangan yang curang, namun ahli Dolla, Tabby, menjelaskan bahawa maksudnya jauh lebih mendalam.
"Lagu ini tentang berdepan dengan pasangan yang curang, tetapi pada intinya, ia tentang berdepan dengan perasaan sendiri.
"Ia tentang membenarkan diri untuk rasa sedih dan terdedah, untuk jujur dengan emosi sendiri tanpa menyembunyikannya,” kata Tabby.
Ditulis bersama oleh Justin Seow, Kuizz, Aziz Harun, serta ahli Dolla, Tabby, Sabronzo, dan Angel, lagu “Question” menampilkan gabungan bertenaga antara penceritaan lirik yang kuat dan melodi yang mudah diingati, memperlihatkan kematangan seni Dolla yang semakin berkembang.

Menurut Tabby, mereka telah mengubah suai beberapa bahagian instrumental dan lirik demo awal yang diterima daripada Kuizz dan Justin bagi memastikan emosi yang ingin disampaikan benar-benar menyerlah.
“Kami menerima demo yang luar biasa daripada Kuizz dan Justin dengan korus yang sangat ‘catchy’. Kami memang mencari sesuatu yang lebih lirik dan mudah dikaitkan kali ini.
"Kami telah mengubah suai beberapa bahagian instrumental dan beberapa lirik untuk memastikan emosi benar-benar menyerlah. Bekerja dengan mereka di studio memang menyeronokkan -- keseluruhan prosesnya sangat mengujakan!” jelas Tabby.

Dolla mendapat bimbingan gerak tari dari koreagrafer Thailand, Akkaraphol Prompen (kanan).
Menyertai kekuatan muzik, single ini turut diperhebatkan dengan tarian koreografi yang dinamik dan memukau, hasil sentuhan koreografer berbakat dari Thailand, Akkaraphol Prompen.
Sabronzo menerangkan, gaya koreografi ini menggabungkan pergerakan feminin dengan formasi yang unik dan peralihan yang terancang, selari dengan sikap yakin dan ceria lagu tersebut.
“Koreografi untuk Question terbentuk dengan cara yang sangat mengujakan. Akkaraphol Prompen yang sangat berbakat membawa perspektif baharu kepada rutin ini,” tambahnya.
Single ini turut dimantapkan dengan pelancaran video muzik (MV) yang berani dan memukau secara visual, berkonsepkan suasana diner retro dirakam di Fowlboys, The Campus.
Angel berkongsi cabaran penggambaran yang dilakukan di luar waktu operasi jadi jaduallnya agak ketat namun mereka berjaya.
"Kali ini, kami juga mempunyai pelakon lelaki yang memainkan watak teman lelaki kami semua, yang curang dengan satu sama lain.
"Video itu menunjukkan sisi kami yang ganas dan suka bermain apabila kami berkonfrontasi dengannya malah menyeret versi mininya,” ujar Angel.
Melalui visual yang penuh gaya ini, Dolla berjaya menukar rasa dikhianati menjadi lambang kekuatan, disampaikan dengan keyakinan dan gaya khas mereka. - KitaReporters
