Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru supaya persatuan-persatuan silat di negara ini bersatu di bawah panji Pendekar Madani dan segera menubuhkan cawangan dari peringkat sekolah sehinggalah ke pusat pengajian tinggi.

Sejajar dengan itu, peruntukan segera sebanyak RM2 juta diumumkan oleh beliau bagi menyelaras gerakan menyatukan semua pertubuhan silat itu di bawah panji dan semangat Pendekar Madani, yang bertujuan untuk mengangkat martabat pusaka agung bangsa Melayu itu.
Malah kata beliau, dana yang diluluskan ini mampu untuk menyemarakkan lagi gelanggang silat di sekolah, politeknik, universiti dan institusi pendidikan seluruh negara.


Pada majlis Himpunan Pendekar Madani bersama 10,000 anak-anak Pendekar Madani daripada pelbagai persatuan silat telah diadakan di Politeknik Seberang Perai (PSP) pada Selasa, 16 September 2025, Anwar turut ditabalkan sebagai Imam Khalifah Agung 'Sri Buana Simanjakini Gangga Chula Sakti'.
Lebih menarik lagi, himpunan tersebut turut dihadiri pesilat-pesilat cilik, remaja dan veteran dari pelbagai pertubuhan silat dan negeri.
Aksi pesilat remaja dengan paparan 'Silat Benci Buli' turut mendapat perhatian dan tepukan gemuruh para hadirin. Selain itu aksi dan kostum tanjak dan tengkolok yang pelbagai turut menceriakan lagi himpunan.


Sementara itu, Perdana Menteri berkata, sejarah gemilang Kesultanan Melayu Melaka mengajar kita bahawa kekuatan bukan sekadar kuasa, tetapi kerana ilmu, kepintaran, akhlak, teknologi dan disiplin yang kental.
"Itulah semangat yang mesti kita hidupkan hari ini, yakni semangat yang membenci kezaliman, menolak penindasan dan menjulang maruah bangsa.
"Sehubungan itu, saya tegaskan bahawa semangat Pendekar Madani bukan untuk kita bermegah atau bersikap angkuh, tetapi melatih akhlak, menanam hormat sesama insan tanpa mengira kaum dan mengasuh jiwa supaya gagah dalam kehidupan. Jiwa yang bersih dan akhlak yang mulia harus menjadi benteng sebenar kekuatan kita," jelas beliau dalam hantar Facebook rasminya.
Menurut Anwar, beliau sempat untuk menimba ilmu persilatan daripada tiga tokoh besar iaitu Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman, Ustaz Hanafi Ahmad dan Dato’ Dr Raja Abdul Majid Raja Mat Isa (Pak Ndak Majid).
"Dari mereka saya belajar bahawa kehebatan silat tidak hanya pada sepak terajang semata, tetapi pada disiplin, akhlak dan adab menghormati sesama manusia.
"Matlamat Pendekar Madani bukan sekadar melahirkan pesilat yang tangkas tetapi membentuk generasi muda berdisiplin, berakhlak mulia, berjiwa besar dan berbangga dengan pusaka bangsa," tambahnya.


Dalam majlis ini juga, Anwar menerima penghormatan menerusi pertabalan sebagai Imam Khalifah Agong “Sri Tri Buana Simanjakini Gangga Chula Sakti” oleh Pak Ndak Majid.
"Pengiktirafan ini adalah amanah yang melambangkan keluhuran warisan silat serta kesinambungan perjuangan bangsa yang tidak pernah putus sejak turun-temurun," ujar beliau.
"Persahabatan ini saya hargai sebagai lambang keikhlasan dan bukti bahawa silat adalah ikatan persaudaraan serta perjuangan yang merentas masa.


