Seni & Sukan 13 Oct, 2025

Anak Perlis! Cipta nama di Kedah! Bantu julang Piala Malaysia pertama! Husin Jaafar dalam kenangan!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

PADA 1990, selepas tiga tahun berturut-turut (1987, 1988 dan 1989) dikecewakan oleh pasukan Kuala Lumpur, skuad bola sepak Kedah akhirnya menjulang Piala Malaysia buat pertama kali, menewaskan Singapura 3-1 pada perlawanan akhir di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.


HUSIN meninggal dunia selepas 20 hari menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.


Antara watak penting yang membantu Kedah memecah kebuntuan itu adalah Husin Jaafar, pemain kelahiran Perlis yang berhijrah ke Jelapang Padi pada 1987 atas usaha pengurus pasukan Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil.

Husin adalah antara watak yang memainkan peranan besar pada era kebangkitan Kedah pada lewat tahun 1980-an dan awal 1990-an hasil revolusi dilakukan oleh Ahmad Basri yang dianggap sebagai Bapa Pembangunan Bola Sepak Kedah.


HUSIN Jaafar (berdiri dua dari kanan) bersama skuad Kedah.


Ahmad Basri sendiri ketika mengulas kehadiran Husin ke dalam skuad Kedah menganggap penyerang dari Perlis itu sebagai pelengkap pasukan berkenaan.

“Sekarang barisan kami lengkap dengan adanya Husin. Gandingannya dengan Norazam (Ishak) pasti hebat,” kata Ahmad Basri seperti dilaporkan majalah Arena Bolasepak.

Bagi Husin pula, Kedah adalah pilihan yang tepat berbanding Sarawak dan Pahang yang turut membuat tawaran kepadanya. 

Selain faktor gaji, kedudukan Kedah yang berjiran dengan negeri kelahirannya, Perlis juga antara sebab dia memilih negeri itu.

Difahamkan, Husin menerima tawaran gaji sebanyak RM800 sebulan di Lembaga Padi Negara (LPN) Alor Setar berbanding RM300 sebagai buruh di Tasik Cement, Perlis.


LAPORAN majalah Arena Bolasepak mengenai penghijrahan Husin ke Kedah.


“Saya yakin dapat mempertingkat permainan dengan menyertai Kedah. Walaupun ia sebuah pasukan kerdil tapi mempunyai potensi besar.

“Beberapa pemain Kedah dalam pasukan Harimau seperti Ahmad Sobri (Ismail), Norazam Ishak dan Radhi Mat Din adalah pemain yang berkebolehan.

“Lagipun saya sudah cukup mesra dengan mereka. Ini akan memudahkan saya dalam proses menyesuaikan diri,” ujar Husin dalam temu bual bersama Arena Bolasepak.

Ternyata kehadiran Husin memantapkan lagi pasukan Kedah sehingga berjaya layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia empat tahun berturut-turut. 

Walaupun dikecewakan Kuala Lumpur pada 1987, 1988 dan 1989 tapi skuad yang ketika itu dikendalikan oleh Milous Kvacek akhirnya menjulang Piala Malaysia pada 1990.

Pada Jumaat, 10 Oktober, 2025, Husin meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru selepas 20 hari menerima rawatan.

Allahyarham dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan selepas dilaporkan mengalami jangkitan kuman pada paru-paru ketika berada di Johor sebagai jurulatih pasukan bola sepak Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) bagi kejohanan Jabatan Agama Islam seluruh Malaysia.


HUBUNGAN Husin (kanan) bersama Faridzuan (tengah) dan Ahmad Sobri (kiri) kekal akrab selepas bersara daripada bola sepak. - Kredit foto: KFA.


Bagi bekas rakan sepasukan Allahyarham, Faridzuan Che Hamid, kematian Husin adalah satu kehilangan besar kepada bola sepak negara khususnya Kedah.

“Walaupun dilahirkan, membesar dan memulakan karier di Perlis, namun hakikatnya Abang Chin (panggilan kepada Husin) adalah legenda bola sepak Kedah.

“Peminat akan lebih mengingatinya sebagai pemain Kedah walaupun dia pernah bermain dengan pasukan lain selepas itu termasuk kembali mewakili Perlis,” kata Faridzuan.

Meskipun tidak berpeluang bergandingan dengan Husin di atas padang tapi pemain itu memainkan peranan besar dalam membentuk karekter Faridzuan sebagai penyerang bola sepak.

“Ketika mula menyertai Kedah pada 1991, peranan saya lebih sebagai back-up kepada Husin, selalunya saya akan masuk sebagai pemain gentian kepada dirinya.

“Walaupun saya boleh dianggap sebagai saingan kepada dirinya tapi Abang Chin tidak pernah meletakkan saya sebagai ancaman sebaliknya dia banyak berkongsi ilmu, tips dan nasihat untuk menjadi seorang penyerang.


KEDAH menjulang Piala Malaysia buat pertama kali pada 1990.


“Satu pesanan Abang Chin yang saya ingat sampai sekarang adalah supaya saya bersabar dalam permainan. 

"Kadang-kadang sebagai penyerang, pertahanan lawan kerap melakukan provokasi supaya kita hilang tumpuan. Abang Chin nasihat saya supaya tenang.

“Malah, katanya, bila di depan gol jangan gopoh atau lepas geram nak jaringkan gol kerana ia boleh mengakibatkan kita tersasar,” katanya.

Pada 1992, Husin meninggalkan Kedah dan tempatnya sebagai penyerang utama Hijau Kuning diisi oleh Faridzuan.

Menurut Faridzuan, hubungan mereka tidak putus malah semakin akrab selpas masing-masing menggantung but.

“Setiap kali saya turun ke Alor Setar (dari Langkawi), saya bersama Husin dan Ahmad Sobri akan bertemu, lepak-lepak sambil bercerita mengenai bola sepak.

“Saya akan merasai kehilangannya dan merindui Abang Chin, seorang insan yang sangat baik,” ujar Faridzuan.

Al-Fatihah. - KitaReporters


BEKAS rakan sepasukan, Radhi Mat Din (kanan sekali) menziarahi jenazah Husin. Kredit foto FB Radhi Mat Din.

12
14
1
12
0
You will be interested