Seni & Sukan 16 Jul, 2025

Video| Eternal Love - Timeless Romance! Konsert intim BCL di KL! Janjikan kisah cinta penuh emosi!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: farizaum@yahoo.com

Share this

.

Single terbaharunya, 'Mumulai Kembali'. 


Penyanyi tersohor Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL), bakal kembali menghiburkan peminat di Malaysia dengan konsert terbaharu yang menjanjikan pengalaman intim dan penuh emosi, bertajuk "BCL: Eternal Love - Timeless Romance". 

Konsert anjuran Pulse Project Asia ini yang akan berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 27 September 2025, diinspirasikan daripada pelbagai ‘aroma’ cinta yang begitu dekat dengan penghibur berusia 42 tahun itu. 

Penonton akan dibawa menyusuri perjalanan panjang BCL dalam dunia hiburan, melalui lagu-lagu cinta abadi, balada penuh makna, dan penceritaan intim. 

Antara seleksi lagu yang bakal memukau penonton termasuklah "Cinta Sejati", "Cinta Pertama (Sunny)", "Karena Ku Cinta Kau", "12 Tahun Terindah", sehinggalah single terkininya, "Memulai Kembali". 



Kesemua persembahan ini dijanjikan dengan tata cahaya dan produksi bertaraf dunia bagi memberikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

BCL menjelaskan bahawa setiap konsert baginya merupakan satu bentuk penceritaan peribadi. 

"Setiap kali saya mengadakan konsert, ia merupakan satu bentuk penceritaan peribadi. Saya sering berkongsi tentang kehidupan. Namun, kehidupan sentiasa bergerak ke hadapan. 

"Masih ada bahagian-bahagian dalam hidup yang belum sempat saya sampaikan, dan kali ini saya akan mengungkapkannya melalui rangkaian lagu-lagu dalam konsert ini," kata BCL pada majlis pelancaran konsertnya itu yang berlangsung penuh glamor di Kuala Lumpur pada 14 Julai 2025 lalu.



Beliau turut menyifatkan dirinya kini lebih dewasa dan berevolusi dari segi emosi dan kreativiti.

Majlis berkenaan diperindah lagi dengan kehadiran dua artis undangan istimewa, iaitu penyanyi bersuara emas, Jaclyn Victor, dan pemain biola profesional, Dennis Lau di mana kedua-dua selebriti ini akan menjadi tetamu undangan pada konsertnya. 

Turut hadir Penganjur dan Pengarah Acara, Muhammad Anuar Zaini dari Pulse Project Asia. 

BCL melahirkan rasa bangganya dapat berkolaborasi dengan kedua-dua bintang Malaysia ini waima menyifatkan Jaclyn sebagai antara vokalis terbaik di Asia dan turut kagum dengan interpretasi Dennis Lau terhadap lagunya, ”12 Tahun Terindah". 

Kolaborasi ini juga dilihat sebagai simbol perpaduan seni antara Indonesia dan Malaysia.


Dari kiri: Jac, BCL dan Dennis Lau.


Sementara itu, Muhammad Anuar optimis sebagai seorang penghibur yang  tidak asing lagi di bumi Malaysia, konsert BCL akan disambut hangat oleh peminat yang merindui kemunculannya.

Menurutnya, kedatangan BCL ke Kuala Lumpur akan terus menyemarakkan  ‘aroma-aroma’ cinta yang dibawa menerusi karya-karyanya yang terus subur.

“Perasaan yang anda alami ketika mereka muncul, rasa teruja, meremang bulu roma, itulah suasana dan emosi yang ingin kami bawa ke konsert pada 27 September (2025) di Plenary Hall KLCC nanti,” ujar Muhammad Anuar.



Dalam pada itu pada perkembangan lain, kesibukan kerjayanya tidak menghalang BCL untuk bertemu dengan keluarga bekas suaminya, Allahyarham Ashraf Sinclair yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 2020. 

Katanya hubungan baik itu masih kekal shingga hari ini walaupun selepas pemergian Ashraf, dan keluarga mentuanya turut menerima kehadiran suami baharunya, Tiko Aryawardhana, yang dikahwini pada 2023.

"Kami sentiasa berhubung antara satu sama lain. Bagi saya, ketika saya menjalinkan hubungan dengan Ashraf dahulu saya bukan hanya mencintai Ashraf tetapi juga keluarganya. 

"Keluarganya juga sangat baik dan sentiasa menyokong saya. Malah sekarang mereka turut menerima Tiko sebagai sebahagian daripada keluarga kami.

Beliau melahirkan rasa syukur atas sokongan itu waima bukan semua orang berpeluang merasakannya.

"Hubungan ini dibina sejak awal dengan penuh pengertian, saling hormat dan kematangan. Tiada rasa cemburu atau iri hati. 

"Yang ada hanyalah bagaimana kami boleh saling memberi dan menyokong antara satu sama lain,” akhiri BCL yang kekal dengan seorang anak lelaki bersama Ashraf iaitu Noah yang kini berusia 14 tahun. - KitaReporters


14
11
0
11
0
You will be interested