Seni & Sukan 10 Sep, 2025

Pertahan senjata warisan! Anak muda gigih tempa keris daripada batu kerikil! Berbekalkan kesabaran!

@mohamed sa'ari
Minat bidang penulisan sejak di bangku sekolah. Masih proses belajar.

Share this
Suasana awal pagi 3 September 2025 di sebatang  jalan kecil yang membelah ladang kelapa sawit Felda Tenang, Labis, Johor kelihatan lengang dan damai.  

Angin sepoi bahasa mengalunkan bunyi geseran daun palma yang panjang, sesekali diiringi deruan lori sawit yang sarat muatan. Debu berterbangan, melekat di kulit dan rambut.


Batu kerikil yang banyak terdapat di sekitar jalan ladang kelapa sawit mengandungi besi yang menjadi bahan asas Muhammad Nazrul Saliman atau Along menghasilkan keris.


Di tepi jalan, batu-batu kerikil pelbagai saiz dan kasar berselerakan seolah-olah tiada gunanya. Namun bagi Muhammad Nazrul Saliman, 28,  atau lebih mesra dipanggil Along, batu-batu itu adalah harta tersembunyi. 

Batu-batu yang menyimpan besi, dan dengan ilmu serta kesabaran, boleh ditukar menjadi sebilah keris yang merupakan senjata warisan Melayu yang tidak ternilai.

Ketika mula diberitahu tentang usaha Along menempa besi yang dihasilkan daripada batu kerikil, penulis sukar untuk mempercayainya. 

Bagaimana mungkin sebilah keris yang menjadi simbol kekuatan, maruah, dan kebijaksanaan bangsa boleh lahir daripada batu kerikil yang dipijak setiap hari. Rasa ragu itu membuatkan penulis tekad untuk menjejak Along di bengkel kecilnya.


Batu kerikil perlu dijadikan serbuk halus sebelum boleh dipanaskan di dalam relau.


Memulakan cerita, menurutnya sejak kecil dia sebenarnya sudah terbiasa dengan bunyi besi ditempa. 

Allahyarham datuknya di Dungun, Terengganu adalah seorang tukang besi yang berpengalaman  Setiap kali pulang ke kampung, Along tidak melepaskan peluang memerhati datuknya menempa besi di bengkel.

Bunyi hentaman tukul di atas landasan, percikan api yang melompat, dan bau arang terbakar, menjadi antara kenangan paling kuat yang membentuk jiwanya.

“Minat menghasilkan senjata warisan ini saya simpan lama. Sejak sekolah lagi saya dah terdetik nak cuba buat senjata sendiri.

"Bezanya, datuk guna besi yang  boleh dibeli di pasaran, saya pula cuba cari besi daripada batu kerikil,” kata Along sambil menghela nafas, matanya seakan kembali mengimbau masa lalu.


Along (kanan) dan Salman membuat relau sederhana daripada tanah untuk dijadikan tempat membakar batu kerikil bagi mendapatkan besi.


Perbezaan itulah yang membezakan dua generasi tersebut. Jika datuknya memilih jalan lebih mudah, Along memilih cabaran. Bagi dirinya, kepuasan sebenar datang daripada proses yang sukar.

Saya berpeluang mengikut Along menyusuri jalan ladang mengutip batu kerikil bawah panas terik matahari. Sesekali dia membongkok memilih satu demi satu batu kerikil tertentu. 

Pada mata saya, semuanya sama. Namun Along mampu mengenal pasti jenisnya yang menurutnya mengandungi besi lebih tinggi, ada pula yang rendah.

Kembali ke bengkel, batu-batu itu kemudian dihancurkan menjadi ketulan kecil, sebelum dimasukkan ke dalam relau tanah liat buatan tangan. Relau itu ringkas, namun menjadi nadi kepada keseluruhan proses. 

Proses mengeluarkan ketulan besi yang terhasil daripada pembakaran batu kerikil dengan cara menggali relau tanah liat yang hanya boleh digunakan sekali sahaja.


Ketulan besi yang  masih bercampur bahan serta mineral asing terhasil selepas proses membakar batu kerikil pada kepanasan 1.200 hingga 1,400 darjah celsius selama lebih tujuh jam.


Apabila api dinyalakan, lidahnya menjulang, membakar batu sehingga mencecah suhu 1,200 hingga 1,400 darjah Celsius.
Saya yang berdiri agak jauh dari relau tersebut tetap dapat merasa panasnya yang begitu menyengat. Bau asap arang bercampur debu memenuhi udara.

Selama berjam-jam, kami menunggu sehingga akhirnya terhasil ketulan besi kasar newarna kehitaman yang masih bercampur beberapa bahan mineral lain termasuk tanah. 

Dari situlah bermula kerja berat menempa, memukul, menipiskan, dan melapis sehingga membentuk bilah.

Dentuman tukul bertalu-talu memecah keheningan suasana kampung menghasilkan irama yang ganjil tetapi memukau.
Dalam pembuatan keris, bukan sekadar bentuk bilah yang penting. Corak pamor, jalur unik pada bilah keris adalah identiti sebenar yang terbentuk daripada lapisan demi lapisan besi yang ditempa dan disatukan dengan teknik tertentu.

Ketulan besi tulen dibakar semula berulang kali sebelum di tempa bagi mengasingkan bahan asing dan menjadikannya besi dalam bentuk kepingan besi nipis.


Ketulan besi tulen yang telah melalui proses bakar dan ketuk berulang kali hasil lapisan puluhan kepingan besi nipis sedia untuk ditempa menjadi keris.

“Setiap keris ada jiwa dan falsafah. Corak pamor bukan sekadar hiasan. Ia ada maksud, ada cerita tersendiri. Sebab itu keris bukan senjata biasa, ia lambang bangsa,” ujar Along sambil menunjukkan bilah separuh siap, masih panas dan berasap.

Kata-katanya membuat saya tersedar. Dahulu keris adalah senjata pertahanan diri serta simbol kebesaran raja dan pembesar. 

Hari ini, ia lebih banyak tersimpan sebagai koleksi warisan atau digunakan dalam istiadat diraja. Namun nilainya tidak pernah luntur.

Bengkel Along tidak lebih daripada sebuah ruang kecil beratap zin tidak berdinding berlantai tanah bercampur pasir. Tiada mesin moden, hanya alatan asas seperti tukul, landasan, dan relau tanah liat.

Kerja-kerja awal menempa ketulan besi tulen untuk dijadikan kepingan besi besi nipis sebelum prosese menempa sebilah keris memerlukan kesabaran dan ketahanan fizikal.


“Buat masa ni semua manual. Saya belum mampu beli mesin mahal. Kadang-kadang proses boleh ambil masa sebulan lebih untuk siapkan satu keris,” katanya, wajahnya masih ceria walaupun jelas kepenatan.

Di sinilah Along membina mimpinya. Setiap malam, selepas selesai urusan lain, dia akan kembali ke bengkel. Kadang-kadang sehingga dinihari, hanya ditemani cahaya relau dan lampu kalimantang serta bunyi serangga malam.

Sepanjang berada di sana, saya turut mengenali seorang lagi individu penting, Salman Faris Zaharin, 41, sahabat baik Along. Jika Along mahir dengan bilah keris daripada besi, Aiman pula mahir menghasilkan hulu dan sarung keris.

Proses akhir dalam usaha meghasilkan keris menggunakan kikir secara manual bukannya menggunakan mesin pencanai.


“Saya bersyukur ada dia sebagai sahabat yang menyokong usaha saya ini. Bermula kerja-kerja mengutip batu hingga proses akhir menyiapkan sarung, kami buat sama-sama. Dia tahu jenis kayu yang sesuai, tahu seni ukirnya,” kata Along dengan nada penuh penghargaan.

Gabungan kedua-duanya menjadikan setiap keris lengkap bilahnya, hulu, dan sarung menjadikannya bukan sekadar senjata, tetapi karya seni penuh roh warisan.

Namun realiti kehidupan tidak pernah mudah. Along mengakui, buat masa ini dia hanya mampu menghasilkan keris secara sambilan. 

Pasaran masih terhad, modal pula tidak sebesar mana. Bengkel serba sederhana itu menjadi bukti bagaimana semangat kadang-kadang perlu bertarung dengan kekangan ekonomi. 

“Kalau ikut hati, memang nak buat sepenuh masa. Tapi sekarang belum cukup sokongan. Saya percaya, kalau ada rezeki dan peluang, saya nak jadikan keris batu kerikil ni satu identiti,” kata pemegang Diploma Kejuruteraan Pembuatan, Acuan dan Logam itu penuh harapan. 


Antara bilah keris yang hampir siap sepenuhnya yang dapat dihasilkan melalui kerjasama dua sahabat di Felda Tenang, Labis, johor.


Malam semakin larut ketika Along menutup bicaranya. Api relau sudah malap, hanya bara merah yang tinggal. 

Pada tangan saya, sebilah bilah besi kasar yang belum siap menjadi  bukti perjalanan panjang dari batu kerikil yang dipijak, kepada senjata yang suatu masa dahulu menjadi lambang maruah bangsa.

“Selagi ada tenaga, saya mahu teruskan. Keris bukan sekadar senjata, sebaliknya lambang jiwa bangsa. Kalau bukan kita yang jaga, siapa lagi?” suaranya tegas, namun penuh keinsafan.

Saya meninggalkan bengkel kecil itu dengan perasaan berbaur antara kagum, insaf, dan bangga dengan semangat dan usaha seorang anak muda Felda sedang berjuang mempertahankan warisan bangsanya, dengan hanya bertemankan batu kerikil, api, dan kesabaran yang luar biasa. - KitaReporters

Along meneliti kesempurnaan bentuk dan pamor yang terhasil semasa proses membentuk sebilah keris.


Salah satu keris yang dihasilkan dengan bentuk pamor yang terhasil daripada proses menempa puluhan lapisan besi nipis yang diperolehi daripada batu kerikil.

20
12
0
11
0
You will be interested