Seni & Sukan 16 Jul, 2022

Menongkah ombak ganas! Skuad Hijrah Prihatin TV AlHijrah ke Pulau Aur! Kongsi rezeki, hulur bantuan!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this

Tim Skuad Hijrah Prihatin TV AlHijrah berdoa sebelum memulakan misi.


SKUAD Hijrah Prihatin TV AlHijrah kental menongkah ombak ganas Laut China Selatan selama hampir dua jam demi memastikan misi berkongsi rezeki bersama penduduk kampung Pulau Aur yang terletak di Mersing, Johor dapat dilaksanakan seperti yang dirancang. 

Ketua Unit Integrasi Media & Hal Ehwal Korporat TV AlHijrah, Saifulizan Sidek berkata, kesukaran yang dihadapi Skuad Hijrah Prihatin yang terdiri daripada 15 orang kakitangan TV AlHijrah sepanjang perjalanan ke Pulau Aur tidak sedikit pun mematahkan semangat mereka untuk terus menyumbang bakti kepada masyarakat menerusi program tanggungjawab sosial korporat Islamik (Islamic CSR).


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan stesen TV AlHijrah



Tiba di Pulau Aur yang terletak di Mersing, Johor


“Walau persediaan rapi telah dibuat berbulan-bulan lamanya, namun kita harus akur kepada perancangan-Nya dan perancangan alam semula jadi. 

"Bermula dengan kerosakan kenderaan yang membawa kami ke Mersing, kami terus diuji apabila bot ke Pulau Aur tersadai hampir satu jam lamanya, terumbang-ambing di tengah lautan akibat kerosakan pada bahagian enjin. 

“Namun begitu, semuanya terbayar saat melihat keramahan penduduk pulau menyambut kedatangan kami dengan senyuman. Tambahan lagi dengan keindahan Pulau Aur yang mempunyai pantai berpasir yang indah dan air yang jernih, kami jatuh cinta,” jelas Saifulizan. 


Sumbangan dari rumah ke rumah.


Saifulizan turut berkongsi, Pulau Aur merupakan lokasi ke-47 yang dikunjungi stesen televisyen berkonsepkan Islam itu sepanjang Hijrah Prihatin digerakkan secara aktif bermula tahun 2020, iaitu saat negara pertama kali melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020. 

“Misi selama 4 hari 3 malam, pada awal Julai 2022 yang lalu bukan sahaja mendekatkan diri kami kepada masyarakat setempat, tetapi ini adalah perjalanan rohani yang mendekatkan kami dengan Rabbuljalil. 

"Manakan tidak, misi bantuan ini menguji kemampuan serta tanggungjawab kami selaku khalifah di muka bumi Allah terhadap hak dan kebajikan masyarakat, alam sekitar, para pekerja dan lain-lain. 

“Bantuan diserahkan kepada Ketua Kampung Pulau Aur, Sabinah Mat Seth sambil disaksikan oleh rakan penaja korporat kami iaitu TDC Holding Sdn. Bhd dan Makmur Gold Holding Sdn. Bhd. 

"Antara barangan yang disumbangkan adalah barangan keperluan asas buat penduduk seperti beras, minyak masak, tepung gandum, gula, sardin dan lain-lain. Tidak dilupakan juga peralatan tulis dan buku-buku buat anak-anak di sana,” ulas Saifulizan. 


Sumbangan tangki air bersih kepada Sabinah Mat Seth (dua dari kanan).


Menurutnya lagi, gerak kerja Skuad Hijrah Prihatin sangat berbeza dengan praktis kebiasaan mana-mana syarikat yang terlibat dengan aktiviti CSR.  

Perhubungan awal telah dijalin bersama ketua kampung sebelum turun padang bagi membuat kaji selidik barangan keperluan lain yang mendesak serta amat diperlukan di pulau tersebut. 

“Kami juga sumbangkan tiga tangki air untuk menyimpan air bersih bagi kegunaan seharian penduduk. Turut diberikan adalah khemah untuk kegunaan keraian dan aktiviti kemasyarakatan di sana. 

"Insya-Allah kunjungan susulan juga akan dibuat dalam masa terdekat memandangkan mereka juga memerlukan bot pelbagai guna terutama dalam menguruskan hal-hal kematian dan kecemasan. 


Sumbangan buat anak-anak Pulau Aur diserahkan oleh Saifulizan Sidek (kanan).


“Kami percaya, manusia secara semula jadi adalah berbeza antara satu sama lain dari sudut kekuatan ekonomi, tenaga, ilmu, peluang kehidupan dan sebagainya. 

"Oleh yang demikian, pelaksanaan CSR dapat merealisasikan pembangunan ekonomi dalam Islam serta memperkasakan konsep infak, di mana setiap individu di dalam sesebuah masyarakat akan mendapat hak dan peluang masing-masing untuk merasai kehidupan yang lebih baik. 

“Agensi kerajaan, badan-badan korporat, pertubuhan bukan korporat adalah dialu-alukan untuk bersama-sama TV AlHijrah menjalankan misi Hijrah Prihatin selaku rakan kerjasama strategik,” ujar Saifulizan.


Agihan barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, tepung gandum, gula dan sardin disediakan.


Untuk rekod, siri pertama Hijrah Prihatin telah dilaksanakan di sekitar Lembah Klang yang membabitkan agihan bantuan kepada Badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Imam Response Relief Team (IMARET) dan lima pangsapuri kos rendah (PPRT) pada tahun 2021. 

Manakala sewaktu siri kedua, Hijrah Prihatin menggerakkan misi bantuannya ke Pulau Redang, Pulau Tuba, bantuan petugas barisan hadapan, bantuan anak seni, bubur lambuk Ramadan serta rumah-rumah kebajikan sekitar Lembah Klang. - KitaReporters/Kenyataan Media



 

6
7
0
9
0
You will be interested