Seni & Sukan 29 Jun, 2024

Video| Jaket Olimpik Team Mas hodoh! MOM, Yonex akan baiki! Serlahkan corak harimau, Jalur Gemilang!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai Buletin Utama dan Harian Watan 1994-'96. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (BNC).

Share this


MOHAMAD Norza Zakaria (dua dari kiri) dan Timbalan Ketua Kontinjen, Datuk Nicol David (kanan) pada majlis pelancaran jaket rasmi Team Mas ke Sukan Olimpik Paris di Tun Razak Exchange, Kuala Lumpur, 23 Jun 2024. Hamidin Amin pula lantang mempertahan reka bentuknya malah menganggap cantik pun tidak guna kalau tidak dapat pingat. - Kredit foto: MOM


MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) akur bahawa reka bentuk jaket rasmi kontinjen negara ke Sukan Olimpik Paris 2024 tidak diterima dengan baik terutama kalangan warganet sejak diperkenal pada sambutan Hari Olimpik Malaysia di ibu negara pada 23 Jun 2024.

Justeru MOM memutuskan untuk menambah baik reka bentuk sedia ada bagi melambangkan motif harimau yang lebih jelas pada jaket dan logo MOM yang yang berwarna bagi menghormati status Jalur Gemilang.

“MOM akan berbincang dengan (pengeluar dan penaja jaket itu), Yonex untuk menambah baik reka bentuknya yang melambangkan status negara dan memenuhi harapan rakyat,” kata Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dalam siaran media 28 Jun 2024.

MOM katanya, mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pemegang taruh dan peminat sukan secara umumnya yang mengambil berat mengenai majlis pelancaran dan reka bentuk pakaian sukan rasmi kontinjen Malaysia ke Olimpik Paris 2024 dengan memberi teguran dan pandangan yang membina.

Pakaian ini walau bagaimanapun bukanlah untuk diperagakan kontinjen pimpinan Datuk Hamidin Amin itu pada hari pembukaan rasmi Sukan Olimpik Ke-33 pada 26 Julai 2024 di Taman Trocadero, Paris, Perancis.

Sebagai badan payung semua sukan kebangsaan yang menguruskan pendaftaran dan penyertaan atlet, jurulatih dan pegawai ke temasya pelbagai sukan, MOM mengambil sepenuh tanggungjawab atas kekeliruan yang berlaku, katanya.


OLIMPIAN hoki 1992, 1996 dan 2000 Malaysia, Datuk Mirnawan Nawawi turut bergambar dengan patung yang disarungkan jaket rasmi Team Mas ke Olimpik Paris sempena sambutan Hari Olimpik Malaysia, 23 Jun 2024. - Kredit foto: MOM


Penjelasan MOM:

  • Yonex merupakan penaja pakaian rasmi Kontinjen Malaysia sejak 2014. 
  • Corak dan reka bentuk serta motif pakaian pada setiap kitaran baharu penajaan MOM biasanya mulai Sukan SEA dan berakhir pada Sukan Olimpik seperti rekaan baju Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 hingga Sukan Olimpik Tokyo 2020.
  • MOM menerima maklum balas pelbagai pihak termasuk pandangan atlet yang berpendapat motif dan reka bentuk untuk penyertaan temasya berprestij dan tertinggi seperti Sukan Olimpik, memerlukan pembaharuan.
  • Reka bentuk pakaian rasmi kontinjen Malaysia akan melalui kitaran baharu mulai Sukan SEA Thailand 2025 hingga Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
  • Berhubung logo MOM yang memaparkan bendera Malaysia berkibar ialah sebahagian daripada logo MOM yang merangkumi kibaran bendera Malaysia bersama lima gegelung Olimpik.
  • Logo itu bukanlah bendera Malaysia atau Jalur Gemilang yang dipinda atau diubah suai sesuka hati. Apabila digunakan dalam versi lima warna atau polychrome, gegelung tersebut dari kiri ke kanan berwarna biru, kuning, hitam, hijau dan merah. Biru, hitam dan merah di sebelah atas manakala kuning dan hijau di sebelah bawah. Versi lima warna hanya boleh digunakan pada latar belakang putih mengikut syarat-syarat Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).
  • Andai latar belakang tersebut adalah selain daripada putih, versi  monochrome atau satu warna mesti digunakan. Sebagai contoh jika latar belakang hitam, logonya hendaklah digunakan dengan warna kontra satu warna sahaja seperti putih, kuning atau biru.


JOHNATHAN Wong, penembak Olimpian Malaysia di Tokyo 2021 (kiri) dan Nicol David menggayakan baju-T Team Mas ke Olimpik Paris 2024. - Kredit foto: MOM


“Niat asal pasukan reka bentuk memaparkan corak dan reka bentuk untuk jaket yang dilancarkan bertemakan warna emas yang digabungkan dengan hitam berserta logo MOM berwarna emas dianggap menjadi simbol paling tepat mencerminkan aspirasi kontinjen Malaysia membawa pulang emas pertama buat Malaysia.

“Versi emas logo MOM yang menggabungkan kibaran bendera dan lima gegelung Olimpik menepati garis panduan IOC,” kata Norza.

MOM selaku badan bukan kerajaan yang tidak berasaskan keuntungan tetapi telah diiktiraf sebagai salah sebuah daripada 206 Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) oleh IOC sejak 1954, tetap mengamalkan dasar terbuka, tegasnya. - KitaReporters


PAKAIAN Baju Melayu dan Baju Kurung kontinjen negara yang diketuai pembawa Jalur Gemilang, Lee Zii Jia (kiri) dan Goh Liu Ying pada hari pembukaan rasmi Sukan Olimpik Tokyo 2021 turut dikritik kerana pemaparan terlalu banyak warna seperti badut sarkas. - Kredit foto: MOM  

11
13
0
9
0
You will be interested