
Ahli PSPJ merakam potret yang mencipta momen penuh emosi dan kegembiraan terpancar pada wajah setiap warga emas.
Bertemakan “Gift of Love” (Hadiah Kasih) bagi mencipta momen indah untuk warga emas Persatuan Senifoto Petaling Jaya (PSPJ) bersama 50 ahli hadir dalam program ‘Menyulam Ceria dan Kasih’ di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor.
Inisiatif itu menghimpunkan ahli dalam kalangan jurugambar profesional, sukarelawan dan rakan komuniti untuk misi menyemai kegembiraan buat warga emas PJMM melalui potret yang mengabadikan kenangan, pertemuan yang menyentuh hati serta emosi penuh keprihatinan.
Program bersempena Sambutan Hari Bapa pada 15 Jun 2025, PSPJ turut menyertakan bersama sokongan penaja dan penderma budiman yang mahu program khidmat masyarakat dan fotografi yang penuh bermakna itu dapat diadakan dengan lancar.

Edwin Ng memproses gambar yang dirakam ahli PSPJ untuk dicetak dan dimasukan dalam bingkai sebagai hadiah momen indah kepada warga emas.
Presiden PSPJ, Edwin Ng, berkata program itu menyerlahkan kekuatan fotografi dalam membina serta menzahirkan jambatan kasih antara manusia apabila warga emas di PJMM terlalu merindui suasana disantuni dengan penuh kasih sayang.
Menurutnya, senyuman terpancar pada wajah warga emas dalam potret yang dirakam menjelaskan naluri hati suci yang amat menagih suasana kegembiraan walaupun tidak mengenali kami pada amnya hadir menyantuni mereka.
“Ini bukan
sekadar merakam gambar tetapi inisiatif PSPJ untuk mencipta momen indah membawa
sinar cahaya kegembiraan disamping memberi nilai martabat kepada warga emas yang
perlu diberi sokongan meneruskan kehidupan di pusat jagaan.
“Kami ahli
PSPJ amat bersyukur apabila kehadiran di PJMM ini disambut dengan salam
persahabatan yang akan berterusan disamping menyempurnakan juga amanah
penyumbang serta penderma untuk membantu meringankan bebanan PJMM,” ujarnya.
Turut hadir pada program itu, Pengerusi PJMM, Azman Razman; Setiausaha PJMM, Muhammad Syafid Mohiadin; Penasihat PJMM, Mohiadin Bahado; dan sukarelawan Yayasan YARA, Nurul Wahida Choo Abdullah.

Ahli PSPJ tidak mahu terlepas merakamkan momen menarik ketika warga emas mengikuti sesi memotong rambut yang mendapat kerjasama daripada penggaya profesional Le Classic Academy.
Kemeriahan
program itu dimulakan dengan memotong rambut warga emas lelaki yang mendapat
kerjasama daripada penggaya profesional Le Classic Academy manakala ahli PSPJ
merakamkan menerusi fotografi untuk mencipta momen umpama berada dalam suasana
studio khas, lengkap dengan peralatan yang mendapat tajaan Digicolor.
Selepas sesi
itu warga emas terbabit dan termasuk perempuan dibawa ke mini studio untuk
diambil fotografi potret yang kemudian dicetak menggunakan pencetak tajaan
Canon Marketing Malaysia, bagi diserahkan kembali dalam bingkai peribadi kepada
mereka.
Pengerusi penganjur, Allicia Thau, berkata momen itu menggambarkan seolah-olah sekeping kasih sayang yang boleh digenggam terbit dari lensa ahli PSPJ yang begitu ikhlas dengan inisiatif kreatif merakam fotografi bukan sekadar wajah tetapi ada cerita dan perasaan di sebaliknya.

Menurutnya,
sebagai kenangan abadi PSPJ turut menanam sebatang pokok di mini taman PJMM sebagai
simbol harapan, warisan dan dedikasi berpanjangan terhadap khidmat masyarakat,
manakala Ping Studio menyumbangkan kepakaran dengan mendokumentasikan peristiwa
itu dengan indah serta lensa ahli tidak melepaskan peluang merakam momen
berharga berkenaan.
“Sebelum
bersurai PSPJ, Yayasan YARA dan wakil Datin Zainorazwa menyerahkan sumbangan
barangan kering dan pampers pakai buang kepada PJMM,” ujarnya.
Sementara itu, Muhammad Syafiq menyifatkan program anjuran PSPJ itu suatu yang luar biasa kerana tidak berlaku di pusat jagaan lain di samping dapat membina mini satu studio profesional di PJMM untuk mengabdikan potret penghuni daripada hasil nilai kerja tinggi fotografi.

Ahli PSPJ melihat potret hasil fotografi profesional yang dibingkaikan untuk diberikan kepada warga emas sebagai momen indah mereka.
Menurutnya,
perkara itu juga menjadi impian beliau sekian lama untuk membuat satu gambar atau
potret berbingkai supaya dapat digantung pada dinding setiap katil penghuni yang
akhirnya berjaya di terjemahkan dalam program berkenaan hasil kerja profesional
fotografi ahli PSPJ.
“Saya berasa
amat terharu dan mengucap syabas kepada PSPJ kerana berjaya menganjurkan program
teratur dan teliti serta mempunyai impak tersendiri menerusi gambar yang
mempunyai nilai emosi dan cerita warga emas ini.
“Mereka
membuat perancangan dan berbincang beberapa kali dengan pengurusan PJMM bagi
memastikan program berkesan benar-benar berkesan terutama dalam mencipta momen
yang indah serta menarik untuk diingati.
“Bagi PSPJ membantu dan menyantuni warga emas menjadi keutamaan manakala objektif program ini diletakkan pada hasrat yang kedua, bagaimanapun semua itu dititikberatkan bagi fotografi dihasilkan dalam menzahirkan momen manis kepada warga emas,” ujarnya.

Muhammad Syafiq Mohiadin (berbaju Melayu) merakam kenangan bersama penggaya profesional Le Classic Academy.
PSPJ ditubuhkan
pada tahun 1987, merupakan sebuah komuniti fotografi yang aktif dan terus
berkembang, berakar daripada semangat untuk menyuburkan kreativiti dan kecintaan
terhadap seni fotografi.
Menelusuri
sejarah penuh warna warni selama 38 tahun, PSPJ kini dianggotai lebih 220 ahli dalam
kalangan pelbagai peringkat usia, latar belakang dan warganegara yang bersama bersatu
atas satu minat iaitu merakam dunia melalui lensa.
Berpandukan
moto “Enjoy Photography” PSPJ menyediakan ruang yang inklusif dan bertenaga
untuk penggiat fotografi, baik yang baru berjinak mahupun yang telah
berpengalaman, untuk belajar, berkarya dan berkongsi minat secara harmoni.
Melalui bengkel interaktif, sesi fotografi luar, projek kolaboratif dan program khidmat masyarakat, PSPJ bukan sahaja mengasah kemahiran malah membina jalinan persahabatan yang bermakna dalam dunia fotografi. - KitaReporters

Azman Rasman (tiga dari kiri) menerima sumbangan daripada PSPJ, Yayasan YARA dan Datin Zainorazwa.

Ahli PSPJ dan pengurusan PJMM merakamkan kenangan bersama warga emas.