.

Warisan seniman agung negara, Tan Sri P. Ramlee, bakal dihidupkan semula dalam sebuah konsert berskala besar apabila alunan muzik klasik kembali lagu-lagu Allahyarham bergema, menghidupkan roh seorang insan yang telah mengukir sejarah seni tanah air.
Dinamakan 'Konsert Legasi P. Ramlee', acara penghormatan anjuran Tanahair Films Sdn Bhd ini, yang merupakan inisiatif berskala besar di bawah Projek Perdana P. Ramlee, bakal berlangsung pada Sabtu, 20 September 2025, di Mega Star Arena Kuala Lumpur, Sungei Wang Plaza.
Tanahair Films, merupakan syarikat produksi yang diasaskan oleh dua tokoh industri seni negara – Dato' Khairul Anwar Salleh dan Adlin Aman Ramlie.
“Konsert ini lebih daripada sekadar persembahan hiburan. Ia adalah jambatan yang menghubungkan generasi, menyatukan nilai seni yang tidak lapuk dek zaman, serta melakar penghormatan yang tulus kepada legasi seorang tokoh agung dalam sejarah seni kita,” kata Khairul Anwar selaku Ketua Pegawai Eksekutif Tanahair Films pada majlis sidang media Konsert Legasi P. Ramlee yang berlangsung di Kompleks Studio Merdeka, FINAS, Ulu Kelang, Kuala Lumpur pada 18 Jun 2025.
Turut hadir Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac serta para karyawan terlibat.

Menurut Khairul Anwar, dengan pendekatan persembahan bersifat sinematik, teatrikal dan dramatik, konsert ini bakal menyatukan keindahan muzik klasik, sentuhan moden dan elemen kontemporari dalam satu malam yang penuh emosi dan kenangan.
Ia bukan sahaja membawa penonton menyusuri era kegemilangan seni Melayu, bahkan mentafsirkan semula karya-karya abadi P. Ramlee dengan pendekatan kreatif dan moden, menjadikannya lebih dekat dengan hati generasi masa kini.
Mengemudi persembahan muzikal malam itu ialah empat figura maestro muzik terkemuka tanah air – Dato’ Ramli MS, Datuk Mokhzani Ismail, Helen Yap dan Michael Veerapen – yang bakal mengetuai lebih 60 pemuzik orkestra dalam menghidupkan lebih 30 karya agung P. Ramlee.

Adlin Aman Ramlie (kii) memperkenal tiga daripada empat maestro muzik terbabit - Ramli MS, Helan Yap dan Michael Veerapan. Kredit foto: FAS.
Lagu-lagu akan dipersembah dalam bentuk medley, duet dan solo, dengan susunan semula muzik yang kekal menghormati keaslian tetapi diberi nafas baharu agar lebih segar dan menyentuh generasi moden.
Hasilnya adalah pengalaman mendalam yang membawa penonton dari zaman gemilang P. Ramlee ke dunia hari ini yang semakin rindu akan keindahan seni yang jujur dan berkualiti.

Barisan penyanyi yang akan menghidupkan lagu-lagu ini pula bukan calang-calang, menggabungkan ikon legenda dan bintang masa kini antaranya – Dato’ Jamal Abdillah, Datuk Zainalabidin, Ella, Mimi Fly dan Nadeera, masing-masing akan mempersembahklagu-lagu pilihan dengan gaya dan ekspresi mereka yang tersendiri sebagai penghargaan terhadap legasi seniman agung negara.

Dari kiri: P. Radhi, Musly Ramli, Zainal Abidin, Jamal Abdillah, Ella. Nadeera, MimiFly dan Danie Hasbullah.
Sebagai penghargaan kepada warisan seni Tan Sri P. Ramlee yang tidak pernah luput ditelan zaman, konsert ini turut menampilkan persembahan istimewa oleh tiga figura yang sinonim dengan gaya dan persona seniman agung tersebut iaitu P. Radhi, Danie Hasbullah dan Musly Ramlee.
Dikenali sebagai impersonator atau pengajuk paling menyerlah di Malaysia, ketiga-tiga mereka bakal membawa penonton menyusuri era klasik dengan interpretasi penuh emosi, menyerlahkan semula suara dan gaya ikonik P. Ramlee dalam suasana persembahan yang moden tetapi tetap berakar dalam nostalgia.
Berkongsi lanjut kata Khairul Anwar, “konsert ini merupakan fasa kedua Projek Perdana P. Ramlee selepas pelancaran Legasi Podcast pada September 2024, dan dilihat sebagai satu langkah penting dalam usaha memperkasakan seni tanah air.”.
Sementara itu, Adlin Aman, yang bertindak sebagai pengarah artistik dan pencetus utama konsert ini, menegaskan bahawa Konsert Legasi P. Ramlee bakal menjadi satu malam yang benar-benar magis.
“Kita akan dihidangkan dengan sebuah malam yang membawa penonton kembali ke era keemasan muzik Melayu, namun kali ini dengan susunan baharu yang diperkaya dengan sentuhan empat maestro tersohor. Setiap babak akan menghidupkan semula roh seni Tan Sri P. Ramlee – bukan hanya melalui melodi, tetapi dalam naratif persembahan yang menyentuh perasaan,” ujar Adlin.

Tiket-tiket untuk menyaksikan malam penuh keajaiban ini akan mula dijual pada Khamis, 26 Jun 2025, waima orang ramai dijemput untuk mendapatkan tiket lebih awal agar tidak terlepas peluang menyertai satu malam penuh penghargaan terhadap warisan seni Malaysia.
“Dan jika sambutannya hangat kami berhasrat menambahkan konsert kepada dua malam bergantung kepada hasilnya kelak,” tambah Adlin sambil membayangkan tempoh lima tahun akan dilaksanakan bagi menjayakan beberapa aktiviti melalui Projek Perdana P. Ramlee, agar terus mekar dan segar ibarat tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas walaupun seribu tahun lagi P.
Ramlee tiada tolak gantinya.
‘Konsert Legasi P. Ramlee’ turut mendapat sokongan penuh daripada pelbagai rakan strategik dan agensi penting negara termasuk Arkib Negara Malaysia, FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia), Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Komunikasi Malaysia, dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). - KitaReporters.

Hans Isaac (lima dari kiri) bersama karyawan dan rakan strategik yang terlibat dalam Konsert Legasi P. Ramlee yang berlangsung di FINAS. - Kredit foto: FAS.