Seni & Sukan 28 Jul, 2024

Video| Tunku Azizah dedah pengalaman hampir maut Siti Nurhaliza! Semasa lahirkan Aafiyah guna IVF!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: farizaum@yahoo.com

Share this



‘Siti masih hidup hari ini adalah satu keajaiban. Dia tidak akan memberitahu sesiapa, saya akan memberitahu anda hari ini. Siti hampir mati melahirkan Aafiyah,” dedah Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj ketika berkongsi kisah sedih dilalui penyanyi tersohor negara, Dato Seri Siti Nurhaliza Tarudin ketika melahirkan anak sulungnya, Siti Aafiyah.

Baginda mendedahkan rahsia yang tidak pernah diceritakan oleh Siti atau lebih mesra disapa Tok Ti  dalam sidang media selepas berkenan merasmikan Pembukaan Pusat Kesuburan Alhaya (Alhaya Fertility Centre) di Pusat Pakar Damansara 2 (Damansara Specialist Hospital 2) di Bukit Lanjan, Kuala Lumpur pada pagi ini, 27 Julai 2024.

“Keadaan Siti memang bahaya ketika itu dan hanya suaminya Datuk Khalid yang mengetahuinya. Kuasa besar Allah SWT. Alhamdullilah Siti selamat dan kini dikurniakan sepasang cahaya mata menerusi kaedah IVF,” titah Tunku Azizah.


Tunku Azizah  Aminah Maimunah Iskandariah melawat pusat Alhaya dengan diiringi Siti Nurhaliza Tarudin dan Dr. Colin Lee.


Terdahulu tidak hairanlah dalam ucapan Siti Nurhaliza, beliau terus sebak ketika menceritakan serba ringkas pengalaman yang dilalui untuk menimang cahaya mata selepas 11 tahun penantiannya.

“Patik terpaksa menjalani rawatan IVF sebanyak tiga kali dan patik dapat bayangkan bagaimana perasaan Tuanku sendiri yang mencuba sebanyak 17 kali rawatan sebelum dikurniakan rezeki menimang cahaya mata,” ujar Siti dalam nada sebak.

Menurut Siti segala kenangan manis, suka duka yang dilalui membuatkan beliau terus bersemangat untuk membantu insan-insan lain yang memerlukan dorongan dan kata-kata semangat dalam menjalani program perjalanan proses persenyawaan in-vitro atau IVF.



“Insya-Allah, rezeki itu telah diatur oleh Allah SWT, tidak akan salah alamat, tidak akan kurang dan lebihnya. Tugas kita hanya perlu berikhtiar menjemputnya, dan bersyukur atas segala nikmat daripada-Nya,” tambah Siti.

Beliau mengakui dirinya bertuah kerana turut dikurniakan seorang lagi cahaya mata lelaki Muhammad Afwa selepas tiga tahun melahirkan Aafiyah.

"Semua pun dah tahu perjalanan saya. Saya ada rakam dan tunjuk dalam YouTube bahawa hendak dapat cahaya mata sangat mencabar. Allah bagi saya macam-macam rezeki dari segi kerja dan sebagainya, Allah duga saya dari segi cahaya mata,” ujar Siti pada majlis berkenaan.



Turut hadir suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa (kanan) bersama Pengarah Urusan Alpha IVF Group Berhad,  Dato Dr. Colin Lee (tiga dari kiri) dan Pengarah Perubatan Pusat Kesuburan Alhaya, Dr. Haris Hamzah (dua dari kiri).

Kemuncak majlis perasmian menyaksikan penyerahan sumbangan rawatan kesuburan daripada Alhaya kepada tiga pasangan daripada Yayasan Kesuburan Tunku Azizah (TAFF) kepada Tunku Azizah.

Majlis yang gilang gemilang ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam sektor penjagaan kesihatan Malaysia, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi pilihan untuk pelancong perubatan berkualiti tinggi.



Sementara itu, Dr. Collin memaklumkan, Alpha IVF Group Berhad telah mencapai lebih 20 kejayaan dalam bidang rawatan kesuburan pada peringkat antarabangsa.

“Baru-baru ini, salah satu pusat kami, Alpha IVF Kuala Lumpur, berjaya membantu pasangan yang mengalami mutasi gen TBCD untuk mendapatkan anak melalui kaedah IVF dengan PGTA dan PGTM. 

"Pencapaian ini, yang pertama di dunia, telah dibentangkan di Kongres Preimplantation Genetic Diagnosis International Society (PGDIS) pada Mei 2024,” ujar Dr. Collin.

Berkongsi lanjut pencapaian Alpha IVF Group Berhad, Dr. Haris memaklumkan Alhaya bukan sekadar pusat rawatan kesuburan biasa tetapi adalah sinar harapan bagi pasangan yang ingin memulakan keluarga mereka sendiri. 

“Sejak kami beroperasi, kami telah mencapai kadar persenyawaan yang memberangsangkan iaitu melebihi 81.1% dan kadar blastula pada 71.1% yang tertinggi pernah dicapai oleh mana-mana pusat kesuburan di dunia,” tambah Dr. Haris sambil menambah kata, matlamat pihaknya adalah untuk mendidik masyarakat dan meningkatkan kesedaran tentang peluang-peluang yang ada untuk menghasilkan anak melalui rawatan kesuburan moden. 



Pusat Kesuburan Alhaya  dilengkapi dengan teknologi kesuburan termaju, termasuk Kecerdasan Buatan, pembekuan Cryotec yang mencapai kadar kelangsungan embrio 100%, dan IVA (pengaktifan in-vitro) untuk meremajakan ovari. Kemajuan ini bertujuan mengoptimumkan kadar kejayaan pesakit. 

Majlis pada penghujungnya dimeriahkan dengan persembahan istimewa oleh Siti Nurhaliza, yang mempersembahkan dua buah  lagu, antaranya yang dicipta khas untuk anakanda Aafiyaj berjudul, “Comel Pipi Merah’ diiringi vidoe muzik rasmi lagu tersebut. - KitaReporters


Bergambar bersama kakitangan pusat Alhaya.


16
9
0
14
0
You will be interested