Seni & Sukan 06 Sep, 2024

Macam kenduri tahlil! Sepi tanpa sorakan, gendangan Ultra Malaya! Malaysia ke akhir Pestabola Merdeka!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

ANTARA 15,800 penyokong Harimau Malaya yang tetap setia menonton separuh akhir Pestabola Merdeka Ke-43 menentang Filipina di Stadium Nasional, Bukit Jalil biarpun tanpa lagi resmi keriuhan sokongan Ultras Malaya. - Kredit foto: FAM


ANGKA kehadiran dicatatkan sebanyak 15,800 orang namun bagaikan Stadium Nasional, Bukit Jalil sunyi sepi! Seperti kata seorang peminat dipetik daripada video sebuah portal media, “macam dalam kenduri tahlil arwah.”

Sebabnya? Tiada lagi sorakan, nyanyian dan paluan gendang yang lantang dan gemuruh oleh kumpulan penyokong setia Ultras Malaya yang mengiringi kejayaan Harimau Malaya menumpaskan Filipina 2-1 pada 4 September 2024.

Kemenangan separuh akhir Pestabola Merdeka 2024 ini melayakkan tim kendalian Pau Marti Vicente membuat perhitungan juara edisi ke-43 ini dengan Lebanon pada 8 September 2024.

Ternyata Ultras Malaya mengotakan amaran sejak 7 Ogos 2024 untuk memboikot Pestabola sebagai membantah dan menyalahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana kandasnya skuad negara dalam pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026 pada 11 Jun 2024 lalu.

Mereka juga tidak berpuas hati dengan cara FAM berhubung pengunduran ketua jurulatih terdahulu, Kim Pan-gon, lambakan pemain naturalisasi yang tidak menepati harapan selain insiden sayap kiri negara, Faisal Halim diserang simbahan asid pada 5 Mei 2024 yang masih gagal diselesaikan.


SYAMER Kutty Abba (14) dinobat Pemain Terbaik Perlawanan menjaringakn gol penyamaan Harimau Malaya. Kanan ialah Yudi Nurcahya, pengadil yang keputusannya tidak memberikan penalti dipersoalkan jurulatih Filipina. - Kredit foto: FAM


Syamer Kutty Abba menyamakan jaringan pelawat dengan rembatan daripada umpanan Feroz Baharudin yang menyambut tandukan kapten Dion Cools hasil sepakan sudut Paulo Josue pada minit ke-42.

Safawi Rasid yang masuk menggantikan Akhyar Rashid, memastikan tiket final Malaysia dengan jaringan sepakan penalti minit ke-73 selepas Arif Aiman Hanapi dijatuhkan dalam kotak penalti Filipina.

Terdahulu Syamer dan Feroz didapati cuai dalam meleraikan asakan Azkals sehingga membentangkan laluan gol tunggal lawan daripada sepakan Jefferson David Tabinas pada minit ke-27.


SAFAWI Rasid (11) berbincang dengan Arif Aiman Hanapi bagi pengaturan sepakan bebas ke gawang Filipina. Safawi menyumbat gol kemenangan Malaysia sesudah Arif dijatuhkan dalam kotak penalti. - Kredit foto: FAM


Namun ketua jurulatih Filipina, Norman Fegidero Jr. merungut, “kami tidak diberikan dua penalti, satu dalam babak pertama dan satu lagi babak kedua.

“Saya tidak senang dengan keputusan pengadil (Yudi Nurcahya) tetapi itu di luar kawalan saya dan sentiasa muktamad,” kata penjaring gol kemenangan 1-0 Filipina ini yang memintas Malaysia (juara bertahan) ke separuh akhir Sukan SEA Manila 1991.

Pau pula dalam sidang media pascaseparuh akhir itu mengulas dalam video sebuah portal, “kami menentang pasukan yang kuat fizikalnya dan ‘memenderitakan’ kami tetapi kami sudah masuk final.

“Kami akan meraikan sedikit kejayaan ini namun masa kian suntuk apabila final tiba.

“Gol Filipina menjadi penyedar kami untuk guna pendekatan lain dan amalkan apa yang diterap ketika latihan,” kata warga Sepanyol yang dinaikkan pangkat daripada penolong ketua jurulatih Harimau Malaya mulai 5 Ogos 2024.


PAU Marti Vicente mengutip kejayaan sulungnya sebagai pengendali baharu Harimau Malaya - mengulangi kemenangan 2-0 terhadap Filipina dalam Siri Tiga Negara FAS di Singapura pada 23 Mac 2022 ketika selaku penolong kepada Kim Pan-gon. - Kredit foto: FAM


Akui Pau, setiap orang pasti mahu memenangi perlawanan sulungnya namun yang paling penting ialah pasukan negara sekalipun mereka dikejutkan dengan gol Filipina tampanan Feroz.  

“Gol mudah lawan itu kesilapan tertampan (Feroz) daripada peralihan (menyerang kepada bertahan). (Namun) bukanlah peluang yang benar-benar dicipta oleh lawan,” katanya.

Mengenai Lebanon yang menumbangkan juara bertahan, Tajikistan 1-0 menerusi gol tandukan Jihad Ayoub minit ke-13 dalam separuh akhir sebelah petang terdahulu, katanya, “saya tidak tengok perlawanan mereka.

“Saya jangkakan mereka amat sukar dan lebih kuat secara fizikalnya. Kami kena fokus buat lebih baik, kurangkan kesilapan dan lebihkan tersusun dalam bertahan,” katanya.  


LEBANON (berjersi putih) turut mara ke final Pestabola Merdeka pada 8 September 2024 dengan kemenangan 1-0 terhadap juara bertahan, Tajikistan di Bukit Jalil. Lebanon di ranking ke-116 dunia berbanding lawan, ke-103, manakala Malaysia, ke-134 dan Filipina, ke-147. - Kredit foto: FAM


Syamer, perantara yang dinobatkan Pemain Terbaik Perlawanan, mengulas: “Bukanlah perlawanan yang sempurna tetapi kami cuba bermain dengan keyakinan.

“Alhamdulillah. Terima kasih kepada rakan sepasukan yang turut bekerja keras.” - KitaReporters


BARISAN MALAYSIA: 

Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Matthew Davies, Dion Cools, Feroz Baharudin (Dominic Tan), Daniel Sang Ting, Afiq Fazail (Nooa Laine), Syamer Kutty Abba, Paulo Josue (Endrick Dos Santos), Arif Aiman Hanapi (Syafiq Ahmad), Akhyar Rashid (Safawi Rasid), Romel Morales (Darren Lok).  


SAFAWI Rasid (11) melontar bola kepada para penyokong di Stadium Nasional sebagai hadiah penghargaan atas kehadiran dan sokongan padu mereka. - Kredit foto: FAM 

14
7
0
8
0
You will be interested