Seni & Sukan 30 Jul, 2024

Saling servis, libas melibas! Tim Media dan Putra Perdana! Berganding cungkil bakat baharu takraw!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

BARISAN pemain Tim Media (jersi merah kuning) dan Kesputra atau Putra Perdana All-Stars bergambar kenangan sebelum perlawanan persahabatan di Dewan Komuniti Putra Perdana, Puchong. Turut serta ialah Naharanuar Ayob, Shaharudin Manap dan Sha'ari Hashim serta Hamdi Mohd. Barjah (belakang, tujuh dan lapan dari kiri dan sembilan dan lapan dari kanan). - Kredit foto: Kesputra


BUKAN menang atau kalah yang terlalu diburu sebaliknya jalinan muhibah dan kerjasama dalam menyemarakkan sukan sepak takraw di kawasan tempatan yang menjadi matlamat utamanya.

Realiti ini diperoleh oleh Tim Media dan Kelab Sepak Takraw Putra Perdana (Kesputra) pada perlawanan persahabatan sepak takraw dengan kerjasama Ahli Majlis Zon Putra Perdana, Naharanuar Ayob di Dewan Komuniti Putra Perdana, Puchong, Selangor tanggal 28 Julai 2024.

Malah segelintir bakat muda sepak takraw yang hebat daripada kalangan Kesputra atau turut digelar sebagai Putra Perdana All-Stars berjaya ditemukan oleh Tim Media selaku penganjur perlawanan regu berpasukan ini.


PENOLONG kapten Tim Media, Noormanshah A. Rahman (empat dari kiri) menyampaikan cenderamata tetamu kehormat tajaan Pallas Rejam kepada Naharanuar Ayob sambil disaksikan oleh Rahim Sepahtu (dua dari kiri). - Kredit foto: Khairol Faizee Mahmod


Tim Media yang menggabungkan para pengamal media dalam talian, agensi Kementerian Komunikasi, syarikat cetak dan artis bebas, juga menimba pengalaman berdaya saing sekali gus membantu mencungkil bakat-bakat berkenaan yang mungkin satu hari, menyarung jersi pasukan negeri atau kebangsaan. 

Perlawanan ini turut diperhangat dengan aksi yang tidak kurang handalnya daripada pelawak popular siri Sepahtu Reunion Live, Rahim Mat Ali selaku apit kiri atau pengumpan Tim Media.

Juga sudi meluangkan masa untuk hadir menyaksikannya ialah dua legenda sepak takraw negara era 80-an dan 90-an, Sha'ari Hashim dan Shaharudin Manap.  


APIT kanan Putra Perdana All-Stars melakukan libasan gunting atau Maniam ke kawasan Tim Media yang diawasi perejam, Noormanshah A. Rahman (kiri) dan Rahim Mat Ali. - Kredit foto: Kesputra


Kapten Tim Media, Khairul Azra Ghazali berkata, Putra Perdana mempunyai ramai pemain berbakat besar yang jika diketengahkan dan didedahkan dengan lebih banyak pertandingan serta dibimbing oleh jurulatih berkelayakan, pasti mampu meramaikan jagoan masa depan sepak takraw negara. 

"Kejayaan Sekolah Menengah Kebangsaan Putra Perdana dan Sekolah Kebangsaan Taman Putra Perdana 2 menjuarai kategori Bawah 15 dan 12 Tahun (B-15 dan B-12) Kejohanan Sepak Takraw Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Sepang di dewan ini pada 15 dan 18 Julai 2024 lalu, turut membuktikan daya saing dan suburnya pembangunan sukan ini di kawasan taman perumahan berkenaan.


TEKONG Putra Perdana All-Stars, Muhd. Haziq melakukan servis daripada lontaran bola Afiq Mazni (kanan) terhadap Tim Media (dari kiri), Nazizul Najhan Saarani, Mohd. Shuib Ab. Latip dan Khairul Faizee Mahmod. - Kredit foto: Kesputra


"Dua momen gemilang ini dipercayai ada kaitannya dengan keaktifan ramai pemain Kesputra membimbing adik-adik remaja termasuk Bawah 18 Tahun (B-18) sekolah berkenaan pada permainan mereka setiap petang di balai raya taman perumahan berdekatan.

“Tepat seperti pepatah Melayu, ‘ada kerak adalah nasinya’ atau ‘belakang parang kalau diasah, pasti tajam lama-kelamaan,” kata Naharanuar yang juga Penaung Kesputra. 

Lima pemain Kesputra daripada enam perlawanan termasuk dua kategori veteran, diumumkan sebagai ‘Regu Paling Bernilai’ yang hadiahnya ditaja jenama kasut sepak takraw No. 1 Malaysia, Pallas Rejam. - KitaReporters


NAZIZUL Najhan Saarani (kiri) menyampaikan cenderamata Tim Media kepada Afiq Mazni sambil disaksikan oleh Naharanuar Ayob (tengah) dan Ahli Jawatankuasa Zon Putra Perdana Puchong, Hamdi Mohd. Barjah (kanan). - Kredit foto:  Khairul Faiee Mahmod


LIMA pemain Putra Perdana All-Stars (jersi hijau) menerima hadiah penghargaan sebagai Regu Paling Bernilai Pallas Rejam perlawanan ini daripada Khairul Azra Ghazali (tiga dari kiri). - Kredit foto: Kesputra

10
13
0
9
0
You will be interested