PELAJAR, guru dan warga sekolah diingatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang berada di kawasan sekolah bagi memastikan sesi persekolahan dapat diteruskan dengan selamat tanpa Covid-19.
Menteri Kanan (Pendidikan), Senator Datuk Dr Radzi Md Jidin
berkata SOP berkaitan Covid-19 yang dibuat sudah lengkap dan teratur, yang penting adalah
pematuhan SOP berkenaan selain ibu bapa perlu sentiasa mengingatkan anak-anak
supaya patuh dengan yang telah ditetapkan.
“Pelajar perlu sentiasa mematuhi SOP sewaktu tiba di
sekolah dan semasa proses penyuraian selepas tamat sesi persekolahan bagi
mengelak penularan Covid-19 dalam kalangan mereka dan juga warga sekolah.
"Kita tekankan kepada pihak sekolah setiap SOP
yang ditetapkan itu mestilah dipatuhi dan murid perlu sentiasa diingatkan agar
mematuhi SOP,” katanya yang dipetik dalam laporan Sinar Harian, 5 April 2021.
Terdahulu Dr Radzi membuat lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Abu Bakar Baginda, Sungai Merab di Bandar Baru Bangi sempena hari pertama pembukaan semula sekolah menengah untuk Kumpulan B.
Bagi Kumpulan A melibatkan negeri Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu sesi pembukaan semula sekolah menengah adalah pada Ahad, 4 April 2021. - KitaReporters