Seni & Sukan 14 Jun, 2021

Syabas Damok! Juara Moto3 Remaja Dunia, Sepanyol! Tahniah SIC Racing! Tempat ke-6 keseluruhan

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

POSTER ucapan tahniah Muhyiddin Yassin dalam Facebook rasminya, 14 Jun 2021. - Kredit foto: FB Muhyiddin 


PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa bangga dan gembira dengan kejayaan Syarifuddin Azman menjuarai perlumbaan motosikal CEV Moto3 Remaja Dunia di Litar Catalunya, Barcelona, Sepanyol, semalam (Ahad, 13 Jun 2021).

Beliau turut percaya, keazaman, ketekunan dan keberanian yang menjadi ciri-ciri peribadi Damok (gelaran Syarifuddin) berjaya membawanya bergelar juara, sekali gus mengumandangkan lagu Negaraku dan mengibarkan Jalur Gemilang di sekitar podium kejuaraan.  

“Syabas anak muda! Tahniah Syarifuddin dan tahniah Malaysia!,” ucapnya dalam laman Facebook rasminya, hari ini (Isnin, 14 Jun 2021).


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan motosikal

DAMOK menunjukkan piala dan kejayaan hebat ini kepada Malaysia. - Kredit foto FB MotoGP Malaysia


“Saya cukup berbangga dan gembira apabila dimaklumkan anak muda Malaysia, Syarifuddin Azman berjaya menggegar Litar Catalunya apabila muncul juara saingan CEV Moto3 Remaja Dunia.

“Sudah pasti hanya keazaman, ketekunan, kesungguhan dan keberanian yang mampu meletakkan seorang pelumba untuk bergelar juara.

“Tahniah (juga kepada) seluruh ahli pasukan (SIC Racing) atas aksi dan kejayaan yang membanggakan negara ini.

“Teruskan usaha untuk kejayaan yang lebih gemilang selepas ini,” katanya.


SYARIFUDDIN Azman (tengah) diapit oleh David Munoz Rodriguez dan Jose Antonio Rueda Luiz di atas podium litar. - Kredit foto: FB MotoGP Malaysia


Syarifudin, 19, menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 29 minit 32.553 saat dalam 16 pusingan sejauh 74.5 kilometer.

Kejayaannya juga dianggap satu kejutan kerana memulakan perlumbaan di tempat ke-10 sebelum menyusup ke kumpulan hadapan dan akhirnya mendahului ketika di selekoh ke-10 sehingga tamat

Naib juara diraih oleh pelumba tuan rumah, David Munoz Rodriguez daripada pasukan Avatel-Cardoso Racing dengan catatan 29:32.715s, manakala rakan senegara, Jose Antonio Rueda Luiz di tempat ketiga (29.32.825s).

Damok kini menghuni tempat keenam keseluruhan dengan 30 mata selepas tiga pusingan, manakala perlumbaan seterusnya dijadualkan pada 4 Julai 2021 ini di Litar Algarve, Portugal.


SYARIFUDDIN (depan) menunjukkan aksi wheelie sebagai meraikan kejayaannya. - Kredit foto: FB MotoGP Malaysia


“Alhamdulillah. alhamdulillah. alhamdulillah! Terima kasih untuk rezeki ini. Jadikanlah aku, orang yang selalu bersyukur akan semua nikmat-Mu yang tidak terduga ini.

“Semoga setiap langkah yang diatur, Engkau titipkan rahmat dan keberkatan. Terima kasih untuk iman dan ilmu yang Engkau anugerahkan ini,” kata Damok dalam laman Facebook MotoGP Malaysia.

Syarifudin menambah, kejayaan bukanlah segala-galanya tetapi usaha ke arahnya yang terpenting.

“Kejayaan bagi saya bukan sesuatu yang berlaku sebaik sahaja perlumbaan bermula dan peminat bersorak. Kejayaan ini terbina secara mental dan fizikal dalam setiap hari latihan saya,” katanya. - KitaReporters


DAMOK bercakap dalam sidang media selepas perlumbaan yang dijuarainya. - Kredit foto: FB MotoGP Malaysia 

1
0
0
0
0
You will be interested