Pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia sekarang tidak boleh menghalang semangat kesukanan dalam kalangan jiwa para atlet. Disebabkan semangat itulah beberapa acara dan kejohanan sukan peringkat antarabangsa tetap dijalankan walaupun dunia masih berhadapan serangan virus tak nampak, Covid-19.
Bezanya kali ini, pihak penganjur mengenakan pelbagai syarat dan peraturan yang ketat sepanjang kejohanan berlangsung bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) mencegah jangkitan virus Covid-19 berkenaan.
Ia bukan sahaja melibatkan acara sukan dalam kalangan atlet yang berfizikal sempurna, sebaliknya acara untuk para atlet yang kurang upaya juga tetap diteruskan demi meneruskan legasi kegemilangan sukan dalam dunia ini.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bola sepak
Kredit foto: FB Malaysian Deaf Sports Association (Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia)
Justeru, Sukan Deaflympics (Olimpik Orang Pekak) dijadualkan akan berlangsung di Brazil pada 1 hingga 15 Mei 2022 depan dengan perlawanan saringan dan pusingan kelayakan telah bermula mulai sekarang.
Untuk itu, Skuad Bola Sepak Orang Pekak Malaysia dijadualkan akan bersaing dalam Pusingan Kelayakan Bola Sepak Orang Pekak, Peringkat Asia-Pasifik di Kish Island, Republik Iran pada 1 hingga 11 Jun 2021 ini.
Bagi menghargai dan tanda sokongan terhadap perjuangan pasukan ini dalam mengharumkan nama baik negara, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican telah memuat naik sebuah video ucapan semangat buat pasukan ini.
Video berdurasi 4 minit 13 saat itu telah disiarkan melalui laman media sosial Facebook dan Instagram milik Reezal pada pagi Sabtu, 29 Mei 2021.
Dalam ucapannya, Reezal menerangkan betapa pentingnya pusingan kelayakan yang bakal disertai pasukan bola sepak negara kita pada bulan depan ini.
“Pusingan Kelayakan Bola Sepak Orang Pekak di Iran ini merupakan pertandingan yang penting untuk memastikan pasukan negara dapat menjadi kalangan empat pasukan terbaik, sekali gus layak ke 24th Deaflympics Games (Sukan Olimpik Orang Pekak Ke-24) di Brazil pada 1 hingga 15 Mei 2022,” katanya.
Reezal turut memberitahu tentang latar belakang Sukan Deaflympics yang akan diadakan di Brazil pada 2022 itu.
Mungkin ramai yang sebelum ini tidak mengetahui akan kewujudan sebuah kejohanan sukan yang khusus untuk barisan atlet dalam kalanngan orang kurang upaya (OKU) pendengaran.
“Deaflympics ini dianggap sebagai sukan Olimpik kepada golongan kurang upaya pendengaran. Saya dimaklumkan sebanyak lapan pasukan bolasepak rantau Asia-Pasifik akan bertanding di Iran nanti, termasuklah Iran, Korea, Kazakhstan, Uzbekistan, Iraq, Afghanistan dan juga Thailand,” katanya dalam video berkenaan.
Pasukan bola sepak orang pekak bagi negara kita ini merupakan salah satu pasukan yang mendapat perhatian serius daripada pihak kerajaan tanpa kita sedar.
Menurut Kementerian Belia dan Sukan, melalui Majlis Sukan Negara (MSN), pasukan bola sepak orang pekak negara telah diletakkan dalam ‘Program Khas MSN’ bermula sejak 1 September 2020 lalu. Antara kelebihan pasukan yang berada di bawah program khas ini adalah segala perbelanjaan mereka ditanggung sepenuhnya oleh peruntukan dari MSN sendiri.
Pemilihan pasukan ini ke dalam program khas berkenaan mungkin kerana mereka telah berjaya mencipta sejarah tersendiri dengan layak ke pusingan akhir 4th World Deaf Football Championship (Kejohanan Bola Sepak Orang Pekak Sedunia Keempat) di Korea pada tahun 2023 nanti.
Ini merupakan kejayaan yang cukup membanggakan Malaysia kerana kita memiliki golongan kurang upaya yang mungkin tidak sempurna dari segi fizikal, namun semangat juang dan kemahiran mereka bersukan telah mencapai tahap antarabangsa.
Jika mungkin sebelum ini kita jarang cakna atau tidak maklum akan kewujudan pasukan ini, marilah sama-sama mulai hari ini kita tunjukkan solidariti bersama pasukan atlit kurang upaya pendengaran Malaysia untuk mereka berjaya di persada antarabangsa.
Semoga Skuad Bola Sepak Orang Pekak Malaysia akan membawa pulang kemenangan yang diimpikan pada bulan Jun 2021 nanti. Percayalah bahawa doa dan sokongan rakyat Malaysia sentiasa mengiringgi pemergian anda. - KitaReporters