Seni & Sukan 12 Jul, 2021

Video| Badminton, terjun, berbasikal! Sandaran pingat Olimpik Malaysia lagi! Lee nasihat Lee!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

REEZAL Merican Naina Merican (dua dari kanan) melaungkan sorakan 'Demi Malaysia' bersama-sama atlet-atlet Sukan Olimpik Malaysia secara dalam talian. - Kredit foto: MSN


SEPERTI diduga dan ternyata sekali mengimbas semula pencapaian di Rio 2016, tiga jenis sukan masih dianggap sandaran utama pingat kontinjen negara pada Sukan Olimpik Ke-32 di Tokyo, Jepun yang bermula 23 Julai 2021.

Cuma dalam Olimpik Tokyo 2020 (2021) ini, tidak pula badminton atau akuatik terjun atau berbasikal disebut sebagai prospek tertentu pingat emas sulung Malaysia setelah ketiga-tiganya membawa pulang empat pingat perak dan sebutir pingat gangsa dari Rio.

Badminton, terjun akuatik dan berbasikal masih antara sandaran utama. Realistiknya, tiga sukan ini punya prospek penyumbang pingat,” kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican selepas perjumpaan dengan atlet-atlet Olimpik negara secara dalam talian, 11 Julai 2021.

Turut menghadiri sesi itu ialah Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail serta Ketua Kontinjen Olimpik Tokyo, Datuk Lee Chong Wei.

Hanya beregu campuran badminton, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, gandingan penerjun seirama akuatik wanita, Pandelela Rinong Pamg-Cheong Jun Hoong dan pelumba basikal keirin, Mohd. Azizulhasni Awang selaku pemenang perak dan gangsa di Rio yang kembali menyertai kontinjen negara ke Tokyo.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Sukan Olimpik

ATLET-ATLET negara antaranya gimnas, Farah Ann Abdul Hadi (skrin besar) meluahkan pendapat masing-masing dalam perjumpaan dalam talian dengan menteri dan pegawai kanan MSN dan MOM. - Kredit foto: MSN



Namun Reezal menegaskan, jenis-jenis sukan lain yang disertai Malaysia masih mempunyai keupayaan untuk mencapai sasaran tertentu secara berperingkat-peringkat umpamanya olahraga.

Lee Hup Wei (lompat tinggi olahraga) misalnya yang dalam ranking antara 25 teratas, kita cuba sasarkannya masuk peringkat akhir atau dalam 12 teratas dengan mengatasi paras ketinggian 2.26 atau 2.29 meter.

 “Atlet-atlet lain pun perlu ada cara tertentu untuk turut mencipta sejarah, sama ada mengatasi catatan peribadi terbaik, memecahkan rekod kebangsaan dan memperbaiki ranking,” katanya.

Dalam mana-mana pertandingan sukan, semua orang biasanya akan mahu melihat hasil atau keputusan atlet-atlet terutama menang katanya, namun yang turut masih penting untuk diambil kira ialah aksi dan prestasi mereka.

“Dalam sukan kita memang hendak tengok keputusan, hendak tengok menang tetapi kita juga kena tengok aksi kalau (atlet) Malaysia kalah pun, (bagaimana) aksi dan prestasi mereka. Saya harap itu (juga) yang penting (dinilai umum),” katanya.


CHAN Peng Soon (kiri) dan Goh Liu Ying, pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016. Adakah mereka mampu mengulangi pencapaian itu mahupun dengan sinaran lebih gemilang persis 'Mentari Tokyo'. - Kredit foto: MOM


AZIZULHASNI Awang (kiri), berpengalaman dalam tiga Sukan Olimpik (Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016) dan Shah Firdaus Sahrom bakal bersaing  sesama mereka dalam keirin dan pecut di Tokyo. - Kredit foto: MSN


Atlet negara belum dapat mengumandangkan lagu Negaraku di podium pemenang pingat emas Sukan Olimpik sejak Malaysia atau Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) menyertai temasya ini di Melbourne pada 1956.

Negara jiran, Singapura yang mencatat sejarah dengan meraih pingat emas sulungnya menerusi perenang 100 meter kuak kupu-kupu, Joseph Schooling di Rio juga menurut Reezal, tidak lagi meletakkan sasaran sebegitu di Tokyo.  

Mengenai ganjaran pemenang pingat Olimpik Malaysia katanya, kadarnya masih seperti sebelum ini tanpa sebarang perubahan yang diperuntukkan dalam Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) termasuk elaun persaraan.

“Saya juga dapati tiada atlet negara yang dalam perjumpaan dengan kami, pernah membangkitkan isu itu. Saya juga tidak mahu orang ramai berasa bahawa mereka berjuang nanti semata-mata kerana ganjaran,” katanya.   


LEE Chong Wei (skrin besar, kanan) turut memberikan kata-kata perangsang dan berkongsi pengalamannya dalam perjumpaan maya. - Kredit foto: MSN


LEE Chong Wei (kanan) memberikan petua dan nasihat kepada Lee Zii Jia dalam cabaran perseorangan lelaki badminton Sukan Olimpik Tokyo. - Kredit foto BAM


Sementara itu Chong Wei yang tidak dapat ke Tokyo atas nasihat doktor yang berkaitan kesihatannya, menggesa para atlet negara mengelakkan diri dijangkiti Covid-19 selain kecederaan yang bakal menggugat penyertaan atau prestasi mereka.

“Olimpik kali ini memang berbeza dengan ketika saya sebagai atlet. Sekarang sudah jadi lima tahun sekali, tiada penonton (dibenarkan menghadiri venue) dan tiada sorakan mereka. Sebab Covid, susah hendak jumpa keluarga pun. Saya pun tidak pernah berasa macam ini,” katanya.

Mengenai kemungkinan perseorangan lelaki badminton negara, Lee Zii Jia yang berdepan juara bertahan, Chen Long dalam pusingan kedua, katanya, “sudah setahun lebih saya tidak tengok aksi pemain China itu. Mungkin dia sudah tidak sama macam dulu.

“Mungkin juga dia sudah menambah kemahiran baharu (menerusi) program latihan oleh jurulatihnya. Walau apa pun, saya fikir persiapan sendiri (Zii Jia) yang lebih penting. Sampai hari perlawanan, dia kena hadapi (lawan),” katanya yang disekat Chen Long dalam final di Rio 2016.  

Sebelum itu Zii Jia, juara Seluruh England 2021 yang juga pilihan kesembilan di Tokyo, perlu berdepan pemain Perancis, Brice Leverdez (ke-36 dunia) dan Artem Pochtarov dari Ukraine (98) dalam peringkat awal Kumpulan M.

Anak jati Alor Setar, Kedah itu terikat 1-1 dalam rekod pertemuan dengan kedua-dua lawan dengan format pertandingan badminton Olimpik menetapkan, hanya juara setiap kumpulan yang akan layak ke pusingan kalah singkir. - KitaReporters


LEE Hup Wei sudah berpengalaman dua Olimpik dan wajar layak ke pusingan akhir di Tokyo. - Kredit foto: MSN 


CHEONG Jun Hoong bakal bersaing dengan Pandelela Rinong Pamg dalam 10 meter platform individu di Tokyo setelah bergandingan meraih pingat perak di Rio 2016. - Kredit foto: MSN 



0
0
0
0
0
You will be interested