Seni & Sukan 04 Mar, 2022

Video| Gembira bertukar sedih! Penduduk Kg Sekayu ke Langkawi tergaman! Rumah digenangi banjir!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Ada antara penduduk kampung berkenaan pertama kali menjejak kaki di Langkawi terpaksa bertabah menerima berita rumah mereka digenangi banjir.


SERONOK dan gembira apabila pertama kali dapat menjejak kaki di Pulau Langkawi bertukar menjadi hiba ibarat meratap sepi apabila mendapat khabar berita rumah di Kampung Sekayu, Kuala Berang, Hulu Terengganu digenangi banjir pada awal pagi 27 Februari 2022 lalu.

Itulah nasib yang terpaksa diterima 34 daripada 40 penduduk kampung berkenaan yang mengikuti rombongan bercuti ke pulau itu. Ada antara mereka pertama kali menjejaki ke pulau pelancongan berkenaan selepas bertolak dari Kuala Berang pada malam 24 Februari 2022.


Lagi cerita-cerita sedih berkaitan mangsa banjir

Nurhaizan Mahusin melihat halaman rumahnya yang masih diseliputi lumpur walaupun sudah membersihkannya.


Seorang penduduk yang juga pesara kerajaan, Nurhaizan Mahusin, berkata sebaik menerima panggilan telefon daripada seorang penduduk kampung yang memaklumkan keadaan banjir itu menyebabkan dia berasa resah.

Menurutnya, ketika itu dia bersama penduduk lain masih berada di pulau itu dalam sesi lawatan yang terakhir sebelum bersiap-siap untuk pulang pada sebelah malam dan sudah terbayang rumahnya akan turut digenangi banjir.

“Saya tergaman dan reda apabila melihat lumpur penuh sekeliling dan di dalam rumah dengan keadaan bersepah di halaman kerana dipukul arus deras sebaik selamat sampai di kampung itu dari Langkawi kira-kira jam 12 tengah hari pada 28 Februari, “ katanya.


Sebahagian daripada penduduk Kampung Sekayu, Kuala Berang, Hulu Terengganu merakam kenangan di Pulau Langkawi tanpa menyedari rumah mereka digenangi banjir pada 27 Februari 2022.


Seorang lagi penduduk, Abdul Razab Ismail pula berkata, sejak pulang menetap di kampung itu lebih lima tahun lalu belum pernah berlaku banjir dengan arus deras membadai hampir keseluruhan rumah penduduk yang rata-rata terpaksa menyelamatkan diri berlindung di atas bukit belakang masjid.

Tambahnya, sepanjang perjalanan pulang dengan bas rombongan itu fikirannya memang terganggu dengan bermacam-macam andaian kerosakan rumah dan harta benda termasuk kenderaan yang akan dialami bagaimanapun dia bernasib baik kerana air banjir hanya mengenangi paras lantai rumah di ruang tamu sahaja.


Daud Kadir terpaksa menggunakan lilin buat sementara waktu apabila bekalan elektrik terputus akibat banjir.


Keadaan dapur rumah Daud yang dipenuhi lumpur serta berselerak dipukul arus deras banjir pada awal pagi 27 Februari lalu.


Bagi Daud Kadir yang turut menyertai rombongan itu, walaupun berasa terkilan dengan nasib menimpa rumahnya yang diseliputi lumpur di bawa arus deras terpaksa bersabar dengan dugaan itu kerana nasib serupa turut menimpa penduduk kampung itu.

“Dalam usia semakin lanjut ini saya terpaksa gagahi untuk membersih dalam dan luar rumah yang dipenuhi lumpur manakala pelbagai barangan bersepah dipukul arus dengan dibantu anak yang tinggal di kampung berdekatan.

“Apabila bekalan elektrik dan air semakin pulih secara berperingkat-peringkat mulai 29 Februari dapat membantu meringankan usaha penduduk kampung untuk membersih rumah serta mendapatkan bekalan air bersih,” katanya.



Seorang lagi penduduk lagi yang menyertai rombongan itu, Nik Roslaini Nik Mohamed, berkata walaupun dia bernasib baik kerana menetap di Jalan Pusara, Kuala Berang bagaimanapun turut bersedih mengenang nasib menimpa rakan rombongan yang menetap di Kampung Sekayu.

“Sepanjang perjalanan pulang suasana agak hening dalam bas kerana masing-masing memikirkan keadaan rumah dan harta benda selain keselamatan ahli keluarga yang ditinggalkan bagi menjaga rumah,” katanya. 


Mohd Hafizuddin Awang melihat arus deras menimpa rumah penduduk di Kampung Setar.


Manakala seorang penduduk di Kampung Padang Setar, Mohd Hafizuddin Awang, berkata dia terjaga daripada tidur kira-kira jam 6 pagi apabila mendengar ketukan pintu dan terkejut apabila melihat arus deras sudah mulai masuk ke dalam rumah.

Menurutnya, dia menetap sendirian di rumah pesaka itu, terpaksa memunggah segera barangan penting ke tingkat atas rumahnya bagi mengelak digenangi banjir yang sekelip mata air sudah naik ke paras pinggang dalam dan di luar rumah.

“Dari tingkat atas rumah saya boleh melihat banyak rumah penduduk sudah digenangi banjir mencecah bumbung yang menyebabkan ramai antara mereka terpaksa berlindung di kawasan tinggi termasuk di sekolah berdekatan,” katanya. - KitaReporters


29
18
7
13
2
You will be interested