"SEMUA guru perlu melengkapkan diri dengan kemahiran teknologi terkini supaya mudah menghadapi cabaran pendidikan pada abad ini,” kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Muslimin Yahaya.
Beliau berkata, bertepatan dengan tema Hari Guru 2022, ‘Guru Tunjang Sekolah Sejahtera’, justeru guru pada hari ini perlu mendepani murid yang jauh berbeza dengan murid pada masa lalu.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Hari Guru
Pegawai pendidikan daerah Klang, pengetua dan guru besar serta Kumpulan Penggerak Ibu Bapa Komuniti dan Swasta (KPIBKS) hadir pada Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Klang pada 16 Jun 2022.
“Saya kagum dengan semangat dan dedikasi yang ditunjukkan oleh semua guru dalam menjalankan tugas penuh keikhlasan serta kesedaran untuk menyumbang ke arah pembangunan potensi bakat dan modal insan pada masa akan datang.
“Saya mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua guru yang gigih menaburkan bakti mendidik anak bangsa,” ujarnya ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Klang pada 16 Jun 2022 lalu.
Turut hadir pada majlis itu Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Datin Nor Faridah A. Bakar, pegawai-pegawai pendidikan daerah Klang, pengetua dan guru besar serta Kumpulan Penggerak Ibu Bapa Komuniti dan Swasta (KPIBKS).
Nor Faridah merakam kenangan bersama-sama pegawai PPD dan guru besar daerah Klang.
Ahli
Jawatankuasa Promosi dan Dokumentasi majlis berkenaan, Aruzzita Mohd Sadri,
berkata tema Hari Guru pada tahun ini yang membawa seribu satu cahaya dalam
alam pendidikan negara. Akronim ‘Sejahtera’ yang menggabungkan 14 elemen
nilai-nilai secara sistematik dan bermakna.
Jelas beliau, majlis sambutan peringkat daerah berkenaan dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, Negeri Selangor, Klang Cemerlang Klang Terbilang dan bacaan doa, manakala Ketua Pegawai Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang, Maimunah Mustafa menyampaikan ucapan alu-aluan.
Dalam ucapan itu, Maimunah menyifatkan sambutan Hari Guru yang diadakan merupakan kenangan manis mengenai peranan guru yang diberikan kepercayaan sangat tinggi terhadap komitmen dan kemampuan guru sebagai seorang pendidik.
Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Nor Faridah A. Bakar dan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang, Maimunah Mustafa bersama-sama penerima anugerah Tokoh Guru dan Tokoh Kepimpinan pada Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Klang pada 16 Jun 2022 lalu.
Aruzzita berkata, pada majlis itu PPD Klang memberi Anugerah Ikon Guru kepada 10 guru mengikut kategori masing-masing. Empat daripada guru terbabit dinobatkan sebagai Tokoh Guru iaitu Raja Rozita Raja Hanafi, Huzaimah Mokhtar, Lee Siew Kiat dan Chethraselvan Kathan.
Sementara itu, Noraini Md. Tahir diumumkan penerima Tokoh Kepimpinan Daerah Klang. Penerima Tokoh Guru dan Kepimpinan menerima sijil penghargaan dan wang tunai sumbangan dari Bank Islam Cawangan Klang sebanyak RM1,000.
Muslimin (dua dari kanan) beramah mesra dengan Nor Faridah dan Maimunah pada majlis berkenaan.
Huzaimah yang dinobatkan sebagai Tokoh Guru, berkata beliau erpegang kepada prinsip sekiranya diberi tugasan buatlah tugas yang diberikan itu dengan hati yang ikhlas dan sehabis baik. Jadikanlah ia peluang untuk menambah pengalaman dan akhirnya akan merasa kemanisan dan kepuasan.
“Semoga dengan anugerah yang diterima ini akan menjadi pemangkin kepada guru-guru lain supaya lebih bersemangat dan bermotivasi untuk menjadi pendidik yang inovatif dan berdedikasi,” katanya. - KitaReporters
Huzaimah bersama sijil penghargaan yang diterimanya.