KISAH orang ramai ditipu oleh sindiket scammers (penipuan) sudah biasa sangat didengar dan akhir-akhir ini mereka bukan setakat membuat panggilan telefon.
Kini sudah 'merebak' kepada iklan dalam media sosial sehinggakan ada produk yang dijual itu disangkakan betul tetapi sebaik dapat, bukan saja ia produk lain daripada yang ditempah, malah rosak pula. Duit kita pun 'hangus'!!
Malah sindiket itu juga sudah berani menceroboh whatsApp orang ramai dan mengambil maklumat peserta dan kemudian menghubungi rakan-rakan serta sanak saudara mereka untuk meminta pinjaman atau memindahkan wang dengan alasan kad ATM tidak boleh digunakan atau akaun bank mereka ada masalah teknikal.
Lagi kisah-kisah jenayah berkaitan scammer
Jam yang dapat jenama saja sama tetapi bentuk, warna berbeza dan rosak.
Seorang mangsa yang tertipu membeli jam dalam talian ini memberitahu, dia ditawarkan jam tangan Rolex 'tiruan' gred A dengan harga RM249 daripada jualan asalnya RM2,490. Dia kemudian menerima hantaran bungkusan yang mengandungi jam yang rosak dan bukan juga jam daripada model yang dijanjikan.
Jika di pasaran, seutas jam itu dianggarkan bernilai lebih RM20,000 dan lelaki ini juga tidak perasan yang iklan itu dimuat naik oleh sindiket penipu berkenaan.
"Kita tahu ada jam tiruan atau jenis gred A yang sama dengan original, ingatkan macam biasalah ada tawaran menarik, terus kami menempahnya," katanya yang membeli jam itu untuk dihadiahkan harijadi anaknya.
Dia menempah jam tangan itu pada 16 Disember 2021 pada malam dan esoknya, ada wanita yang menghubungi dan berjanji akan menguruskan tempahan seperti biasa, serta memberi semua maklumat termasuk 'tracking' barangan yang diordernya dan jenama syarikat penghantaran cepat.
Kata pemanggil ini, dia tidak perasan produk itu diiklankan oleh scammer kerana urusan jual beli dibuat macam biasa.
Penerima tempahan itu, siap berintreksi beberapa kali dengannya dengan whatsApp suara dan setiap pergerakan jam itu dilaporkan sepenuhnya kepadanya.
"Wanita itu memberitahu saya, jam ini akan sampai dalam dua hingga empat hari dan berpesan supaya bayaran itu diberikan kepada 'posmen' sebanyak RM249," katanya.
Malangnya, barangan itu tidak dihantar oleh syarikat kurier sebaliknya dihantar oleh seorang wanita yang memandu kereta MyVi.
Mangsa membuat laporan polis, Bahagian Jenayah Perdagangan Bukit Aman, KPDNHEP dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Beliau memohon supaya orang ramai berwaspada dengan peniaga dalam talian yang kemungkinan besar didalangi sindiket penipuan selepas teknik biasa mereka guna sudah dapat dikesan oleh orang ramai.
Syarikat yang dikatakan membuat iklan menjual jam Rolex dengan harga yang murah
Sementara seorang lagi yang cuba ditipu oleh sindiket ini apabila mereka menceroboh WhatsApp rombongan jemaah umrah dengan mencuri maklumat kawan mereka dan menghantar secara persendirian kepada orang lain untuk meminta pinjam wang kononnya kad ATM tidak dapat diakses di Mekah.
"Kawan isteri saya ingatkan betul dia dalam kesusahan. Terus dia meminta isterinya memindahkan wang gajinya RM3,500 untuk membantu 'rakan' mereka yang dihimpit kewangan di Tanah Suci.
"Malangnya bila dia cuba menipu saya dan selepas menanya beberapa soalan yang hanya saya tahu mengenai lelaki itu, terbongkarlah percubaan menipunya," katanya.
Justeru, dia meminta orang ramai terutama jemaah umrah atau anggota rombongan yang akan berangkat ke luar negara jangan mendedahkan aktiviti mereka untuk menggelakkan maklumat mereka dicuri dan digunakan untuk menipu kawan-kawan mereka dalam kumpulan WhatsApp.
Jangan mudah dan cepat terperdaya jika ada orang yang kita kenali menghantar whatsApp meminta wang untuk dipinjamkan.
Seorang seorang lagi mangsa, seorang wanita berkata dia pernah "membayar' RM12,000 kepada seseorang yang membuat panggilan kepadanya mewakili sebuah bank yang memberi alasan kononnya, dia tidak membayar sejumlah wang pinjaman yang tertunggak.
"Pada masa itu, saya baru saja menerima komisen daripada urusan jual beli dan bagaimana 'pegawai bank' ini tahu saya tidak membayar pinjaman sebanyak itu.
"Saya terus memindahkan wang berkenaan dan apabila kes penipuan ini semakin menjadi-jadi, baru teringat mungkin dulu saya juga terkena," katanya.
Sementara itu, Bernama dalam laporannya, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sejumlah 67,552 kes penipuan scam membabitkan kerugian bernilai RM2.23 bilion dilaporkan sejak 2017 sehingga 20 Jun 2021.
Modus operandi penipuan itu melibatkan penyamaran daripada pihak bank, pihak berkuasa, perniagaan e-dagang atau pelaburan.
“Scammer akan menghubungi anda dan menyamar sebagai pihak berkuasa atau bank dan meminta maklumat peribadi untuk memindahkan wang.
"Ataupun mereka akan memberi tawaran murah untuk membeli barangan mahal dan meminta anda membuat bayaran terlebih dahulu, kemudian mereka tidak membuat penghantaran,” kata SC dalam laman sosialnya. - KitaReporters