Seni & Sukan 23 Apr, 2021

Berita Terkini| Belum sempat dijual! Penganggur ditahan miliki mercun, bunga api bernilai RM50k!

@news editor 1
Semua kenyataan media/press releases boleh di emel ke [email protected]

Share this

ANTARA mercun dan bunga api yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah sewa Taman Desa Damai, Bentong di Pahang. - Kredit Foto Ihsan PDRM. 


POLIS Pahang menahan seorang penganggur di sebuah rumah dekat Taman Desa Damai, Bentong, kerana memiliki mercun dan bunga api bernilai RM50,000.

Ketua Polis Daerah Bentong, Zaiham Mohd Kahar berkata, dalam kejadian kira-kira 12.30 malam pada Khamis, 22 April 2021 seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun ditahan dalam serbuan yang dilakukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong.

“Ketika serbuan suspek mengaku sebagai penghuni rumah dan hasil pemeriksaan di bahagian ruang tamu menemui pelbagai jenis mercun serta bunga api.

"Lelaki berkenaan juga gagal mengemukakan sebarang lesen atau kebenaran untuk memiliki dan menjual mercun serta bunga api,” katanya yang dipetik Astro Awani, Jumaat 23 April 2021.



 Katanya, hasil siasatan juga mendapati suspek baharu memiliki semua jenis mercun dan bunga api terbabit dan disimpan di dalam rumah sewa suspek sebelum dijual kepada orang ramai sempena Aidilfitri ini.

“Kita akan teruskan siasatan untuk mengenal pasti dari mana mercun dan bunga api itu diperoleh,” katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957 kerana memiliki bahan letupan tanpa lesen sah dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai tidak menjual atau bermain mercun tanpa permit termasuk yang sudah diubahsuai kerana perbuatan itu merbahaya selain menyalahi undang undang. - KitaReporters


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar . Kredit Astro Awani.

0
0
0
1
0
You will be interested