TAK perlulah guna cara kotor untuk membuat marketing murahan sehingga sanggup merosakkan harta benda awam. Marketing murahan telah menjadi satu trend di mana para selebriti dan influencer (pempengaruh) sanggup melakukan perkara seperti ini untuk melariskan produk mereka walaupun mendapat nama buruk kerana ada dalam kalangan masyarakat yang akan menyokong mereka. : KitaReporters
Pada Sabtu, 9 Mei 2020, tular dalam media sosial, seorang warga Facebook berkongsikan mengenai seorang Instafamous yang telah baring di atas pokok yang ditanam oleh pihak DBKL di Presint River of Life (RoL).
Menurut Noor Fazlina Rosley yang menyebarkan gambar dan foto ini menyatakan bahawa tindakan ini bakal mengundang lebih ramai lagi orang yang mengikuti jejak langkah mereka untuk merosakkan harta benda awam.
Noor Fazlina menulis:
"Saya secara peribadi berpendapat bahawa dengan bukti-bukti yang ada ini, anda patut didenda, walaupun sekadar RM10 sekalipun, sebagai ganti rugi teladan (punitive damages/exemplary damages) kepada semua, dan diuar-uarkan oleh media supaya menjadi teladan.
"Sementara itu, saya tahu post ini juga akan bertambah membantu bisnes anda kerana perhatian yang diberikan terhadap kesalahan anda. Well, you win some, you lose some. Bak pepatah cakap, hidup perlukan PENGORBANAN."
Sementara itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur turut mengeluarkan kenyataan dalam akaun Facebook mereka tentang isu ini.
Tidak kira anda siapa, atau apapun tujuan anda, anda telah melakukan kesalahan di sini, pertama merosakkan harta Datuk Bandar Kuala Lumpur di bawah Undang Undang Kecil Vandalisme dan kedua melakukan penggambaran tanpa memperolehi kebenaran terlebih dahulu daripada Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Perlu diingatkan bahawa sebarang aktiviti di sepanjang presint River of Life (RoL) perlu mendapatkan kebenaran termasuk penggambaran.
Tujuan bunga dan pohon renek ditanam di lapangan adalah untuk hiasan dan keindahan bukan untuk dimusnahkan.
Rata-rata netizen yang melihat foto dan video yang tular ini berasa sangat marah dan geram akan tindakan mereka.
Mereka juga menyatakan ini adalah tindakan tidak bermoral yang tak sepatutnya dilakukan.
Semoga kejadian ini dapat memberi pengajaran kepaada semua agar tidak melakukan perkara sama. - KitaReporters