Seni & Sukan 30 Apr, 2022

Video| Rindu Di Hari Raya! Untuk mereka kehilangan orang tersayang! Semasa pandemik Covid-19!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


HARI Raya Aidilfitri 2022 sudah pastinya disambut dengan lebih meriah tahun ini memandangkan aktiviti ziarah dan merentas negeri akhirnya dibenarkan selepas dua tahun menyambutnya dalam suasana pandemik Covid-19.  

Kemeriahan sambutan hari raya kali ini ditambahkan lagi dengan pelancaran single lagu-lagu raya baharu yang berkonsep ceria kerana dapat menyambut hari raya bersama ibu bapa dan sanak saudara di kampung halaman dengan peraturan yang lebih longgar berbanding sebelum ini. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan lagu-lagu raya


Tidak mahu melepaskan peluang, dua penyanyi yang lahir dari program realiti terbitan stesen TV tempatan, Rayme Zainal dan Affizy Khairy buat pertama kali berganding untuk merakamkan sebuah lagu raya baharu bagi memperingati insan tersayang terutama ahli keluarga dan teman-teman rapat yang telah pergi ketika pandemik terutama berpunca daripada wabak Covid-19.   

Menurut kenyataan media pada 29 April 2022, diterbitkan oleh produser musik dan juga penyanyi, Jason How, lagu berjudul ‘Rindu Di Hari Raya’ ini menampilkan rentak genre balada yang disulamkan dengan elemen irama tradisional agar dapat didengari dan diterima oleh semua peringkat umur, sekali gus memberikan vibe raya yang kelainan dari segi mood dan susunan musik berbanding lagu raya yang lain. 



Lagu Rindu Di Hari Raya, hasil ciptaan sepenuhnya oleh Rayme Zainal atau lebih senang dengan panggilan Ray, adalah berdasarkan pengalaman sebenar yang dilalui dirinya yang kehilangan insan tersayang serta pengalaman teman-teman yang kehilangan ibu dan bapa di kampung halaman ketika pandemik dan tidak kesempatan untuk balik menziarahi mereka.   

Berbeza dengan lagu-lagu raya baharu yang menengahkan konsep ceria, lagu Rindu Di Hari Raya membawa pendengar mengimbau kembali kenangan menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama orang tersayang, namun ketiadaan mereka kerana telah pun pergi menemui Sang Pencipta menerbitkan kerinduan yang pastinya mengusik jiwa setiap kali menyambut ketibaan bulan Syawal.  

Proses rakaman lagu Rindu Di Hari Raya ini mengambil masa lebih kurang dua jam untuk merakamkan lagu berdurasi lebih 3 minit ini dan memakan masa seharian untuk sesi rakaman video muzik yang dijalankan di sebuah homestay di Banting, Selangor. 

Dengan berlatarkan rumah kampung, video ini mengimbau kembali kenangan manis dua beradik membuat persiapan hari raya bersama keluarga dan teman-teman sekampung. Rasa rindu dan sedih tetap hadir setiap kali mengenangkan mereka tiada bersama pada hari raya. 



Bagi Affizy Khairy atau lebih mesra dipanggil Agy, pengalaman merakamkan video muzik raya ini sangat menyeronokkan kerana melibatkan ahli keluarga serta kawan-kawan rapat yang sentiasa memberikan sokongan terhadap minat mereka dalam bidang nyanyian, menjadikan video muzik ini lebih peribadi dan lebih bermakna. 

 “Kami sama-sama berlatih menari, tetapi fokusnya lebih kepada menghayati lagu yang mempunyai jalan cerita di mana ia merupakan perkara utama yang ingin kami sampaikan kepada pendengar,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Berharap pendengar akan suka dengan lagu raya pertama ciptaannya ini, Rayme menyifatkan lagu raya ini adalah amat bermakna buat dirinya. Lagu ini pastinya membuat dirinya merindu arwah ayah, datuk dan neneknya setiap kali menyambut hari raya Aidilfitri. 

“Harapan saya untuk lagu ini adalah untuk membawa kenangan manis dan rasa rindu yang mendalam sewaktu menyambut hari raya kepada semua pendengar.

“Walaupun negara kita sudah memasuki fasa endemik, kenangan menyambut lebaran pada kala berlakunya wabak covid-19 banyak memberi kita pengajaran serta kesedaran tentang kehidupan terutama menghargai insan tersayang pada kala mereka masih ada bersama dengan kita, namun saya berharap agar semua pendengar masih lagi dapat merasai kemeriahan menyambut hari raya dengan mendengar lagu raya ini,” katanya dalam kenyataan media yang sama.

Lagu Rindu Di Hari Raya kini boleh didapati bermula pada 29 April 2022 di kesemua pelantar penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX dan Deezer. Manakala video muziknya boleh ditonton dalam saluran YouTube Rayme Zainal. - KitaReporters


12
18
0
10
0
You will be interested