Seni & Sukan 28 Apr, 2022

Keluarga Malaysia: Demi kemanusiaan sejagat! Sukarelawan NGO terus komited bantu etnik Rohingya!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


WALAUPUN dihimpit pelbagai isu kontroversi namun ia tidak mematahkan semangat sekumpulan sukarelawan bergabung tenaga untuk terus membantu keluarga miskin dan asnaf dalam kalangan etnik Rohingya di Ampang, Selangor yang memasuki tahun keenam.

Kumpulan itu yang menggabungkan ahli daripada pelbagai sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sekitar Selangor termasuklah Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), di Semenyiih dan Pusat Jagaan Nur Hasanah, di Beranang turun padang bagi mengumpulkan dana dan membeli barangan makanan keperluan asas untuk diagihkan kepada etnik berkenaan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan etnik Rohingya

Beberapa ahli keluarga etnik Rohingya membungkus pelbagai barangan makanan keperluan asas sumbangan daripada pelbagai pihak untuk diagihkan.


Jurucakap kumpulan itu, Aishah Ahmad, berkata bakti murni mereka itu seharusnya tidak disalahertikan kerana usaha berkenaan juga selaras aspirasi Keluarga Malaysia bagi membela nasib mereka yang memerlukan bantuan tanpa mengira bangsa dan agama.

Menurutnya, atas dasar kemanusiaan dan keprihatinan dia bersama-sama ahli sukarelawan NGO terbabit bergading bahu mengumpul dana dan barangan yang disumbangkan oleh pelbagai pihak untuk diberikan kepada keluarga etnik terbabit yang hidup terpencil di ibu kota.

Jelasnya, mereka itu adalah pelarian di bawah UNHCR, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang turut mendapat perhatian daripada Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) bagi membantu Pusat Pendidikan Muhajirin Rohingya bagi mendidik lebih 80 murid anak etnik berkenaan

“Apabila usaha kami ini diviralkan, pelbagai pihak sudi membantu dengan membeli barangan makanan keperluan asas seperti minyak masak, gula, tepung gandum, beras, bawang, ubi kentang, susu, teh dan milo untuk disumbangkan termasuk individu yang menghulurkan wang zakat,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan di pusat pendidikan itu pada 24 April 2022 lalu.


Aishah (kanan) yang gigih berusaha mengumpulkan dana bersama seorang anak etnik Rohingya yang menerima sumbangan wang zakat.


Seorang sukarelawan yang terbabit, Dr Melor Mohd Mansor pula berkata, program itu yang sudah dilaksanakan sekian lama boleh dianggap sebagai aktiviti terakhir sukarelawan NGO terbabit menabur bakti dalam kerja amal kebajikan sempena Ramadan setiap tahun.

Katanya, program berkenaan juga secara tidak langsung kami mempelawa pelbagai pihak termasuk individu berkongsi rezeki membantu dalam kalangan keluarga etnik itu yang miskin serta asnaf dan ada antara mereka pula yang mengagihkan wang zakat. 

“Bagaimanapun kami daripada sukarelawan NGO sebelum ini sudah biasa turun padang bersama-sama pelbagai pihak membantu penduduk yang ditimpa musibah bencana alam seperti banjir yang teruk pada hujung tahun lalu (2021) di beberapa negeri,” katanya. 


Sebahagian ahli sukarelawan NGO mengaminkan doa bersama-sama anak etnik Rohingya di Ampang, Selangor, yang menerima sumbangan wang zakat.


Cikgu di pusat pendidikan berkenaan, Husna Begum Md Hussain, berkata dia berasa amat terharu dengan perhatian diberikan oleh ahli sukarelawan NGO itu setiap tahun yang tidak lupa membantu mereka daripada etnik Rohingya.

Menurutnya, walaupun sumbangan itu tidak seberapa tetapi amat bermakna serta bernilai tinggi bagi kami yang menumpang di negara asing dan hidup dalam serba kekurangan namun tetap bersyukur diterima baik masyarakat sekeliling.

“Wang zakat yang disumbangkan kepada pusat ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memberi pembelajaran asas kepada anak-anak etnik Rohingya khusus meningkatkan kemahiran mendalami bahasa Melayu untuk mudah bergaul dengan masyarakat,” katanya. - KitaReporters


Husna Begum (empat dari kanan) menerima sumbangan wang zakat untuk pusat pendidikan yang disampaikan ahli sukarelawan NGO, Salwa Yunus.

23
10
2
8
0
You will be interested