Seni & Sukan 03 Sep, 2020

Untung penduduk DUN Telok Mas! ADUN kerap buat Ziarah Kasih!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

SEMPENA sambutan Bulan Kemerdekaan, Exco Pendidikan, Sains & Teknologi Hijau dan Inovasi Melaka, Datuk Noor Effandi Ahmad telah turun padang untuk beramah mesra dengan penduduk di Kampung Pengkalan Jajar, Bukit Punggur di Melaka, khususnya untuk mengambil kesempatan bertanya khabar dua warga emas yang menghadapi masalah kesihatan. : KitaReporters

Noor Effandi Ahmad dan Azadi Mohd Diah bertanya khabar Esah Ibrahim yang menghidapi sakit buah pinggang di  Kampung Pengkalan Jajar, Bukit Punggur, Melaka.


Dalam lawatan Ziarah Kasih pada Khamis, 27 Ogos 2020 itu, Noor Effandi, Noor Effandi yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Telok Emas, bertemu dengan Esah Ibrahim, 78 yang menghidap sakit buah pinggang dan Fatimah Hamid, 68, mengalami sakit saraf bagi bertanya khabar. 

Menurut Pengerusi JPKK Bukit Punggor, Azadi Mohd Diah, kedua-dua Esah dan Fatimah teruja dikunjungi Noor Effandi yang bertanya mengenai kesihatan mereka.

Suami Fatimah Hamid, Isnin Said (kanan) menerangkan sakit saraf yang dialami isterinya kepada Noor Effandi.


“Makcik Esah Ibrahim ini usianya 78 tahun, sudah beberapa bulan ini disahkan ada sakit buah pinggang. Suaminya Pakcik Ahmad Astar pula berusia 80 tahun tetapi kelihatan tegap dan jelas segala percakapannya. Cuma dia sendiri akui ada masalah mahu mendengar orang berkata-kata. “
“Mulanya Makcik Esah cukup ceria dan semangat sungguh dia mahu berborak menerima saya singgah ke rumahnya. Selepas hampir 10 minit dia mula kelihatan lemah dan penat. Dia kata, ‘Doktor suruh cucuk datang seminggu sekali tapi makcik takut,“ tulis Noor Effendi dalam hantaran ke akaun Facebooknya.

Menurut Azadi, kunjungan Noor Effandi itu secara tidak langsung memberikan beliau peluang memahami masalah penduduk setempat dengan lebih dekat selepas dimaklumkan oleh JPKK dan memikirkan bantuan yang perlu disalurkan khusus untuk dua warga emas itu.

Kredit foto: FB Noor Effendi Ahmad


Ab Razid Kalil 


Bagi Sidang Pengkalan Jajar, Bukit Punggur, Ab Razid Kalil, penduduk DUN itu seharusnya berasa bersyukur memperoleh wakil rakyat yang dedikasi dan gigih untuk turun padang bagi mengetahui lebih dekat permasalahan rakyat. 

“Dalam usia yang masih muda dan mudah untuk dihubungi serta mesra saya yakin nasib penduduk di DUN ini akan mendapat pembelaan sewajarnya daripada Noor Effandi terutama apabila turut popular dalam kalangan pelajar sekolah kerana selalu menghulurkan bantuan bidang pendidikan,” katanya. 

Noor Effandi (tengah) bersama-sama Pengerusi-Pengerusi JPKK selepas majlis penyerahan Watikah Pelantikan dan Himpunan Bulan Kemerdekaan Pemimpin Masyarakat DUN Telok Mas, pada Jumaat, 28 Ogos 2020.


Sementara itu, Noor Effandi turut menghadiri majlis penyerahan Watikah Pelantikan kepada 12 Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, Melaka Tengah pada Jumaat 28 Ogos 2020 lalu. 

Pelantikan itu yang berkuatkuasa bermula 1 Jun 2020 sehingga 31 Disember 2022 diadakan bersempena Himpunan Bulan Kemerdekaan Pemimpin Masyarakat DUN berkenaan di sebuah hotel terkemuka, di Ayer Keroh, Melaka.

Pengerusi JPKK  juga berperanan selaku Ketua Kampung di kawasan masing-masing dan menjadi ‘mata’ serta ‘telinga’ kepada Noor Effandi yang merupakan Ahli Dewan Undangan (ADUN) kawasan itu dalam mendengar keluhan penduduk.

JIka ada masalah atau isu berbangkit mereka akan menyediakan laporan lengkap dan mengemukakan cadangan menyelesaikan perkara itu kepada Jawatankuasa  dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) serta ADUN supaya tindakan segera dapat dibuat.

Setiap laporan mengenai masalah penduduk khusus membabitkan bencana alam, kemiskinan, kesihatan dan sebagainya akan disiasat untuk membolehkan ADUN bertindak segera selain memastikan bantuan dapat dihulurkan dan sampai kepada sasaran.

Ahli Exco Pembangunan Daerah, Luar Bandar dan Pengurusan Banjir Melaka, Datuk Seri Idris Haron (empat dari kiri) bersama-sama sebahagian Pengerusi JPKK yang menerima Watikah Pelantikan.


Noor Effandi berharap  mereka yang dilantik sebagai Pengerusi JPKK itu supaya dapat bekerjasama antara mereka dan melaksanakan tugas dengan penuh amanah tanpa membezakan fahaman politik, bangsa dan agama.

Menurutnya, mereka juga perlu mengeratkan hubungan baik dengan penduduk kampung dan memupuk semangat muhibah serta perpaduan kerana perkara itu akan banyak membantu dalam menyelesaikan masalah yang timbul.

“Dengan bantuan dan kerjasama Pengerusi JPKK, JAPERUN serta pihak berkuasa tempatan saya akan memberi perkhidmatan yang terbaik untuk semua penduduk dalam DUN Telok Mas dan akan sentiasa ambil penduli membela nasib mereka,” katanya. - KitaReporters

15
2
0
0
0
You will be interested