KALAU ada mengikuti karya YonnyBoii dalam industri muzik sejak beliau aktif sebagai pemuzik underground hingga sekarang, sedikit sebanyak anda sudah dapat mengetahui isi hatinya. Penyanyi yang nama sebenarnya, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, 22, berkata lagu-lagu yang dicipta adalah luahan isi hatinya dan secara tak langsung kita sudah dapat mengetahui apa yang dilalui oleh YonnyBoii sejak dulu hingga kini. : KitaReporters
YonnyBoii menjadikan pengalaman silam sebagai lirik lagu yang didendangnya.
YonnyBoii yang ditemui pada majlis pelancaran lagu Kelabu pada Isnin, 29 Jun 2020, mengaku dirinya menghidap penyakit sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD) sejak kecil.
Namun kata YonnyBoii, beliau hanya mengetahui mempunyai penyakit tersebut selepas diberitahu oleh seorang rakan pada tahun 2019 lalu.
“Saya baru dapat tahu yang saya ada ADHD selepas berjumpa dengan seorang kawan pada tahun lepas.
"Dari situ baru saya tahu kenapa orang tak suka saya. Kawan saya ni seorang doktor, dia baru balik dari Mesir dan datang ke rumah saya.
“Waktu kami bercerita dan tanya khabar, dia perhati saja saya dan kemudian beritahu, Mat, kau ni ada penyakit ADHD la.
"Bila dia beritahu saya ada ADHD, saya tak pergi hospital pun untuk rawatan susulan sebab saya rasa saya dah cukup matang untuk atasi masalah itu.
“Ibu bapa saya pun tak dapat kesan penyakit saya ini dulu sebab saya dilahirkan sebagai seorang yang normal.
"Masa kecil-kecil dulu saya pelik kenapa orang bagi reaksi yang berbeza terhadap saya, sampai sekarang pun saya masih terasa.
“Kalau tanya mana-mana pemuzik yang kenal saya, pertama kali bertemu mereka akan kata saya pelik.
"Saya tanya Zynn Nakal yang rapat dengan saya, dia kata masa mula-mula jumpa, dia pun nampak saya pelik kerana over react,” ceritanya sampai pernah dituduh mengambil pil kuda kerana terlampau hiper.
Berkolaborasi dengan Azlan Typewriter mendendangkan lagu Kelabu, kisah mangsa buli.
Biarpun
menyedari dirinya ada penyakit ADHD, namun YonnyBoii tidak mengambil langkah
untuk mengatasi penyakitnya biarpun.
“Setakat ini
saya tak akan buat apa-apa. Kalau masa kecil dapat kesan, mungkin ibu bapa saya
akan buat sesuatu. "Saya akan lalui kehidupan ini dengan apa adanya. Memang ada
ubat penenang tapi kalau saya ambil ubat penenang, saya tak dapat nak berkarya.
“Bohonglah kalau saya kata, sekarang ini saya bersih daripada ADHD, sesekali ada juga tekanan.
"Apa pun saya berterima kasih kepada teman wanita saya yang banyak memantau pergerakan saya. Dia terima saya seadanya.
"Kalau ada perkara yang tak baik, dia akan nasihat saya. Kami berkawan sejak 2018,” katanya yang mengambil masa setengah jam untuk menulis lirik Kelabu.
Jelas
YonnyBoii, sewaktu menulis lirik Kelabu, dirinya benar-benar rasa tertekan
ketika itu dan bagi mengatasi masalah itu, beliau luahkan isi hatinya menerusi
lirik lagu.
“Tak ada cara lain untuk saya luahkan perasaan hanya menerusi lagu saja. Saya memang ada perasaan tertekan, banyak kali juga.
"Saya selalu tertanya kenapa saya macam ni dan tak sama dengan orang lain. Kenapa ada perbezaan itu. Kenapa orang tak boleh terima saya.
“Bila saya pandang balik diri saya yang dulu, barulah saya faham. Terapi saya adalah lagu sebab lagu dah jadi macam diari hidup saya.
"Kalau dengar lagu-lagu saya dapatlah faham perjalanan hidup saya,” katanya yang telah menghasil lagu seperti Tujuan, Biar, Salahku, Takut (duet dengan Caprice), Sakit (Zynn Nakal), X Missing U (Dayang Nurfaizah, Faizal Tahir & Tuju), 3 Kucing (Arif Bharan & Adam E).
Sehingga kini, YonnyBoii sering tertanya kenapa orang sekeliling suka pandang dirinya sebagai 'orang asing'.
Menyentuh mengenai lagu Kelabu, hasil kolaborasinya bersama Azlan Typewriter, YonnyBoii berkata, lagu tersebut telah tular dalam laman sosial sejak 2019 selepas dimuat naik.
Malah beliau juga tidak sangka akan berkolaborasi dengan Azlan Typewriter.
“Lagu ini viral pada 2019. Saya ni dulu underground. Komuniti artis underground ni gemar pull out lagu macam tu je kat media sosial.
"Awalnya biasa-biasa saja dan bila tengok balik, terkejut juga sebab ramai yang sokong.
“Sebenarnya kolaborasi dengan Azlan ni pun tak dijangka. Bila pengurusan beritahu daripada lagu ini terbiar begitu saja, baik buat sesuatu dan cadangkan berduet.
"Bila pengurusan bagi tahu Azlan sudi nak berduet, saya pun teruja sebab saya pun selalu dengar lagu dia,’ cerita YonnyBoii.
Selain berduet dengan Azlan Typewriter, YonnyBoii turut mendapat permintaan rakan artis lain untuk berkolaborasi dengannya.
Tambahnya, lagu
Kelabu yang berkisar tentang kes buli adalah berkaitan dengan masa silamnya.
“Saya selalu tulis lagu pasal masa silam saya dan semua lagu yang saya cipta adalah kisah saya.
"Lagu Kelabu ini pasal buli dan saya adalah mangsa buli. Saya tulis lagu ini sebagai mangsa buli, inilah yang saya rasa.
“Saya dibuli sejak tadika lagi, dari usia enam tahun.
"Masa duduk asrama pun kena. Dibuli pelbagai cara dari segi fizikal dan mental. Buli cara fizikal daripada senior waktu kat asrama. Saya masuk asrama waktu usia 16 tahun.
“Entahlah, saya sendiri tak tahu kenapa saya dibuli, mungkin mereka tak suka orang pendiam kot, sebab saya jenis pendiam.
"Bila orang aju soalan kepada saya barulah saya jawab. Bila saya tak banyak cakap, ada yang anggap saya sombong dan pelik. Saya ni selalu berseorangan,” jelasnya.
Kata
YonnyBoii, beliau sudah lali dengan pandangan berbeza orang sekeliling
terhadapnya dan enggan ambil peduli. Sebaliknya, beliau bersyukur kerana Allah
telah menganugerahkan dirinya dengan kebolehan mencipta lagu. - KitaReporters