Seni & Sukan 27 Jun, 2022

Terbaik SK Melayu Raya! Terap konsep belajar melalui bermain! Bekerjasama dengan Pusat STEM UM!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


SEKOLAH Kebangsaan Melayu Raya (SKMR), Segamat, Johor sentiasa berusaha gigih menyantuni muridnya untuk berasa seronok dan bersemangat untuk hadir ke sekolah setiap hari bagi menimba ilmu tanpa tertekan dengan rasa bosan dan jemu. 

Bagi mencapai hasrat itu SKMR sudah memasuki tahun ketiga apabila menganjur program Let’s Go To Mummie’s Lab bersama Universiti Malaya (UM), selama dua hari bermula 19 Jun 2022 lalu. 

Program yang dijalankan oleh UM di bawah inisiatif bersama Pusat Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik atau Science, Technology, Engineering, and Mathematics  (STEM) Centre Universiti Malaya (UM) dan Persatuan STEM Kebangsaan (National STEM Association) memberi fokus kepada pengenalan dan perkembangan pengajaran serta pembelajaran dalam bidang sains dan teknologi untuk murid pada peringkat awal persekolahan


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan sekolah-sekolah 

Murid SKMR dalam aktiviti pembelajaran  ‘play-based learning technique’.


Hasil kolaborasi SKMR dan UM itu program berkenaan memperkenalkan konsep ‘play-based learning technique’ (teknik pembelajaran berasaskan bermain) untuk menerapkan minat terhadap sains dan teknologi dalam kalangan murid-murid, meningkatkan daya kreativiti dan kemahiran berinteraksi, mengembangkan bakat serta potensi murid selaras dengan kehendak falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Pengerusi Jawatankuasa program berkenaan yang juga Guru Besar SKMR, Mohd Ali Hadoon, berkata sekolah itu dipilih oleh UM untuk menyertai program terbabit sejak tahun 2016, 2018 dan tahun ini dengan aktiviti yang berunsurkan STEM membabitkan murid, guru dan ibu bapa.

Menurutnya, program itu dikendalikan tiga fasilitator dalam kalangan pensyarah yang berperanan sebagai penyelia aktiviti mentor membabitkan tujuh mahasiswa UM dan 17 guru SKMR bertindak sebagai penasihat.


Fasilitator dalam kalangan ibu bapa turut terbabit menjayakan program berkenaan.


Jelasnya, sasaran program itu membabitkan 177 murid daripada prasekolah hingga tahun enam, manakala setiap kelas berkenaan turut menempatkan empat wakil ibu bapa serta pasukan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang mengikuti pembelajaran STEM selain membantu pelaksanaan program berkenaan.

“Play-based learning technique ini memberi peluang ibu bapa dan guru khususnya dapat melihat sendiri konsep pembelajaran berkenaan bagi menarik minat murid untuk diamalkan dalam pengajaran.

“Pendekatan play-based learning technique atau belajar melalui bermain sebagai pendekatan kepada fitrah anak-anak, dapat diterapkan dalam pembelajaran di sekolah dan di rumah selain dengan kerjasama semua pihak dan naungan UM STEM Centre diharap penghayatan STEM dalam kalangan masyarakat akan lebih baik.


Guru Besar SKMR, Mohd Ali Hadoon (depan), Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan UM, Dr Nur Azah Hamzaid dan fasilitator program Let’s Go To Mummie’s Lab bersama UM Science, Technology, Engineering, Mathematics  (STEM) Centre dan Nasional STEM Movement.


“Manfaat yang diperoleh oleh murid, ibu bapa dan SKMR, murid mendapat pendedahan keseronokan belajar STEM  sementara Ibu-bapa juga dapat pengalaman baharu bahawa aktiviti STEM boleh dilakukan dengan mudah dan boleh dibuat di rumah,” katanya.

Mohd Ali berkata, program itu secara tidak langsung memberi motivasi kepada murid kerana tenaga fasilitator adalah dalam kalangan pelajar yang bakal meneruskan pengajian untuk kelulusan Doktor Falsafah (PhD).

Katanya, ibu bapa pula mendapat pendedahan suasana anak mereka ketika dalam kelas serta dapat melihat sendiri proses yang dilaksanakan. Justeru memberi gambaran peranan ibu bapa dalam membantu pihak sekolah dan guru memberikan sokongan padu pembelajaran dalam kelas. 


Fasilitator sedang mengendalikan aktiviti dalam program Let’s Go To Mummie’s Lab bersama UM.


Tambahnya, pihak sekolah dapat mengenali serta memahami peranan ibu bapa dalam institusi pendidikan sekolah dengan lebih jelas supaya hala tuju yang ingin dicapai seiring bersama disamping wujud kerjasama erat demi kecemerlangan anak.

Beliau berkata, SKMR terpilih bagi melaksanakan program berkenaan kerana jalinan yang baik dengan UM selain semangat kekeluargaan dan kejiranan dalam kalangan ibu bapa serta guru menarik perhatian pihak UM untuk dicontohi.

“Komitmen dan sokongan guru serta ibu bapa dalam program terdahulu apabila mampu bekerjasama dalam pelbagai perkara bagi mempastikan kecemerlangan murid dalam pelajaran dikagumi UM. 

“Paling bermakna apabila program ini mendapat sokongan daripada Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan UM, Dr Nur Azah Hamzaid; Yang Dipertua PIBG SKMR, Ngatiman Seron; dan Ketua Kampung, Kampung Melayu Raya, Abd Razak Ab Rahman,” katanya. - KitaReporters


Penduduk kampung turut menyantuni fasilitator program berkenaan.

___________________

 

27
9
0
8
0
You will be interested