Seni & Sukan 12 Apr, 2022

Tahniah sekali lagi untuk Siti Nurhaliza! 7 tahun berturut-turut! 500 Muslim paling berpengaruh!

@fauzan uda ahmad
Bekerja dengan Utusan Malaysia dari 1985 hingga 1996. Menjadi wartawah hiburan, koresponden di Jakarta, Indonesia dan Ketua Meja Hiburan. juga bertugas dengan beberapa media lain

Share this

Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin,  43, terus mencatat pencapaian cemerlang apabila tersenarai dalam 500 Muslim paling berpengaruh di dunia bagi kali ketujuh berturut-turut dalam ‘The Muslim 500: The World's 500 Most Influential Muslims’.

Siti Nurhaliza disenarai sejak 2016 dan diletakkan di bawah kategori seni dan budaya sejak tahun 2016 lalu.

Turut diletakkan dalam kategori yang sama bagi dua tahun berturut-turut ialah penyanyi nasyid dan composer Hafiz Hamidun.


Siti Nurhaliza dalam hantaran Instagramnya meluah rasa syukur atas penghargaan itu.

"Syukur kepada-Nya. Tiada lain yang memungkinkan pengiktirafan ini selain Allah.

"Saya terharu dan terinspirasi selama tujuh tahun. Ini kerana menjadi antara 500 umat Islam yang terpilih daripada pelbagai latar belakang, pekerjaan, golongan dan sebagainya.

"Saya hanya insan kerdil yang sentiasa bersyukur dan insya-Allah, ia menjadikan saya seorang yang lebih baik daripada sehari ke sehari," katanya.


Tambah Siti Nurhaliza, setiap mereka yang berada di muka bumi mempunyai peranan tersendiri.

"Kena buka minda, siapa pun kita atau menjadi apa sekali pun atas muka bumi ini, jadilah insan berperanan kepada orang lain.

"Saya sentiasa berdoa menjadi salah seorang daripadanya. Ia bukan untuk kemasyhuran diri, tetapi seorang hamba Allah yang dapat berbakti dan menyalurkan hal bermanfaat demi agama, bangsa dan negara.

"Saya sedaya upaya mengambil bahagian dalam apa juga pembangunan dan aktiviti yang merapatkan saya sebagai umat Islam, mengukuhkan agama serta memperlihatkan contoh terbaik buat semua," katanya.


Penghargaan ini diterima tidak lama selepas Siti Nurhaliza diumum berada di tempat ke-27 daripada 100 penghibur terkemuka dunia yang paling banyak menerima anugerah dalam portal The Artist Museum.

Berdasarkan catatan buku The Muslim 500: The World's 500 Most Influential Muslims 2022 yang diterbitkan oleh Royal Islamic Strategic Studies Centre, Amman, Jordan, Siti Nurhaliza tersenarai bersama individu berpengaruh dari Malaysia seperti bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. - KitaReporters


16
11
0
15
0
You will be interested