Seni & Sukan 03 Aug, 2023

Jamal janjikan kelainan pada konsert 9 Sept 2023! Ada anak Osama, Zaki! Ada artis undangan rahsia!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: farizaum@yahoo.com

Share this


Biar pun penyanyi legenda ini melantunkan lagu ‘Penghujung Rindu’ buat peminatnya namun seperti judul lagunya itu tiada penghujung rindu yang dapat dinoktahkan kepada Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah sejak bergelar Juara Bintang RTM 1979.

Ketika pemilik nama sebenar Jamal Ubaidillah Mohd Ali ini berusia 20 tahun ketika itu, namanya terus memuncak sehinggalah terkini sebagai warga emas pada usia 64 tahun, Jamal masih relevan kala dunia muzik beralih ke fasa hip hop mahu pun genre yang memikat hati muda muda sekarang ini.

Terbukti nilainya dalam industri seni hiburan tanah air tidak pernah susut waima hadirlah beribu-ribu pendatang baharu sekali pun, kedudukan Jamal Abdillah  tetap unggul pada mata peminatnya dari pelbagai lapisan umur.



Memang benar seperti kata pengacara Datuk Aznil Nawawi ketika berbicara dengan Jamal pada program RTM ‘Ini Baru Bintang’ yang disiarkan secara langsung di TV2 pada Ahad 30 Julai lalu iaitu ‘sama ada bercakap atau bernyanyi suara Jamal sama sahaja. Abang telan kaset’ ke?"  gurau Pak Nil

Rata-rata penonton yang hadir dari yang dewasa kepada yang muda semua setia menantikan kehadiran Jamal yang malangnya hanya menyanyikan sebuah lagu “Aku Penghibur’ sebelum program selama hampir tiga jam itu berakhir.

Nampak rasa tidak puas hati para penonton dengan persembahan Jamal yang hanya seketika tetapi apakan daya, Jamal hanya muncul pada permulaan siaran memperkenal barisan artis dan sekali lagi pada penghujung program menyampaikan lagu "Aku Penghibur' sebelum  barisan artis kembali semula sebagai menutup siaran.



Tetapi usah khuatir, Jamal Abdillah bakal mengubati kerinduan peminatnya sekali lagi menerusi persembahan ‘Jamal Abdillah Live In Concert’ yang akan berlangsung pada 9 September 2023 bertempat di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). 

Anjuran penganjur yang terkenal dengan konsert-konsert artis ternama, Shiraz Projects, ia akan menjadi sebuah konsert istimewa dengan persembahan dan ‘sesuatu’ yang telah direncana untuk dilaksanakan pada malam tersebut. 

“Saya tertarik untuk melaksanakan Jamal Abdillah Live In Concert kerana konsep yang dipersembah dan bagaimana saya boleh berinteraksi dengan peminat dalam suasana atau skala yang lebih besar. 

"Hal ini kerana saya biasanya terbabit dengan persembahan korporat tapi bila melakukan konsert tentulah ia akan dikuatkan bersama barisan pemuzik, susunan semula lagu-lagu yang dipilih serta persembahan saya juga perlulah mencapai piawaian konsert seperti yang diharapkan,” ujar Jamal ketika ditemui pada sidang media “Jamal Abdillah Live In Concert’ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini.



Jamal yang tampil segak turut ditemani Pengarah Urusan Shiraz Projects, Shirazdeen Karim (gambar atas, kanan).

Berkongsi lanjut, Jamal melahirkan rasa bersyukurnya atas kesudian Shiraz Projects mahu pun penganjur lain yang masih percaya pada penyanyi tempatan sepertinya untuk terus menghangatkan seni hiburan agar berada pada graf yang baik.

Malah bila dipersoal kenapa milih Jamal Abdillah, ini jawapan Shirazdeen, “mengapa tidak? Jamal Abdillah adalah satu jenama yang cukup kuat dalam industri muzik tempatan dan seorang figura yang sinarnya tidak pernah padam. Karakter serta pesona Jamal Abdillah itu sendiri sudah cukup kuat untuk menarik peminat datang.’

Shirazdeen yang lebih mesra disapa Shiraz sahaja yakin peminat Jamal tidak pernah jemu untuk melihat persembahan penyanyi bersuara emas itu apatah lagi bila melantunkan vokal  mantapnya dengan lagu-lagu malar segar seperti 'Azura' atau 'Di Sudut Kamar Hatiku', ‘Takdir Penentu Segala’ dan banyak lagi.

“Saya optimis Jamal Abdillah Live In Concert akan menjadi sebuah konsert yang gemilang dan menjadi satu lagi momen manis buat peminat semua,” tambah Shiraz yang turut menyediakan pakej tiket Meet & Greet berharga RM995 agar peminat tegarnya dapat bertentang mata, beramah mesra sekali gus mengisi dahaga kerinduan dengan idola mereka itu.



Selain itu harga tiket untuk konsert terletak pada  empat kategori iaitu RM595 (Diamond); RM495 (Platinum); RM355 (Gold) dan paling rendah berharga RM255 (Silver).

Jadi jika tidak mahu melepaskan peluang  mendengar secara langsung lunak dan ‘gagahnya’ vokal Jamal Abdillah melantunkan lagu-lagu hitnya seperti 'Kekasih Awal dan Akhir’, ‘Gadis Melayu’ dan ‘Aku Maafkan Mu’ dan lain lain eloklah segera membuat tempahan takut nanti ‘berputih mata’ pula.

Khabarnya, Jamal juga akan membawa kedua-dua anak lelakinya, Osama Yamani, 22, dan Zaki Yamani, 17, sebagai artis undangan disamping seorang lagi artis popular yang masih dirahsiakan.


Jamal bersama kdua anaknya, Zaki (kiri) dan Osama. - Kredit foto: Ihsan Jamal Abdillah dalam Bharian.com.my.


“Biarlah pihak penganjur yang mengumumkannya kelak tetapi yang pasti saya berjanji akan memberikan satu kelainan dengan susunan semula sebanyak 15 rangkaian lagu popular kegemaran ramai supaya konsert ini akan menjadi satu nostalgia manis dan dikenang sampai bila-bila,” akhiri Jamal.

Mungkinkah penyanyi popular itu bakal menjemput penyanyi generasi zaman sekarang waima Jamal terbukti kekal relevan apabila berduet dengan penyanyi-penyanyi baharu atau pun beliau akan menjemput artis seangkatan dengannya yang masih berbisa?

Kita nantikan jawapannya menjelang konsert nanti, apa pun jika jualan tiket ‘sold out’ ada kemungkinan ia akan dilanjutkan selama semalam lagi.

“Ya, saya merancang untuk menambahkan konsert lagi semalam jika tiket habis dijual bagi memberi peluang kepada lebih ramai peminat Jamal khususnya yang terlepas peluang membeli tiket hari pertama,” janji Shiraz

Pembelian tiket boleh dibuat menerusi www.my5cket.asia atau hubungi talian hotline +603 8605 0196. - KitaReporters


11
11
0
9
0
You will be interested