Sebahagian penduduk fakir miskin dan daif dari daerah Kampung Chennang dan sekitar hadir untuk menerima agihan daging korban dan barangan dapur.
KEPRIHATINAN kepada nasib penduduk yang fakir miskin dan daif mendorong Persatuan Badan Didikan Islam UDA Holdings Berhad (BADIM) meneruskan Program Ibadah Korban & Aqiqah dan Ziarah Kasih di daerah Kampung Chennang, Kemboja pada hari raya pertama Aidiladha 10 Julai 2022 lalu.
Program itu berjaya hasil
penyertaan ramai peserta termasuk kakitangan UDA yang menyertai ibadah korban
serta aqiqah dan penyumbang selepas mula diadakan sejak 2016 sebagai usaha
murni membantu mereka kurang bernasib baik di negara berkenaan.
Ini mungkin contoh terbaik bagaimana aspirasi Keluarga Malaysia boleh bergerak pada peringkat serantau dan antarabangsa.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan negara Kemboja
Azhar Yop turut melakukan penyembelihan lembu korban dengan dibantu penduduk kampung.
Pada tahun 2022 ini, program itu disertai lima sukarelawan BADIM termasuk Timbalan Yang Dipertuanya, Azhar Yop dan penyelaras program, Zainol Khalid bagi melihat serta menyelia sembelihan 43 lembu dan 14 kambing yang selesaikan dilakukan pada hari berkenaan.
Azhar berkata, ratusan penduduk yang menetap di desa sekitar daerah Kampung Chennang iaitu seperti Chrok, Kratie, Tralach, Chhlong, Chong Lah, Phnom Penh dan daerah Kampot hadir bagi menyertai gotong-royong menyembelih, melapah daging, memotong tulang, membungkus, mengagih daging korban dan sebagainya.
Ketua daerah, Morm Malay menyampaikan ucapan pada majlis perasmian program berkenaan.
Menurutnya, walaupun tidak
dapat mengadakan program berkenaan dalam tempoh tiga tahun lalu berikutan pandemik Covid-19, penduduk tidak berasa kekok menerima kedatangan mereka yang mungkin ada
sesetengah daripada mereka sudah mengenali sukarelawan BADIM sebelum ini.
“Semua kerja penyembelihan
korban dapat dilakukan dengan mudah serta cepat walaupun bilangan lembu dan kambing
yang banyak termasuk proses agihan kepada keluarga fakir miskin dan daif dapat
diselesaikan pada petang hari yang sama.
“Paling bermakna kepada kami daripada BADIM apabila ibadah korban tahun ini (20220 turut disertai ramai pemimpin masyarakat, wakil rakyat serta menteri daerah terbabit,” katanya.
Penduduk daerah Kampung Chennang dan sekitarnya di Kemboja bergotong-royong melapah dan membungkus daging korban dalam Program Ibadah Korban & Aqiqah dan Ziarah Kasih anjuran Badan Didikan Islam UDA Holdings Berhad (BADIM) pada 10 Julai 2022 lalu.
Azhar berkata, dianggarkan lebih 400 bungkusan daging lembu dan kambing dapat diedarkan kepada keluarga fakir miskin dan daif termasuk 200 keluarga turut menerima barangan dapur seperti beras, gula, tepung dan sebagainya hasil lebihan duit korban dan infak orang ramai.
Jelasnya, selain penduduk fakir
miskin serta daif yang menetap di kampung berkenaan, agihan daging korban dan
barangan dapur turut diberikan kepada 15 keluarga yang menghuni perahu usang di
Kampung Chong Kah.
Menurutnya, kesempatan itu juga digunakan oleh BADIM untuk mengunjungi sekolah tahfiz di Chhlong dan Kratie bagi menyerahkan pelbagai sumbangan barangan dapur serta keperluan harian kepada pelajar di sekolah berkenaan yang mengambil masa perjalanan selama enam jam melalui jalan tanah merah dari daerah Kampung Chennang.
Azhar dan sukarelawan BADIM mengagihkan daging korban dan barangan dapur kepada penduduk fakir miskin yang menghuni di atas perahu usang.
“Walaupun penat mengharungi pelbagai halangan kami sukarelawan BADIM berasa bersyukur kerana dapat menyempurnakan amanah rakyat Malaysia yang menyertai ibadah korban serta yang memberi sumbangan.
“Jika ada rezeki kami akan turun lagi pada tahun depan (2023) bagi menyempurnakan program ini kerana di negara berkenaan ramai penduduk fakir miskin serta daif yang wajar dibantu kerana ada antara mereka sukar untuk menikmati daging,” katanya. - KitaReporters
Azhar (tengah) bersama-sama pemimpin masyarakat, wakil rakyat serta menteri daerah berkenaan yang turut hadir pada program itu.