Land Rover Defender Series 3 88 yang kini mencecah usia hampir separuh abad akan menjadi taruhan buat pasukan kerdil dari Terengganu, GG 4x4 untuk berentap di pentas kejuaraan antarabangsa Rainforest Challenge (RFC) Grand Final 2025 yang dijadualkan bermula pada Sabtu, 29 November 2025.

Sanggup untuk menempuh perjalanan sejauh lebih 300km, pasukan yang berpangkalan dari Kampung Binjai Bongkok, Marang ini menyahut cabaran dengan mengekalkan hampir 90 peratus spesifikasi asal termasuk enjin berkapasiti 2.5 turbo diesel untuk turut sama merebut podium bersama pelumba-pelumba lain yang menggunakan jentera lebih moden berteknologi tinggi.
“Walaupun berusia hampir separuh abad, kami tetap yakin dengan kemampuan jentera lumba kami yang mempunyai sejarah panjang bersama kami selama ini.
“Tiada sebarang modifikasi besar-besaran dilakukan di mana kami masih mengekalkan enjin asal dan dan hampir sepenuhnya lain-lain komponen kecuali berkaitan dengan pendawaian elektrik yang sudah dimamah usia perlu ditukar baru,” ujar Tengku Khairul A Rahman selaku pemandu utama pasukan ini yang ditemui sewaktu majlis ‘flag-off’ yang telah berlangsung di Kompleks Kraf Kuala Lumpur pada 29 November 2025.

Pasukan GG 4x4 dari Terengganu yang dipacu oleh Tengku Khairul A Rahman (kanan) bersama juruarah Muhamad Nasrul Aiman Mohd Azili mempertaruhkan jentera lumba Land Rover Defender Series 3 88 untuk berentap selama 10 hari perlumbaan lasak Rainforest Challenge (RFC) Grand Final 2025 dari 29 November sehingga 10 Disember 2025 nanti.
Tambahnya lagi, jentera lumba ini juga mempunyai kelebihan untuk beraksi di atas pelbagai bentuk muka bumi ekstrem di mana-mana negara memberi tambah nilai terbaik untuk hadir berentap memburu kejuaraan.
Melihat pada cabaran yang akan dihadapi nanti, walaupun saingan sengit dilihat memihak kepada pasukan-pasukan dari benua Eropah namun Tengku Khairul tetap optimis peluang sama rata untuk setiap pasukan menamatkan setiap perlumbaan tanpa sebarang masalah.
Pasukan ini juga mempertaruhkan juruarah termuda yang baru berusia 22 tahun, Muhamad Nasrul Aiman Mohd Azili bagi membantu pasukan untuk meraih podium di pentas antarabangsa ini.
“Untuk sukan lasak ini, usia bukan penghalang namun kita tidak boleh nafikan pengalaman tetap menjadi faktor penting buat sesuatu pasukan menamatkan perlumbaan.
“Persiapan lebih awal selama ini menjadi bonus untuk keserasian bersama di dalam pasukan. Jadi jurang faktor usia bukanlah penghalang sepenuhnya,” berkata Muhamad Nasrul Aiman yang telah membuat penampilan pertama di pentas RFC sejak berusia 18 tahun.

Siri perlumbaan RFC yang kini memasuki edisi tahun ke-29 sejak 1997 terus menjadi medan pertemuan pelumba 4x4 dari seluruh dunia di mana Malaysia menjadi tuan rumah untuk siri akhir perlumbaan setelah berlangsung di beberapa negara lain sepanjang tahun ini.
Untuk siri penutup musim ini, Lembah Peladang Agro Park, Sungai Buloh menjadi pusingan pertama perlumbaan sebelum setiap pelumba meneruskan perjalanan ke pendalaman di Gua Musang, Kelantan untuk menamatkan baki perlumbaan yang dijadualkan berakhir pada 10 Disember 2025 nanti. - KitaReporters

GG 4x4 masih mengekalkan enjin asal Land Rover Defender Series 3 88 berkapasiti 2.5 turbo diesel untuk berentap selama 10 hari perlumbaan Rainforest Challenge Grand Final 2025 yang berlangsung di Selangor dan Kelantan.