Industri muzik Asia sekali lagi menyaksikan pertembungan artistik yang menakjubkan apabila penyanyi rap dan penerbit ternama Malaysia, SonaOne, mengumumkan pelancaran single terbaharunya, "Polite", yang menampilkan sensasi pop-rap dari Vietnam, tlinh.
Kolaborasi rentas sempadan yang sangat dinantikan ini juga merupakan karya terbitan SonaOne sendiri, dan dijadualkan untuk menemui pendengar dalam semua platform penstriman bermula 4 November 2025.
"Polite" bukan sekadar lagu biasa, tetapi merupakan luahan jujur tentang perasaan yang tersimpan - saat di mana cinta masih bersemarak, namun komunikasi mulai pudar.
Ditulis bersama oleh SonaOne, tlinh, dan SYA, lagu ini menyelami ruang sunyi antara keinginan untuk meluahkan dan perasaan yang terpaksa ditahan, sebuah situasi yang sering berlaku dalam perhubungan manusia.

Kolaborasi pertama SonaOne dengan penyanyi generasi baharu dari Vietnam, tlinh.
Dihasilkan dengan emosi yang tulus dan sentuhan produksi yang atmosferik, lagu ini menggambarkan ruang antara keinginan untuk bersuara dan perasaan yang ditahan.
Ia merupakan refleksi jujur tentang hubungan yang tergantung antara harapan dan keraguan, di mana kata-kata yang tidak diucapkan sering kali membawa makna paling mendalam.
“Saya mahu ‘Polite’ terasa seperti ribut yang tenang, minimalis, rapat, digerakkan oleh bunyi 808 seperti degupan jantung, seolah-olah menahan kata-kata yang ingin diungkapkan,” ujar SonaOne atau nama sebenarnya. Mikael Adam Muhammad Rafee Michel Lozach, 36, ini.
Berkongsi tentang proses pembikinan lagu, SonaOne mendedahkan idea asal "Polite" telah wujud sejak tahun 2020, di mana SonaOne merakam demo pertamanya bersama penyanyi-penulis lagu Malaysia, SYA, semasa tempoh lockdown.
“Saya sukakan lagu ini, tetapi belum menemui arah yang sesuai untuknya sehinggalah pasukan A&R di Def Jam Malaysia mencadangkan tlinh.
"Selepas beberapa kali berkunjung ke Ho Chi Minh City, akhirnya semuanya menjadi nyata,” kenang SonaOne.

Bagi tlinh, yang kini berdiri sebagai artis wanita Vietnam nombor satu dalam Spotify, projek ini memberikan peluang untuk bereksperimen dari segi bunyi sambil mengekalkan emosi yang tulus.
“Apabila saya pertama kali mendengar ‘Polite’, saya rasa beat-nya sangat menarik dan melodinya mudah diingati. Saya hanya ikut naluri dan cipta berdasarkan apa yang saya rasa betul,” ujar tlinh.
Dikenali kerana gaya muzik yang berani, tlinh mula menempa nama sebagai satu-satunya peserta wanita yang berjaya ke Top 8 dalam musim pertama Rap Viet, sebelum album debutnya, ai, disenaraikan dalam "Best Asian Albums of 2023" oleh NME, dan beliau dinobatkan sebagai Female Artist/Rapper of the Year di Lan Song Xanh 2024.
tlinh menyifatkan bekerjasama dengan SonaOne sebagai pengalaman yang lancar dan menyeronokkan, tertarik dengan beat dan melodi lagu yang mudah diingati.
“Bekerja dengan SonaOne sangat mudah. Dia sangat menyokong dan memberi galakan. Saya harap pendengar turut berasa seronok apabila mendengarnya,” tambah tlinh

Pendek kata, gabungan SonaOne dan tlinh telah berjaya mencipta keseimbangan halus antara produksi yang licin, melodi penuh jiwa, dan emosi yang mendalam, mencerminkan pencarian SonaOne terhadap kejelasan emosi.
SonaOne berharap, "Jika lagu ini dapat membuat seseorang berasa kurang keseorangan, walau hanya untuk tiga minit itu, maka saya sudah berjaya.”
Lebih daripada sekadar lagu, SonaOne turut berkunjung ke Ho Chi Minh City bagi menjalani penggambaran video muzik “Polite” bersama tlinh, menandakan penggambaran rasmi pertamanya di Vietnam.
Video muzik ini diterbitkan dengan kerjasama pasukan produksi tempatan Vietnam, menggabungkan visi kreatif kedua-dua artis dalam sebuah representasi sinematik yang menggambarkan inti emosi lagu tersebut.

Berlatarbelakangkan suasana kota Ho Chi Minh yang hidup namun intim, video muzik ini menangkap dualiti yang sama seperti lagu itu, kelembutan dan jarak, kejujuran dan keraguan.
Setelah bertahun-tahun dalam pembikinan, kedua-dua artis kini bersedia mempersembahkan lagu ini kepada dunia.
'Polite' mencerminkan pencarian SonaOne terhadap kejelasan emosi dan kebenaran pada saat di mana kata-kata gagal diucapkan. - KitaReporters