Seni & Sukan 16 Jan, 2026

Video| Hamil pada usia 50-an! Erra Fazira tidak tolak takdir! Ayati Husin ambil masa untuk terima!

@ahmad syahir kassim
Dulu wartawan kini moJo. Boleh emel ke [email protected]

Share this
Isu kehamilan wanita berusia 50-an kembali mencuri perhatian masyarakat apabila dua kisah tular hampir serentak, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet. 

Pertama melibatkan pelakon dan penyanyi terkenal, Erra Fazira, manakala satu lagi kisah menyentuh hati datang dari Kuala Terengganu apabila seorang wanita disahkan hamil pada usia 51 tahun.



Ezwan menunjukkan buah zuriat kepada isteri tercinta ketika berada di Tanah Suci.

Kisah Erra bermula apabila suaminya, Ezwan Zain memuat naik gambar memegang buah zuriat ketika berada di Tanah Suci yang kemudiannya mencetuskan spekulasi pasangan itu sedang menanti cahaya mata.

Namun, Erra atau nama penuhnya Fazira Wan Chek, 52, pantas tampil menjernihkan keadaan dan menegaskan bahawa ia hanyalah gurauan semata-mata.

“Kita kena sedia maklum Mr. E suka bergurau. Saya pun tak tahu itu buah zuriat. Apa pun saya anggap itu sebagai gurauan,” katanya.

Lebih jujur, Erra mengakui bahawa soal kehamilan bukan dalam perancangannya, malah telah lama dibincangkan secara terbuka dan matang bersama suami.

“Saya sudah set dalam otak macam tak sesuai (nak hamil), tetapi kalau Allah berkehendak kita tak boleh menolak,” ujar Erra tenang.

Malah, Erra turut menjelaskan bahawa sejak awal perkahwinan lagi, mereka sudah berbincang soal zuriat. 

“Kalau dia nak anak, kena kahwin dengan orang muda,” katanya bersahaja.

Erra (kiri) mengakui suaminya gemar bergurau.


Kenyataan Erra itu sebenarnya mencerminkan kesedaran terhadap realiti biologi dan nasihat perubatan, bukan penolakan terhadap rezeki atau takdir.
Dari sudut kesihatan awam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menetapkan had umur mutlak untuk hamil, namun wanita berusia 40 tahun ke atas diklasifikasikan sebagai kehamilan berisiko tinggi, lebih-lebih lagi selepas usia 45 sehingga 50 tahun.

Risiko seperti diabetes gestasi, tekanan darah tinggi, preeklampsia, komplikasi jantung serta masalah janin diketahui meningkat seiring dengan pertambahan usia ibu.


Erra mendedahkan sudah berbincang dengan Ezwan mengenai soal kehamilan.


Pada masa sama, ketika satu kisah dileraikan dengan penjelasan rasional, satu lagi cerita muncul dari Kuala Terengganu dan mengundang rasa teruja khalayak.

Seorang wanita, Ayati Husin, disahkan hamil pada usia 51 tahun walaupun menyangka dirinya hampir menopaus kerana haid yang tidak teratur.

Kisah itu dikongsikan oleh anak sulungnya, Nur Amira Bilsabri, 30, yang tidak menyangka perkongsian ringkasnya dalam media sosial menjadi tular.

“Emak beri saya kit kehamilan yang sebelum itu digulung dalam tisu. Emak minta tengok dan kemudian kami saling berpandangan,” kata Nur Amira, mengimbau detik penuh emosi itu.

Menurut Nur Amira, ibunya mengambil masa untuk menerima kehamilan tersebut kerana bimbang reaksi anak-anak dan takut tidak diterima.

“Sebagai anak, saya ‘okay’ saja. Kalau emak tak larat nak jaga bayi nanti, saya boleh bantu,” katanya, menggambarkan sokongan keluarga yang menjadi kekuatan utama.

Ayati sebelum ini pernah beberapa kali hamil tetapi tidak melekat, menyebabkan beliau menyangka dirinya sudah hampir memasuki fasa menopaus.

Setakat ini, kehamilan Ayati dipantau rapi oleh fasiliti kesihatan kerajaan dan beliau dilaporkan tidak mempunyai masalah kesihatan kronik seperti darah tinggi atau kencing manis.


Ayati Husin mengambil masa untuk menerima kehamilannya kerana bimbang reaksi anak-anak.

Pakar perubatan menjelaskan bahawa kehamilan pada usia 50-an masih boleh berlaku secara semula jadi, namun kebarangkaliannya sangat rendah dan dianggap sebagai pengecualian biologi.

Justeru, kes seperti Ayati tidak boleh dijadikan ukuran umum bahawa kehamilan lewat usia adalah selamat untuk semua wanita.

Di sinilah sering berlaku salah faham masyarakat, apabila satu kes terpencil dijadikan ‘pembenaran’, manakala satu lagi keputusan berhati-hati dianggap menolak rezeki.

Hakikatnya, kedua-dua kisah ini memperlihat dua realiti berbeza yang saling melengkapi -- satu tentang perancangan dan kesedaran, satu lagi tentang kejutan takdir.

Seperti ditegaskan oleh prinsip kesihatan awam Malaysia, isu kehamilan bukan soal boleh atau tidak, tetapi soal risiko, kesiapsiagaan dan pemantauan.

Akhirnya, sama ada gurauan di Tanah Suci atau dua garis pada kit kehamilan, setiap kisah wajar dilihat dengan empati, ilmu dan kefahaman -- kerana setiap wanita, tubuh dan takdirnya tidak pernah sama. - KitaReporters


5
7
0
9
0
You will be interested