Percaturan berani penyanyi balada popular, Adira Suhaimi, untuk meneroka genre baharu membuahkan hasil apabila single terbaharunya, "Gelas Memori", yang menampilkan kolaborasi bersama rapper misteri yang sedang meningkat naik, Fiq7, dilancarkan secara rasmi pada 14 November 2025 lalu.
Kolaborasi ini bukan sahaja menyatukan dua generasi artis tetapi juga membuktikan bahawa muzik mampu merentasi batasan genre, menggabungkan kemantapan balada dan kekuatan rap puitis.
“Gelas Memori”, yang diterbitkan bersama oleh Nova Music dan Rhunut Music, membawa khalayak menyelami sebuah kisah universal mengenai rindu, kehilangan dan kekuatan janji yang kekal tersemat di hati.
Fiq7 bertanggungjawab sepenuhnya dalam komposisi dan penulisan lirik yang sarat makna, sementara sentuhan magis Mas Dewangga bertindak sebagai penyusun muzik, turut memegang peranan sebagai penerbit, jurumix dan jurumastering.
Adira, figura yang dikenali menerusi lagu-lagu hits seperti “Ombak Rindu”, “Takdir Tercipta”, dan “Pujaan Hati”, mengakui tertarik pada kali pertama mendengar demo lagu ini.
Beliau menyifatkan "Gelas Memori" bukan sekadar lagu cinta biasa, tetapi sebuah naratif tentang bagaimana kenangan pahit manis boleh menjadi sumber kekuatan.
“Walaupun melodinya lembut, liriknya sarat dengan makna yang mendalam. Saya rasa setiap orang yang pernah merindui seseorang akan dapat memahami perasaan dalam Gelas Memori,” katanya pada majlis pelancaran video muzik ‘Gelas Memori’ bersama Fiq7 yang berlangsung di Royal Chulan.
Turut hadir Pengarah Urusan Nova Muzik, Rosmin Hashim dan Pengarah Urusan Rhunut Music, Mas Dewangga.

Tambah pemilik bernama penuh, Siti Adira Suhaimi ini lagi, kolaborasi bersama Fiq7 membuka peluang untuk dirinya meneroka sisi berbeza dalam dunia muzik.
“Saya kagum dengan cara Fiq7 menulis dan menyampaikan liriknya. Gaya rap yang dipersembah tidak hanya pantas atau teknikal, tetapi puitis dan jujur. Ia membuatkan saya lebih terinspirasi untuk memberi nyawa kepada bahagian balada dalam lagu ini.
Meski pun kami datang daripada dua dunia muzik yang berbeza, tetapi tujuan kami sama iaitu untuk menyampaikan emosi yang benar,” tegas Adira, yang melihat "Gelas Memori" sebagai sebuah karya seni yang menzahirkan kejujuran dan evolusi peribadi.
Di sebalik tabir, Fiq7, yang identiti misterinya menjadi bualan dengan kejayaan digital seperti "Puisi Malam" (8.5 juta tontonan), ”Rindu Tak Terucap" (6.6 juta tontonan) dan Restu (1.6 juta tontonan) menyifatkan “Gelas Memori” sebagai karya paling peribadi.
“Saya menulis lagu ini ketika melalui satu fasa kehidupan yang penuh ujian. Setiap baris lirik adalah refleksi kepada apa yang saya rasakan termasuk soal kehilangan, penyesalan, dan kekuatan untuk terus berdiri.
"Bila saya bayangkan lagu ini dengan suara Adira, saya tahu ia akan menjadi lebih bermakna,” ujarnya.
Dikenali dengan identiti misteri kerana tidak pernah menampilkan wajahnya secara terbuka, Fiq7 percaya bahawa muzik seharusnya berbicara lebih kuat daripada penampilan.
“Saya mahu pendengar fokus kepada mesej dan keikhlasan lagu, bukan siapa saya. Dalam Gelas Memori, saya cuba menggabungkan unsur rap jalanan dengan bahasa sastera yang indah. Saya mahu rap ini ada jiwa, bukan sekadar irama,” katanya.
Gabungan unik Adira, sebagai artis mampan dengan pengalaman bertahun-tahun, dan Fiq7, yang mewakili gelombang baharu muzik digital yang lebih eksperimental, mencerminkan pertembungan dua generasi yang menjadi simbol evolusi muzik tempatan.
Sentuhan Mas Dewangga pula berjaya menyeimbangkan elemen moden dan klasik, mengekalkan keaslian balada sambil memberi ruang yang sempurna untuk rap Fiq7 menyerlah.

Lirik "Gelas Memori" penuh dengan metafora, ’gelas' itu sendiri menjadi lambang kenangan yang menampung segala rasa, cinta, kehilangan, kesakitan, dan kekuatan.
Setiap bait lirik ditulis dengan kejujuran yang membolehkan pendengar merasakan setiap denyut perasaan penulisnya.
Lagu ini turut menonjolkan sisi kematangan Adira sebagai penyanyi yang berani mencuba sesuatu yang berbeza, serta memperkukuh reputasi Fiq7 sebagai pencipta lagu yang berbakat besar.
Gabungan ini menjadi simbol evolusi muzik tempatan yang kini semakin terbuka kepada kepelbagaian bunyi dan pendekatan kreatif.
Adira berharap, dengan penghasilan yang berkualiti dan penuh kejujuran emosi, “Gelas Memori” akan meninggalkan kesan mendalam di hati para pendengar. - KitaReporters
