Seni & Sukan 01 Feb, 2026

Video| Sukar bertutur! Ingatan agak terganggu! Shamsul perlu berehat 90 hari! Untuk rawatan terapi!

@fauzan uda ahmad
Bekerja dengan Utusan Malaysia dari 1985 hingga 1996. Menjadi wartawah hiburan, koresponden di Jakarta, Indonesia dan Ketua Meja Hiburan. juga bertugas dengan beberapa media lain

Share this
Pelawak yang kini aktif berlakon Shamsul Ghau Ghau atau Shamsul Azahar Aliddin, 57, terpaksa melupakan kegiatan seni sekurang-kurangnya tiga bulan (90 hari) bagi proses pemulihan.

Walaupun sudah keluar hospital, namun Shamsul perlu menjalani rawatan terapi dan pemantauan rapi untuk memulihkan ingatannya lebih baik.



Shamsul kini dalam fasa pemulihan selepas menjalani pembedahan membuang darah beku di bahagian otak kiri di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Serdang, Selangor pada Sabtu, 24 Januari 2026 dan masih memerlukan pemantauan rapi.

Shamsul dilaporkan ditimpa sakit ketika masih menjalani sebuah drama.

"Dia seperti mengalami 'speech delay'. Dia masih boleh mengenali wajah dan tahu siapa orang itu, tetapi apabila melibatkan sebutan nama, dia sukar untuk menyebutnya.

"Selepas prosedur dijalani, ingatannya agak terganggu. Contohnya, nampak muka orang dia kenal, tetapi, hendak sebut nama orang itu tidak terkeluar dari mulutnya. 

"Dari luaran memang dia nampak okay. Cuma itulah untuk dia pulih akan ambil masa. Rasanya lama jugalah.

"Jadi suami tak dapat bekerja untuk sementara waktu. Sekarang ini dia jadi macam budak sekolah, dia kena ada visual. Doktor nasihatkan supaya kami banyak tunjukkan gambar untuk bantu kuatkan kembali ingatannya."


Hans Issac berbual dengan Shamsul sambil diperhati isterinya Sharifah Azrinah. - Kredit foto: FINAS

Keadaan kesihatan Shamsul itu diceritakan oleh isterinya, Syarifah Azrinah Syed Ibrahim, 52, kepada pengurusan dan kakitangan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) yang diketuai Pengerusinya, Datuk Hans Isacc, dan  Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Rozaidi Abdul Jamil (Zed Zaidi) semasa datang ke rumah Shamsul di Bandar Baru  Bangi, Selangor pada petang Jumaat, 30 Januari 2026.  

Shamsul kini mengalami kesukaran bertutur dengan baik meskipun memiliki daya ingatan yang baik. 


/


Kunjungan ini adalah dalam rangka program Ziarah Seni Madani FINAS sebagai tanda penghargaan atas sumbangan Shamsul dalam industri seni tanah air lebih 30 tahun. 

Di samping itu ia untuk memperkukuh hubungan serta menyantuni kebajikan penggiat industri seni.

Hans Issac berkata, FINAS akan cuba membantu insan seni yang bermasalah dari segi kewangan atau kesihatan dan Ziarah Seni Madani adalah salah satu caranya. 

Shamsul menerima wang tunai yang diserah oleh Hans Isaac. Menurut Hans Issac, pihaknya menunggu Shamsul pulang ke rumah untuk memberi sumbangan dan disaksi oleh sejumlah pengamal media yang turut dijemput. 


/

Shamsul masih perlu berehat sekurag-kurangnya 90 hari

 Insan kelahiran Selama, Perak ini dan pernah menjadi anggota polis, tetapi bintangnya dalam bidang seni mula menyerlah setelah menjadi juara  program ‘Sinaran Pasport Kegemilangan’ musim pertama pada 1994.

Nama ‘ghau-ghau’ itu menjadi tanda dagangnya ketika menjual bedak jenama ‘ghau-ghau‘ dalam sketsa komedinya dalam pertandingan itu.

Shamsul kemudian menjadi salah seorang anggota asal kumpulan lawak Senario yang bernaung di bawah Ambang Klasik iaitu anak syarikat TV3.

Namun di TV3, Shamsul hanya menjadi artis residen seperti terlibat dalam program lawak ‘Senario’ di TV dan dalam filem. Shamsul tidak seperti anggota Senario yang lain yang turut merakam lagu bersama Ambang Klasik.

Ini kerana dia terlebih dahulu sudah menandatangani kontrak dengan syarikat rakaman Warner Music (WEA).

Antara lagu popular Shamsul ialah ‘Lagu Hits Buatmu’ pada 1995. Lagu itu mencantum rangkap puluhan lagu popular.

Setelah mengurangkan kegiatan lawak, Shamsul beralih ke bidang lakonan filem dan drama dengan membawa pelbagai watak selain komedi.



Dengan peningkatan usia, Shamsul banyak bergiat dalam bidang dakwah dengan turut menyampai ceramah agama di Selangor kerana hanya mendapat tauliah dari negeri itu.

Shamsul turut membuat kursus mengaji untuk kanak-kanak secara maya dalam Internet. Dalam bidang keagamaan Shamsul lebih dikenali sebagai Pak Su.

Bagi Shamsul selagi terdaya selain berlakon, dia tetap mahu menyampai dakwah dan mengajar mengaji. - KitaReporters

10
14
0
7
0
You will be interested