Seni & Sukan 05 Nov, 2022

Video! Tamat! Salah faham konsert berakhir! Zamani, Aalan berdamai! Mohon doa! Pembedahan 7 Nov 2022!

@fauzan uda ahmad
Bekerja dengan Utusan Malaysia dari 1985 hingga 1996. Menjadi wartawah hiburan, koresponden di Jakarta, Indonesia dan Ketua Meja Hiburan. juga bertugas dengan beberapa media lain

Share this

Dari kiri: Zamani Ibrahim, Nur Juliana Abd Rani dan Aalan Ahmad

Perang dingin membabitkan penyanyi popular, Zamani (Slam) Ibrahim,  51, dan Aalan Ahmad yang juga pemilik Indera Entertainment sejak Ahad lalu berakhir pada pagi Jumaat, 4 November apabila kedua-duanya memilih untuk berdamai.  

Ia susulan dakwaan mengatakan Aalan telah songlap wang jualan tiket Konsert Doa Buat Zamani di Zepp Kuala Lumpur, pada 30 September 2022 lalu. 

Zamani Slam yang juga penganjur bersama konsert berkenaan juga tidak berhasrat memanjangkan lagi isu itu sehingga menjejaskan hubungan baik yang terjalin sejak berusia belasan tahun.


Selepas keadaan semakin tegang dengan bermacam-macam komen peminat serta penggiat seni tanpa mengetahui perkara sebenar, mereka membuat keputusan untuk berjumpa dan meluahkan perasaan yang terbuku dalam hati masing-masing.

Pertemuan kedua-duanya turut disertai isteri Zamani, Nur Juliana Abd Rani dan isteri Aalan yang dikenali sebagai Amylia. Ia diadakan di kediaman Zamani di Ampang, Selangor pada awal pagi Jumaat, 4 November 2022.



Perbincangan antara mereka berjalan lancar, namun sesekali dilihat agak beremosi dalam beberapa perkara serius antaranya isu penjualan tiket, sumbangan mytickets.asia sebanyak RM3 bagi setiap keping tiket untuk Zamani serta dakwaan Juliana terhadap Aalan.

Bagaimanapun, situasi kemudian kembali tenang selepas penerangan Aalan diterima Zamani. Begitu juga penjelasan Zamani diterima dengan baik oleh Aalan.

Aalan membuat sidang media tergempar pada Khamis, 3 November 2022 setelah namanya tercalar ekoran tindakan isteri Zamani, Nur Juliana mempertikai ke mana hilangnya duit konsert Doa Buat Zamani.

Tindakan Nur Juliana mendedahkan perkara itu dalam WhatsApp kemudian tersebar dalam sejumlah laman sosial.

Maka, dalam pertemuan itu, Aalan menunjukkan kos penganjuran termasuk bayaran untuk pemuzik dan cukai hiburan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).


Pada mulanya Aalan tidak bercadang mengeluarkan fakta sebenar bagi menyatakan konsert Doa Buat Zamani rugi kerana ia boleh menjejaskan nama baik Zamani. Tetapi setelah nama baiknya tercalar, akhirnya Aalan terpaksa mendedahkan perkara sebenarnya.

Menurut Aalan setelah ditolak segala kos, keuntungan diperoleh cuma sekadar RM4,635.

Tiket terjual hanya 365 keping daripada seribu tiket yang diperuntukkan yang memperoleh RM107,120 dan ditambah tiket sumbangan Tuanku Permaisuri Selangor menjadi jumlah perolehan keseluruhan sebanyak RM116,120.

Mengikut perjanjian asal Zamani akan menerima 70 peratus keuntungan dan selebihnya untuk Aalan selaku penganjur. 

Namun setelah hasil diperoleh cuma RM4,635, Aalan tidak sanggup menerima bahagiannya.

Keuntungan hanya akan diperoleh setelah menerima bayaran daripada sebuah stesen TV yang berminat membeli rakaman konsert itu. Namun jumlahnya masih belum diputuskan. 

Tambah Aalan, salah faham turut timbul apabila melihat kerusi bahagian hadapan penuh. 

Sebenarnya menurut Aalan tempat duduk itu diisi oleh penonton secara percuma bagi memberi keadaan selesa untuk tujuan  rakaman TV dilakukan.



Setelah masalah salah faham dapat diselesaikan, kini Zamani memberi tumpuan kepada pembedahan skoliosis (membetulkan tulang belakang melengkung) di sebuah pusat perubatan swasta di Cheras, Kuala Lumpur pada Isnin, 7 November 2022.

Selebriti terkenal, Datuk Aznil Nawawi melakukan usaha amal dan berjaya mengumpul wang sumbangan berjumlah RM120,000 dan sudah diserah kepada Zamani pada hujung Julai 2022. Dan kos pembedahan dianggar antara RM80,000 hingga RM100,000.

Zamani memohon doa peminat agar pembedahannya selamat. Majlis doa selamat telah diadakan baru-baru ini. 

Pembedahan itu jika berjaya memerlukan masa satu hingga 6 bulan untuk pulih sepenuhnya.

Untuk itu Zamani dan keluarganya masih memerlukan sumbangan kerana dia masih tidak boleh bekerja ketika proses pemulihan. - KitaReporters

21
13
0
13
0
You will be interested