Seni & Sukan 08 Mar, 2023

Terima kasih KB City Empire! Sumbang kasut bola terpakai kepada pelajar! SMK Sri Wangi, Gua Musang!

@rahana dahari
Bekas Wartawan Utusan Malaysia yang pernah bertugas di Majalah Wanita dan akhbar di Ibu Pejabat Jalan Chan Sow Lin dan biro Kelantan.

Share this


Terdapat banyak cara boleh digunakan untuk menggembirakan hati banyak pihak kerana ternyata ia memberi kepuasan kepada tangan yang memberi apatah lagi pihak yang menerima terdiri dalam kalangan anak-anak yang masih belajar di bangku sekolah.

Justeru itu, ahli kumpulan KB City Empire mengambil inisiatif melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyumbangkan kasut bola kepada pemain-pemain GMX Academy dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Wangi Gua Musang, Kelantan baru-baru ini.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan program CSR

Pengarah Urusan KB City Empire, Md Zuki Deraman (tengah berkaca mata) bersama pelajar pemain bola sepak SMK Sri Wangi Gua Musang, Kelantan semasa menyerahkan sumbangan kasut bola baru-baru ini.


Pengarah Urusannya, Md Zuki Deraman berkata, program CSR tersebut adalah mencerminkan komitmen pihaknya dalam membantu pelajar-pelajar yang memerlukan sebagai galakan mereka lebih berjaya dalam sukan bola sepak sehingga melayakkan diri ke peringkat profesional.

Beliau berharap bantuan kasut bola  itu juga mampu menceriakan seterusnya dimanfaatkan oleh pelajar-pelajar berkenaan untuk menyuntik  semangat ketika menjalani latihan dan mengharungi perlawanan sebenar bola sepak.

"Kasut bola terpakai sebanyak 32 pasang ini merupakan sumbangan daripada pemain-pemain Kelab Carezo Osaka, Jepun dan juga daripada ahli-ahli KB City Empire sendiri.

“Kami mempunyai hubungan yang  baik dengan kelab Jepun tersebut maka satu inisiatif diambil untuk berkongsi keseronokan dikalangan pemain Kelab Bola Sepak SMK Sri Wangi dan berharap membantu mereka kekal aktif bersukan," katanya.


Md Zuki Deraman (kiri) menyampaikan sumbangan kasut bola dari Kelab Carezo Osaka, Jepun kepada salah seorang pemain bola sepak SMK Seri Wangi, Gua Musang, Kelantan pada Majlis Jalinan Ukhuwah Korporat di Dewan Asrama SMK Sri Wangi baru-baru ini.


Beliau berkata demikian pada Majlis Jalinan Ukhuwah Korporat di Dewan Asrama SMK Sri Wangi  yang turut dihadiri Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Layu Awang Deraman dan Pengetuanya Mohd. Rozali Muda.

Md Zuki menambah, selepas ini pihaknya akan meneruskan program yang sama dengan beberapa kelab bola sepak sekolah lain pula. 

Sementara itu, salah seorang penerima merupakan pelajar orang Asli, Asri Anjang, 16, berkata, dia amat teruja dengan pemberian sumbangan kasut bola berkenaan kepadanya serta rakan -rakan sepasukan lain. 

Pemberian kasut bola dari pemain Kelab Bola Sepak Jepun, Carezo Osaka ini akan dijadikan inspirasi untuk menjadi pemain bola sepak profesional suatu hari nanti. 

"Saya juga sering mengikut perkembangan bola sepak kelab- kelab Jepun dan mereka sangat berkebolehan. Malah mereka juga sangat mempunyai tahap profesonal yang tinggi dalam bidang  bola dan perlu dicontohi malah mendorong saya lebih  semangat untuk saya lebih maju dalam bidang bola sepak, " ujarnya. - KitaReporters


Antara ahli kelab KB City Empire yang terlibat dalam sumbangan kasut bola kepada pemain bola sepak SMK Sri Wangi, GUa Musang Kelantan baru-baru ini.

10
15
0
15
1
You will be interested