Seni & Sukan 03 Aug, 2025

4 dekad Bertahan! Sheila Majid tidak kejar trend tapi kejar jiwa! Tetap Moving On! Jadi inspirasi!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Sheila Majid, Ratu Jazz Malaysia tidak kejar trend, "Saya mengejar rasa, mengejar jiwa," yang terus membuktikan komitmennya terhadap seni tulen. Menyambut 40 tahun perjalanan gemilang dalam dunia muzik tanah air, penyanyi legenda ini melancarkan single terbaharunya, "Moving On,"sebuah karya berani yang sarat dengan jiwa. - KitaReporters



"Saya tidak kejar trend. Saya mengejar rasa, mengejar jiwa," demikian tegas Datuk Sheila Majid, Ratu Jazz Malaysia, yang terus membuktikan komitmennya terhadap seni tulen. 

Menyambut 40 tahun perjalanan gemilang dalam dunia muzik tanah air, penyanyi legenda ini melancarkan single terbaharunya, "Moving On,"sebuah karya berani yang sarat dengan jiwa.

Tidak dapat dinafikan, sejak empat dekad yang lalu hinggalah ke hari ini, Sheila Majid atau nama sebenarnya, Shaheila Abdul Majid, 60, masih kekal relevan, bersemangat membara malah terus berbisa.

Dan dengan ‘Moving On’, ia bukan sekadar sebuah single baharu, malah ia adalah refleksi sebuah perjalanan panjang, manifestasi penyembuhan jiwa, dan penegasan bahawa Sheila akan terus melangkah ke hadapan, tanpa menoleh ke belakang.

Single berani ini, yang dilancarkan secara eksklusif dalam sebuah acara di Pavilion Damansara Heights pada 30 Julai 2025 lalu, membawa sentuhan era disko namun dengan nadi muzik masa kini.

Ia sarat dengan tenaga yang menusuk ke jiwa, mengajak generasi masa kini untuk melepaskan beban, memeluk keyakinan, dan bergerak mengikut rentak diri.



“Lagu ini memberikan saya ilham untuk terus berkarya kerana saya saksikan yang dunia kini telah berubah, dan saya pun berubah sama. Tetapi saya tetap kenal dengan diri saya,” tegas Sheila, menggariskan evolusi peribadi dan seninya.. 

Inspirasi untuk "Moving On" tercetus apabila beliau menyedari bahawa selepas pandemik, lagu-lagu lamanya terutama sekali 'Sinaran' kembali dengan nafas baharu. 

Ramai peminat muda mengenali dirinya buat pertama kali dan ini memberi inspirasi buat Sheila untuk menulis lirik yang boleh merapatkan jurang antara dua generasi.

Beliau kemudian bergabung tenaga dengan Hyuk Shin, penerbit muzik terkenal dari Korea Selatan untuk membina satu arah muzik yang segar. 

Sheila sendiri menyediakan mood board untuk Hyuk Shin, penuh dengan rujukan dari zaman Donna Summer dan Diana Ross. 


Sheila memilih Hyuk Shin dari Korea Selatan untuk membina satu arah muzik yang segar.


“Saya memang hidup di generasi 80-an. Groove zaman itu memang sentiasa dekat di hati saya,” katanya.

Ironinya, muzik seperti ini, yang kini dikenali sebagai genre "City Pop," sedang kembali diminati generasi baharu, dan rentak ini bukanlah asing bagi Sheila kerana ia sememangnya "rumah asal" baginya.

"Sheila bukan sekadar legenda. Dia masih mencipta dan mengilhamkan karya indah. Dan 'Moving On' membuktikan bahawa seni sebenar akan sentiasa ada tempat di hati pendengar,.” kata Kim Lim, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia. 



Menurut Kim Lim. lirik yang mendalam seperti "Dunia terus berputar, Tinggalkan kecewa, Teruskan bersinar, Percayalah…" menjadi inti pati lagu ‘Moving On’. 

Dalam dunia serba pantas yang dipenuhi tekanan untuk mencapai kesempurnaan, "Moving On" hadir sebagai sebuah pelukan yang membebaskan. 

Lagu ini menyentuh jiwa, terutama buat generasi muda yang masih mencari identiti dan siapa mereka di tengah-tengah kesibukan dunia digital.



Dalam karya terbarunya ini, Sheila Majid kekal seperti yang kita kenal; seorang yang lembut tetapi kuat, halus tetapi berani. 

Seorang legenda yang terus hidup dalam nada-nada baharu, membuktikan daya tahan dan keberanian dalam mengembangkan karya seninya.

Antara pencapaiannya termasuk Anugerah Industri Muzik, Anugerah BASF di Indonesia, dan persembahan pentas di Jepun, Singapura, Indonesia, Amerika Syarikat, dan United Kingdom. 

Dengan gaya vokal unik dan semangat yang tidak pernah padam, Sheila terus menginspirasi lintas generasi. 

Single terbaharunya, "Moving On," membawa semangat ketahanan dan keberanian serta menjadi bukti bahawa Sheila tidak pernah berhenti mengembangkan karya seninya. - KitaReporters


8
15
0
12
0
You will be interested