Seni & Sukan 03 Aug, 2025

Keris, sundang pun ada kad pengenalan? Diperkenal Yayasan Al-Amin! Simpan maklumat khazanah agung!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this

KERIS dan sundang adalah senjata tradisional Melayu yang mempunyai nilai budaya, simbolik, dan sejarah yang sangat mendalam di Malaysia dan rantau Nusantara termasuk Indonesia, Brunei, dan selatan Thailand. Dkumen pengenalan atau kad pengenalan senjata bertujuan menganalisis asal usul, jenis logam, kandungan racun jika ada, hulu dan sarung. Ia turut mempunyai gambar pemiliknya. - KitaReporters




KERIS dan sundang adalah senjata tradisional Melayu yang mempunyai nilai budaya, simbolik, dan sejarah yang sangat mendalam di Malaysia dan rantau Nusantara termasuk Indonesia, Brunei, dan selatan Thailand. 

Keris dipercayai berasal dari Pulau Jawa pada abad ke-9 atau 10 dan tersebar ke Semenanjung Tanah Melayu, Sumatera dan Sulawes. Di Malaysia, keris menjadi sebahagian budaya Melayu sejak zaman kerajaan-kerajaan awal seperti Kesultanan Melaka pada abad ke-15.

Ia bukan hanya senjata, tetapi lambang kuasa, maruah dan ketuanan. Contohnya, keris sentiasa digunakan dalam upacara pertabalan sultan dan pakaian adat istiadat.


Sebahagian Sundang yang dipamerkan sempena Pameran Keris di Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi, Selangor.


Pegawai Media Yayasan Al-Amin, Zainudin Arsyad berkata, bilah keris boleh lurus atau berlekuk, biasanya bilangan ganjil seperti 3, 5, 7 dan 9. Ia diperbuat daripada campuran logam - besi, nikel dan kadangkala unsur meteorit.

Beiau berkata, Ia dihiasi pendokok (hulu) dan warangka (sarung) yang diukir indah. Ada keris biasa (keris pendek) dan keris besar seperti keris panjang dan keris sempena (keris warisan diraja).

"Keris berfungsi sebagai senjata pertahanan diri atau digunakan sebagai alat upacara dan simbol kebesaran. Tapi, kadangkala ia dipercayai memiliki kuasa mistik dalam budaya tradisional contohnya berkhadam, membawa tuah atau bala.


Zainudin Arsyad


"Sundang pula lebih panjang, boleh mencapai lebih satu meter. Ia mempunyai bilah lurus, kadangkala berlekuk seperti keris tetapi lebih besar.

"Hulu dan sarung sundang sering dihias dengan motif ukiran tradisional malah ada diperbuat daripada gading atau tanduk kerbau serta logam berharga seperti perak.

"Ia digunakan sebagai senjata peperangan berbanding keris yang lebih simbolik. Ada menganggap sundang versi “keris besar” yang lebih berorientasi perang," kata Zainudin ketika ditemui di Pameran Keris sempena Karnival Jubli Perak, Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi, Selangor.


Zainudin (kiri) dan Suhailah melayan pengunjung yang ingin tahu mengenai senjata tajam yang dipamerkan sempena Pameran Keris.


Sempena pameran itu, enam keris dan tiga sundang dipertonton kepada pengunjung selain barang kemas dan alat semboyan diperbuat daripada tanduk kerbau tua.

Bagi Pegawai Antikuiti Yayasan Al-Amin, Suhailah Mohamad, dokumen pengenalan atau kad pengenalan senjata bertujuan menganalisis asal usul, jenis logam, kandungan racun jika ada, hulu dan sarung. Ia turut mempunyai gambar pemiliknya.   

Beliau berkata, dokumen pengenalan senjata  adalah inisiatif Bahagian Antikuiti Yayasan Al-Amin menggunakan kaedah makmal. Ia merekod senjata warisan melalui pendekatan profesional bagi mengangkat industri ke tahap pengiktirafan demi memastikan khazanah agung ini dihargai, terpelihara dan menjadi rujukan generasi merentas zaman.


Suhailah Mohamad


"Antara proses dokumen pengenalan senjata ialah merekod maklumat pemilik, analisis keaslian bahan biologi, penyelidikan makmal, ujian mikrostruktur untuk melihat bahagian yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar, merekod dokumentasi dan pengesahan

"Jika ada kad pengenalan, ia memudahkan pemilik menyimpan dan menceritakan sejarah keris atau sundang itu kepada orang lain. Ada senjata tajam ini diukir ayat-ayat al-Quran, jadi semua info ini dimasukkan dalam kad pengenalan.," tambahnya.

Suhailah berkata, keris dan sundang di yayasan ini ada berasal dari abad ke-18. Ia warisan turun terumun dan pemilik yang memberi kepada Pengasas Yayasan Al-Amin, Ustaz Muhammad Abdullah al‑Amin kerana mereka tidak mampu memiliki senjata itu.



Antara keris tarung yang dipamerkan.


"Keris dan sundang baharu akan menjalani proses pembersihan untuk membuang karat namun jika ada unsur mistik, Ustaz Amin "membersih" menggunakan ayat-ayat al‑Quran sebelum dijadikan koleksi 

"Usahanya menyimpan dan memamerkan keris dan sundang bukan sekadar hobi, tetapi memelihara khazanah budaya Melayu dan mengangkat kesedaran generasi muda mengenai warisan ini," katanya.

Sehingga kini, Yayasan Al-Amin memiliki koleksi lebih 100 sundang dari dalam dan luar negara termasuk Pattani dan Indonesia. Ada juga mewakafkan kepada Ustaz Amin.  

Pada Julai 2024, Ustaz Amin diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) kerana memiliki 211 bilah sundang, menjadikannya pemilik sundang terbanyak di Malaysia.


Contoh Kad Pengenalan senjata yang menganalisa keris atau sundang secara mendalam.


"Melalui keris, kita kenal jati diri sebagai orang Melayu. Selepas bekerja dengan Yayasan Al-Amin, saya banyak mengenali pelbagai jenis senjata tajam seperti kerambit, badik, rencong, lawi ayam, keris alang, tarung, ladeng, kelewang, sundang, pedang, lembing dan tombak.  

"Yayasan Al-Amin juga aktif menyebarkan maklumat dan pameran mengenai keistimewaan keris dan sundang kepada generasi muda bagi mengelak senjata tajam warisan Melayu hanya tinggal sejarah," katanya.

Orang ramai yang mahu info dan perkembangan terkini koleksi senjata tajam dan barangan warisan lain seperti duit syiling lama milik Yayasan Al-Amin boleh melayari laman TikTok antikuitiyayasanalamin; atau FB Muhamad Amin bin Abdullah (Ustaz Amin). - KitaReporters 


Suhailah menunjukkan sejenis alat semboyan zaman dahulu yang diperbuat daripada tanduk kerbau tua.  

18
8
0
14
0
You will be interested