Seni & Sukan 10 Apr, 2025

Bunga Raya melaram pada hari raya! Berjersi baharu Kaki Jersi! Kekal tradisi warna merah, biru!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer dan sub-editor tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, DNA Takrawnomi, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. Pegawai Teknikal Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010 dan Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

JERSI terdahulu Bunga Raya tajaan Al-Ikhsan (kiri, home dan kanan, away) yang kali akhir dipakai menentang Amiriah Arab Bersatu (UAE) dalam saingan Divisyen Perdana Kejohanan Ragbi Asia (ARC), 21 Jun 2024 di Dubai. - Kredit foto: MR


TRADISI berpakaian serba baharu Muslimin dan Muslimat setibanya Hari Raya Aidilfitri turut diadaptasikan oleh skuad ragbi negara pada 4 hingga 5 April 2025 lalu atau bersamaan 5 dan 6 Syawal 1446 Hijrah.

Namun nanti dulu! Mereka bukanlah beraksi dengan berbaju Melayu atau berbaju kurung dan kebaya serta siap bersongkok atau bertudung untuk bergelut dengan lawan di dalam padang!

Sebaliknya Bunga Raya (julukan pasukan kebangsaan) tetap tampil segak dan gagah dengan menyarung jersi baharu mereka yang berjenama Kaki Jersi sempena Kejohanan Tujuh Sebelah Asia Tenggara (SEA 7’s) Singapura 2025.


JERSI baharu Bunga Raya (home - biru, away - merah) mula dipaparkan menerusi laman sosial KRM, Malaysia Rugby pada Hari Raya Aidilfitri Kelima pada 4 April 2025. - Kredit foto: MR


Skuad lelaki dan wanita Malaysia mula mengenakannya di Stadium Jurong West, Singapura ketika melayari saingan peringkat Kumpulan A dan D masing-masing pada hari raya kelima dan final di Stadium Nasional, Singapura pada hari raya kelima itu.

Anak-anak buah Nik Safuan Ismade Nik Man dan Muhammad Faiz Shamsukhidir ini membuka tirai aksi itu dengan berdepan Indonesia dan tuan rumah.

Jersi utama atau gelanggang sendiri berwarna biru kelasi dan berkolar merah dengan adunan sedikit putih dan merah pada bahu, lengan dan leher Vnya serta berseluar biru kelasi.

Jersi kedua atau gelanggang lawan pula berwarna merah cili dan berleher-V hitam serta berseluar putih berjalur lurus hitam pada kedua-dua sisinya.

Logo MR dengan bunga raya dan Kaki Jersi turut menghiasi dada kiri dan kanan jersi dan seluar masing-masing.

Menurut laman sesawang Kaki Jersi KJ Store, kedua-duanya dijual dengan harga antara RM118 hingga RM128.


BUNGA Raya 7's wanita mula menyarung busana baharu tajaan Kaki Jersi ketika berdepan Singapura dalam SEA 7's 2025 di Stadium Jurong Barat, Singapura. - Kredit foto: MR


Kaki Jersi mengambil alih peranan penaja kelengkapan pasukan ragbi negara sejak memeterai perjanjian persefahaman (MOU) dengan Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) di Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 28 Februari 2025 lalu.

MOU yang ditandatangani Presiden KRM, Amir Amri Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif Kopa Holding – pengeluar jenama Kaki Jersi, Nik Mohd. Iqbal Nik Ibrahim itu memastikan tempoh penajaannya sehingga 2027.

Agak menghampakan kerana penampilan baharu Bunga Raya ini yang sepatutnya turut menyuntik semangat baharu dan luar biasa hanya mampu membawanya menaiki podium naib juara SEA 7's di Stadium Nasional, Singapura.

Tim lelaki kita ditewaskan Thailand 10-5, sekali gus gagal mempertahan gelaran yang dikecapi setelah mengatasi Singapura 14-10 juga di venue sama pada 3 Mei 2024 lalu.

Sedikit pujian walau bagaimanapun berhak ditujukan kepada tim wanita kita yang ternyata berjuang habis-habisan sehingga ke masa tambahan ketika menjinakkan Thailand 17-12 dalam separuh akhir.

Anak-anak buah Faiz juga mempamerkan semangat kebangkitan daripada kalah perlawanan pertama Kumpulan D, kepada Singapura 5-28 untuk mengalahkan Indonesia 15-5 sejurus kemudian biarpun masih dihampakan oleh tuan rumah 12-5 pada perlawanan final.


JERSI tempat sendiri atau utama Bunga Raya, biru kelasi dan seluar putih. - Kredit foto: MR


JERSI tempat lawan atau kedua Bunga Raya (kiri), merah cili dan seluar hitam. - Kredit foto: MR


Sebelum ini, pasukan kebangsaan pernah menyarung kelengkapan berjenama seperti Al-Ikhsan, Tackle, Carisbrook dan Canterbury.

Penampilan terbaharu Bunga Raya 15 Sebelah pula bakal dapat disaksikan apabila mereka menjalani perlawanan latihan dan persahabatan pada 10 dan 12 April 2025 ini di Arena Universiti Malaya, Kuala Lumpur. 

Memandangkan rancangan menguji mereka dengan Singapura tidak menjadi kenyataan, hanya dua lawan tempatan dapat dijadualkan untuk mereka menentang KL Tigers dan Muamalat Bullets. 

Siri perlawanan ini juga ialah sebagai pemanas badan menjelang play-off Divisyen Perdana Kejohanan Ragbi Asia (ARC) yang juga Kelayakan Piala Dunia menentang Sri Lanka di Stadium Racecourse, Colombo pada 19 April 2025 ini.  

Kalah dengan Sri Lanka bakal menurunkannya ke Divisyen Satu ARC pada musim hadapan malah sebarang keputusan, mampu mempengaruhi ranking dunia terkini milik Malaysia, ke-49 berbanding tuan rumah, ke-40. - KitaReporters


AKSI seorang pemain Bunga Raya yang berjersi penaja terdahulu (tengah) ketika ditewaskan UAE 62-19 di Dubai. - Kredit foto: MR

14
13
0
15
0
You will be interested