
BARISAN King's Cup Thailand 2025 (depan, dari kiri), Sirisak Anuloon, Tanaphon Sapyen, Marukin Phanmakon, Kritsanapong Nontakote dan Rachan Viphan. Belakang (dari kiri), Sittipong Khamchan, Phutawan Sopa, Siriwat Sakha, Sankhai Daoreang, Seksan Tubtong dan Thawisak Thongsai. - Kredit foto: ST
YANG tumpas kepada Malaysia dalam Piala Asia Astaf di Kuala Lumpur pada 15 Mei 2025 lalu, diketepikan langsung.
Malah kebanyakan pemain barisan eksperimen itu, seolah-olah 'kurang bernilai' bagi Kejohanan Sepak Takraw Dunia Istaf Piala Raja Thailand (King’s Cup) Ke-38 tanggal 22 hingga 27 Julai 2025 ini.
Justeru hanya barisan tonggak terkuat yang dipertaruhkan Thailand demi maruah selaku tuan rumah di Hatyai, Songkhla dan trofi pertandingan sepak takraw antarabangsa tertua di dunia yang diperkenalkan pada 1984 itu.
Perejam No. 1 Thailand, Varayut Jantarasena adalah antara empat anggota skuad juara berpasukan Piala Asia yang tercicir daripada King's Cup nanti selain Jakkrit Thinbangbon, Sutthikiart Panseankaew dan Yodsawat Uthaijaronsri.
Namun terselamat daripada barisan yang kalah perlawanan akhir regu kepada Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Farhan Adam 12-15, 9-15 untuk tetap ke King’s Cup ialah Sittipong Khamchan - tekong setinggi 1.92 meter.

VARAYUT Jantarasena (19) ketika berentap dengan Azlan Alias (5) sambil diawasi Kritsanapong Nontakote dalam final King's Cup 2024 di Korat. - Kredit foto: ST
Barisan jurulatih Si Gajah Putih pimpinan Supot Tumpracha juga menamakan tiga lagi tekong handalannya iaitu Siriwat Sakha, Kritsanapong Nontakote dan Pornthep Tinbangbon.
Berdasarkan laman sosial Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT), Tanaphon yang membantu mereka merangkul gelaran beregu dan berpasukan Piala Asia, terus ditagih khidmatnya selaku antara empat perejam di Hatyai.
Apit kanan yang juga anggota polis berpangkat leftenan berusia 29 tahun itu akan disertai Phutawan Sopa, Thawisak Thongsai dan Sankhai Daoreang.
Barisan pengumpan atau apit kiri mereka pula terdiri daripada Sirisak Anuloon juga gandingan Tanaphon juara beregu Piala Asia di samping Rachan Viphan, Marukin Phanmakon dan bekas perunding skuad negara, Seksan Tubtong.

TANAPHON Sapyen (kanan) melepaskan rejaman gulung yang melolosi palangan Noraizat Nordin dalam perlawanan akhir berpasukan Piala Asia Astaf 2025 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur. - Kredit foto: ST
Kebanyakan mereka yang berkhidmat dengan pasukan keselamatan Thailand didapati baru beraksi dalam Sukan Angkatan Tentera Thailand Ke-55 yang turut berupa pentas pemanas badan terdekat mereka menjelang King’s Cup.
King’s Cup - rebutan acara kemuncak berpasukan - merupakan anjuran TAT dengan status Kejohanan Dunianya telah ditauliahkan oleh Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) pada Disember 1992.
Malaysia pernah merampas King’s Cup dua kali iaitu pada 1985 dan 1988 di Bangkok, masing-masing ketika dikendalikan Hassan Sulaiman dan Haris Abdul Rahman.
Edisi ke-37 di Korat pada 8 September 2024 lalu menyaksikan tuan rumah mempertahan kejuaraan dengan kemenangan 2-0 (4-15, 15-3, 15-11), (13-15, 9-15) terhadap Malaysia.

HAMPIR 30 negara ahli gabungan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dijangka menyertai edisi ke-38 ini. - Kredit foto: TAT

SUTTHIKIART Panseankaew (kiri) dan Jakkrit Thinbangbon (14) kalah final regu kepada Malaysia sebagai perejam dan tekong gantian namun bangkit memenangi acara berpasukan Piala Asia Astaf di Kuala Lumpur. - Kredit foto: ST
Pada 1 hingga 4 Jun 2025 lalu, Si Gajah Putih memboikot Kejohanan Jemputan Sepak Takraw Antarabangsa China-ASEAN di Huishui kerana mendakwa gelanggangnya licin dan mampu mengancam keselamatan para pemainnya termasuk kategori wanita.
Siriwat, Kritsanapong, Sankhai, Marukin dan Seksan sekadar makan angin di Gimnasium Zaide, Huishui gara-gara keengganan pengurus pasukan, Suebsak Phunsueb membenarkan mereka bermain dalam acara regu dan kuadran (berempat).
Tanpa mereka, Malaysia yang hanya mengutus Belia Sukma Pulau Pinang yang muncul naib juara regu setelah ditewaskan Myanmar 9-15, 17-16, 8-15 dalam pertarungan sejam.
Thailand turut membolot gelaran beregu dan kuadran Piala Dunia Istaf di Bihar, India pada 23 dan 25 Mac 2025 lalu menerusi gandingan Kritsanapong, Pornthep, Phutawan, Thawisak dan Rachan serta Seksan setelah menumpaskan Malaysia dan Myanmar. - KitaReporters
