Seni & Sukan 12 May, 2025

Tentang siapa? Tentang Dia! Tentang Cinta! Tentang festival muzik! Andmesh, Ziva, Hael, Adira, Mary!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: farizaum@yahoo.com

Share this


Kira-kira 20 tahun lalu, ‘Tentang Dia’ menjadi antara filem drama romantis Indonesia yang hangat apatah lagi lagu dengan judul sama karya dan nyanyian Melly Goeslaw feat Evan Sanders memperoleh anugerah Lagu Terbaik Di Dalam Movie pada MTV Indonesia Movie Awards 2005, menambahkan lagi populariti filem dan lagu tersebut.

Terkini, ada pula ‘Tentang Cinta’ namun bezanya ia adalah judul bagi sebuah festival muzik yang bakal melabuhkan tirainya pada 9 Ogos 2025, jam 8 malam di Sabah International Convention Centre (SICC). Kota Kinabalu, Sabah.

Acara mega ini bukan sekadar konsert biasa, malah dijanjikan sebagai gabungan penuh magis elemen cinta, muzik dan persembahan bertenaga daripada barisan artis popular serantau - Indonesia dan Malaysia.

Merupakan cetusan idea Extreme Visionary Venture dengan kerjasama Tourism Malaysia, serta turut mendapat sokongan padu daripada rakan strategik Fazbuzz Events & Media Sdn. Bhd dan platform penjualan tiket rasmi, Ticket2U, Festival ‘Tentang Cinta’ bakal menampilkan nama-nama besar dalam industri muzik.




Dari seberang, penyanyi sensasi Indonesia yang cukup sinonim dengan lagu-lagu cinta menyentuh jiwa seperti 'Cinta Luar Biasa',  Andmesh Kamaleng, diundang bersama bintang 'Indonesian Idol Musim Ke-10', Ziva Magnolya, yang mula mencuri tumpuan dengan vokal memukaunya serta teknik 'riffs & runs' yang unik. 

Ziva, yang pernah meraih tempat ketiga dalam rancangan realiti popular itu, juga dikenali menerusi kolaborasi antarabangsa bersama Jeremy Passion manakala kejayaan single-single hits seperti 'Terlukis Indah' serta 'Peri Cintaku' mendapat sambutan hangat di Indonesia dan Malaysia.

Beliau juga telah menerima pelbagai anugerah muzik berprestij di Indonesia. 

Turut menyerikan acara sudah tentu artis-artis terkenal tanah air seperti Hael Husaini, Ara Johari, serta dua bintang dari Sabah yang kini menyerlah di pentas nasional, Adira Suhaimi dan Mary Grace. 

Menurut Penerbit Konsert, Dato’ Suhaila Semaru, penganjuran konsert ini bukan sahaja bertujuan untuk hiburan, malah memberi impak kepada industri pelancongan negeri.

Ia merupakan inisiatif untuk menyatukan cinta dan muzik serta menjadikan Sabah sebagai destinasi hiburan yang dinamik, selain memperkenalkan bakat tempatan kepada khalayak yang lebih luas.


Kiri: Mary Grace, Juara Calpis Soda One In A Million dan Adira antara dua penyanyi kelahiran Sabah yang popular.


"Festival Tentang Cinta adalah sebuah inisiatif yang lahir daripada semangat untuk menyatukan cinta dan muzik dalam satu pengalaman yang penuh makna. Kami berhasrat menjadikan Sabah sebagai destinasi hiburan yang dinamik serta platform untuk memperkenalkan bakat-bakat tempatan seperti Adira dan Mary Grace kepada khalayak yang lebih luas," ujar beliau sambil  menekankan peranan festival ini dalam merancakkan industri seni dan hiburan Sabah.

Kerjasama erat dengan Tourism Malaysia juga dilihat sebagai usaha proaktif untuk memperkasa pelancongan domestik melalui penganjuran acara berskala besar yang mampu menarik pengunjung dari dalam dan luar negara.

“Melalui gabungan unsur seni dan kecemerlangan artis tempatan, festival ini menjadi titik tumpuan yang memikat pelancong dari pelbagai rantau, termasuk pelawat antarabangsa, serta membantu membuka pintu kepada peluang baharu dalam industri seni dan hiburan Sabah,” tambah Suhaila Semaru.

Tiket-tiket 'Festival Tentang Cinta' sudah  didapati secara dalam talian.

Jadi bagi mereka yang jiwanya masih bergelora dengan cinta atau yang sentiasa ada cinta dalam hati, jangan lepaskan peluang untuk meraikan cinta melalui bahasa universal muzik di SICC Kota Kinabalu Ogos ini. - KitaReporters



9
16
0
5
0
You will be interested