.

KEHADIRAN pemain warisan mantapkan pasukan Malaysia. - Kredit foto: FAM
IBARAT rumah siap, pahat berbunyi!
Ketika penyokong Harimau Malaya masih meraikan kemenangan Malaysia ke atas Vietnam pada aksi kelayakan bola sepak Piala Asia 2027 pada 10 Jun, 2025, misteri kehadiran pemain warisan dalam skuad negara itu juga rancak dibincangkan.
Bukan sahaja ia menjadi topik bualan dalam kalangan penyokong tempatan, ia juga menarik perhatian komuniti bola sepak antarabangsa khususnya di Asia Tenggara.
Apa yang mencetuskan keraguan mereka adalah keabsahan beberapa pemain terutama yang datang dari negara Amerika Latin, Brazil dan Argentina.
Untuk rekod, tiga pemain warisan, Imanol Machuca, Facundo Garces dan Rodrigo Holgado lahir di Argentina sementara Joao Figueiredo berasal dari Brazil dan Jon Irazabal pula kelahiran Sepanyol.

LAPORAN BH Online
Mereka meragui dan mahu tahu susur galur keluarga yang mengaitkan pemain-pemain berkenaan dengan negara Malaysia sehingga layak menyarung jersi Harimau Malaya atas tiket pemain warisan.
Selain menjadi persoalan kalangan peminat tempatan, pihak luar terutama dalam kelompok negara Asia Tenggara turut berminat ‘menjaga tepi kain’ skuad Harimau Malaya apabila FAM berjaya mendaftarkan tujuh pemain warisan dari pelbagai negara.
Penyokong Indonesia antara yang lantang memainkan isu ini malah secara terang-terangan menuduh Malaysia membeli pemain dan meminta Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menyiasat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

PEMAIN warisan Malaysia (dari kiri)- Rodrigo Holgado, Jon Irazabal, Joao Figueiredo dan Imanol Machuca.
Salah seorang peminat menerusi platform X menulis: "Saya percaya seratus peratus tidak ada seorang pun pemain Argentina ini mempunyai datuk atau nenek Malaysia atau berlatar belakang Malaysia.
"Mereka sedang membeli pemain. Sudah pasti FIFA akan melarang mereka jika menerima bantahan negara ASEAN," tulisnya.
Penyokong Vietnam juga meluahkan keraguan mengenai status sebenar pemain warisan Harimau Malaya.
"Dahulu kami mengkritik Indonesia kerana naturalusasi tetapi setidak-tidaknys pemain mereka mempunyai asal usul yang jelas. Tetapi Malaysia, sukar dibuktikan," tulis seorang penyokong Vietnam.
Malah, menerusi satu video yang disiarkan saluran Tendangan Bebas, persoalan yang sama turut dimainkan dengan menyelitkan keratan berita media Sepanyol yang kononnya turut meragui kesahihan status Garces sebagai pemain warisan tulen Malaysia.

ZULAKBAL ABD KARIM
Mengulas isu berkenaan, Profesor Madya Sains Kejurulatihan Universiti Pendidilkan Sultan Idris (UPSI), Dr Zulakbal Abd Karim menegaskan soal keabsahan pemain-pemain warisan itu tidak perlu dipolemikkan oleh mana-mana pihak kerana badan tertinggi bola sepak dunia, FIFA memberi lampu hijau untuk mereka mewakili Malaysia.
“Sebagai pentadbir nombor satu bola sepak dunia, sudah pasti FIFA meneliti permohonan FAM itu dengan terperinci sebelum meluluskannya.
“Saya yakin ia bukan proses yang mudah. FAM sebagai pihak yang memohon sudah tentu melakukannya mengikut peraturan ditetapkan oleh FIFA dan badan bola sepak dunia itu pula bukan sewenang-wenangnya meluluskan.
“Banyak proses perlu dilalui membabitkan pelbagai dokumentasi bagi memastikan pemain-pemain itu benar-benar layak mewakili Malaysia.
“Apabila permohonan itu diluluskan oleh FIFA, ia tidak perlu diragui atau dipertikaikan lagi oleh sesiapa pun sama ada penyokong tempatan atau luar negara. Kalau kita benar-benar faham, perkara ini tidak akan dijadikan isu ," katanya.

DEMI Malaysia!
Beliau yang juga pemegang Diploma Kejurulatihan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagaimanapun menyarankan agar FAM menerusi jawatankuasa komunikasi media tampil menjawab isu berkenaan bagi mematikan terus sebarang keraguan peminat terhadap keabsahan pemain warisan.
“FAM tidak boleh mengambil sikap berdiam diri dan membiarkan peminat terus bercakap mengenainya. Selagi mereka tidak menjelaskan, orang akan terus tertanya-tanya sehingga mencetuskan keraguan.
“Inilah peranan pasukan media FAM. Bila peminat ada keraguan, mereka patut segera tampil menjelaskan. Apabila mereka berdiam diri, orang akan beranggapan FAM tidak berani mendedahkan kerana mahu menyorokkan sesuatu.
“Keadaan itulah yang menyebabkan timbul pelbagai cerita tidak enak yang boleh mencemarkan imej FAM. Walaupun FIFA dah luluskan tapi kita tidak boleh menafikan hak peminat untuk ambil tahu,” tegasnya lagi.

JOAO FIGUEIREDO mula menambat hati rakyat Malaysia dengan semangat dipamerkan pada perlawanan menentang Vietnam. - Kredit foto Malaysia NT.
Sejak isu itu dimainkan, FAM hanya mengambil sikap membungkam kecuali mengeluarkan kenyataan bahawa semua pemain warisan mendapat kelulusan daripada FIFA.
Mungkin sudah sampai masanya FAM menutup cerita ini dengan tampil memberi penjelasan. Ini bukan soal memuaskan hati semua pihak tapi demi menangkis tuduhan tidak berasas yang dilemparkan kepada badan induk itu.
Malah, mungkin selepas mengetahui susur galur pemain-pemain warisan itu, penyokong terutama yang selama ini menentang kehadiran mereka akan mula menyayangi dan menyokong bintang-bintang berkenaan.
Apatah lagi mereka sudah buktikan bahawa walaupun sekadar pemain warisan (penyokong yang nakal menggelar mereka sebagai Harimau Jadian) tapi memberi sepenuh jiwa raga ketika pertama kali menyarung jersi Harimau Malaya sehingga mampu menundukkan Vietnam 4-0! - KitaReporters
