BUKANNYA setahun dua, tetapi selepas 40 tahun ditubuhkan maka barulah kini kumpulan thrash metal legenda, Testament berpeluang mengadakan konsert pertama mereka di negara ini.
Kumpulan berasal dari Berkeley, California, Amerika Syarikat (AS) yang ditubuhkan pada 1983 itu pastinya mampu mengubat rindu dendam para peminat tempatan menerusi konsert sulung mereka pada 30 September 2023 ini.
Konsert Testament 'Live In Kuala Lumpur' anjuran LampuNeon yang akan diadakan di Zepp, Bukit Bintang, Kuala Lumpur (KL) pukul 8.30 malam itu diadakan selepas mereka menghasilkan 13 buah album yang keseluruhan jualannya mencecah 14 juta unit di seluruh dunia sejak 1987.
Malah, Testament yang dianggotai Chuck Billy selaku vokalis, Eric Peterson (gitaris), Alex Skolnick (gitaris), Steve Di' Girgio (bassis) dan Chris Dovas (dram) itu juga tentunya turut teruja beraksi secara 'live' di sini.
Selain Malaysia, Testament turut beraksi di beberapa buah negara di Asia Tenggara termasuk Filipina, Singapura dan Indonesia yang mana ini juga merupakan konsert mereka yang pertama mereka di rantau ini.
TESTAMENT (dari kiri) Alex Skolnick, Chuck Billy, Eric Peterson dan Steve Di' Girgio.
Testament mula menghasilkan album pertama bertajuk The Legacy pada 1987 dan yang ke-13 berjudul Last Titans of Creation (2020).
Tiket-tiket untuk menyaksikan konsert Testament itu berharga dari RM330 sehingga RM750. Ia boleh dibeli melalui dalam talian ataupun di pintu masuk lokasi konsert tersebut. Sebarang maklumat untuk pembelian tiket sila layari laman sesawang www.myticketempire.com - KitaReporters