IMPIAN seorang pemuda untuk bekerja di Kuala Lumpur dengan berkelulusan Ijazah terpaksa dilupakan demi menjaga neneknya yang telah uzur dan kini menjual coconut shake untuk kelangsungan hidup telah mendapat perhatian sehingga menjadi tular.
Menerusi video yang dimuat naik oleh pengguna media sosial bernama @kericoconutshake, beliau meluahkan rasa cemburu melihat rakannya yang telah mendapat pekerjaan setelah tamat belajar serta memasang impian bekerja sebagai pegawai bank di Kuala Lumpur.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan aktiviti berniaga minuman
“Cemburu melihat rakan-rakan di luar sana berkongsi sudah mendapat pekerjaan apabila tamat ijazah. Alhamdulillah mereka dapat kerja bila dah habis belajar.
“Bila tanya mak boleh saya nak pergi KL sambung belajar lalu mak akan menjawab kalau saya ke KL siapa yang akan membawa nenek untuk ke klinik. Tidak mengapa la saya duduk di kampung jual coconut shake boleh bawa nenek pergi klinik,” kongsinya.
Meninjau dalam ruangan komen, pengguna media sosial turut rasa sebak mengenang pengorbanan pemuda itu menjaga keluarga serta menitipkan kata semangat agar terus cekal dan yakin rezeki itu terbentang luas.
“Jangan risau abang, ada orang rezeki dia dapat kerja elok dapat sumbang dari segi duit, ada orang pula rezeki dapat berbakti kepada ibu bapa sumbang dari segi tenaga,” ujar @Syira.
“Semoga murah rezeki selalu Keri, banyak pahala kamu jaga nenek dan ibu,” kata @Shimbey.
“Biar nama kita tidak disebut oleh manusia kerana berjayanya kita asalkan nama kita disebut oleh malaikat kerana berbakti kepada orang tua kita,” jelas @MissLofa. - KitaReporters