Seni & Sukan 20 Oct, 2022

KRT berperanan lahirkan Keluarga Malaysia! Pelihara matlamat perpaduan! Bantu cegah kegiatan jenayah!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


SIKAP toleransi antara kaum terbesar di negara kita iaitu Melayu, Cina dan India menjadi pengalaman negara mengekalkan formula perpaduan dengan amalan bertolak ansur antara agama selama ini seharusnya dapat dikekalkan demi keamanan serta keharmonian seperti aspirasi Keluarga Malaysia bagi membolehkan kita duduk berbincang bersama-sama tanpa ada rasa perbezaan antara satu sama lain.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata justeru itu, melalui prinsip faham, hormat dan terima perlu dipupuk serta dipelihara di samping disemaikan kepada generasi muda yang bakal menjadi masyarakat pelapis supaya dapat kekalkan kehidupan dalam suasana harmoni seperti sekarang.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan  Kawasan Rukun Tetangga (KRT) 

Superintendan Suffian Abdullah


Menurutnya, sehubungan itu juga kepimpinan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) perlulah berfikir ke hadapan dan menggalas peranan dengan penuh rasa bertanggungjawab bagi memastikan matlamat perpaduan negara terus terpelihara selain tercapai segala matlamat khusus bagi melahirkan rakyat Malaysia yang saling hormat menghormati.

Jelas beliau, seiring dengan perubahan zaman dan gaya hidup semasa, tanggungjawab dan fungsi KRT turut mengalami perubahan, daripada hanya mengawal keselamatan kawasan kediaman, peranan KRT turut diperluas dalam membantu pihak Polis Diraja Malaysa (PDRM) menguatkuasakan undang-undang dan mencegah sebarang kegiatan jenayah serta masalah sosial.

“Peranan KRT adalah bersifat sukarela, ianya amat signifikan kepada negara sebagai peneraju keharmonian, keselamatan dan kesejahteraan kerana itu ahlinya perlu teruskan komitmen bagi memperkasakan komuniti, semangat cintakan negara perlulah mendahului semua agenda lain apatah lagi perkara-perkara yang boleh memecahbelahkan masyarakat di negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutupan Kursus Pengurusan dan Pentadbiran KRT Daerah Hulu Selangor 2022, di Auditorium Institiut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Pertak, Ampang Pecah di Kuala Kubu Bharu, Selangor pada 16 Oktober 2022.


Superintendan Suffian Abdullah (barisan depan enam dari kanan) merakamkan kenangan bersama peserta Kursus Pengurusan dan Pentadbiran KRT Daerah Hulu Selangor 2022, pada 16 Oktober 2022.


Seramai 156 peserta termasuk urus setia mengikuti kursus sehari berkenaan yang dianjurkan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Daerah Hulu Selangor.

 Peserta kursus terdiri daripada pengerusi dan setiausaha mewakili setiap cawangan KRT seluruh Daerah Hulu Selangor yang telah dijemput JPNIN Daerah Hulu Selangor bagi tujuan memberi pendedahan serta memantapkan lagi pengurusan setiap cawangan.

Suffian yang baru 47 hari bertugas sebagai Ketua Polis daerah itu merakamkan penghargaan kepada JPNIN Daerah Hulu Selangor yang sudi menjemput beliau pada kursus berkenaan yang diibaratkan sebagai salam perkenalan untuk semua wakil cawangan KRT yang hadir.



Sementara itu, Penolong Pegawai JPNIN Daerah Hulu Selangor, Azali Md Sidek, berkata, tujuan kursus itu diadakan adalah bagi meningkatkan tahap kecekapan tadbir urus dan keberkesanan organisasi Rukun Tetangga serta memperkukuhkan kepemimpinan Jawatankuasa Rukun Tetangga sebagai tonggak perpaduan dalam komuniti selaras dengan Pelan Pemerkasaan Kepimpinan Komuniti Rukun Tetangga 2021-2030 dan Gerak Kerja Komuniti Rukun Tetangga tahun 2022.

Menurutnya, langkah itu penting kerana bersesuaian dengan suasana sekarang penuh dengan cabaran dan walaupun sebagai pertubuhan sukarela namun memerlukan tindakan profesional dalam menangani sesuatu isu komuniti sebelum diajukan kepada pihak berkenaan untuk tindakan lanjutnya. 

“Kita juga mahukan komuniti faham dan boleh membantu mereka dalam menyelesaikan sesuatu perkara berbangkit menerusi perbincangan terlebih sebelum diketengahkan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.

”Saya mengucapkan terima kasih atas kerjasama semua pihak dan wakil cawangan KRT yang hadir pada kursus ini serta berharap kepemimpinan Rukun Tetangga dapat menggalas peranan dengan penuh tanggungjawab bagi memastikan matlamat perpaduan negara tercapai,” ujarnya. - KitaReporters


Sebahagian peserta Kursus Pengurusan dan Pentadbiran KRT Daerah Hulu Selangor 2022 yang berlangsung di IKBN, Pertak, Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu, Selangor.

_____________________________  

25
8
0
13
0
You will be interested