Pemain pasukan Perumahan Awam Labis yang menjuarai acara futsal akan mewakili DUN Tenang ke Sukan Bangsa Johor yang akan berlangsung di Muar pada 22 dan 23 Oktober 2022.
LEBIH 300 orang belia memeriahkan Sukan Bangsa Johor Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang bagi merebut Piala ADUN Tenang serta hadiah wang tunai dalam empat acara sukan yang dipertanding selama dua hari pada 14 dan 15 Oktober 2022 sempena Hari Sukan Negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Haslinda Salleh berkata, acara sukan yang dipertanding adalah bola keranjang, sepak takraw, futsal dan bola jaring.
Pemenang setiap acara akan dipilih mewakili DUN Tenang ke Sukan Bangsa Johor Peringkat Negeri Johor yang akan berlangsung di Muar pada 22 dan 23 Oktober 2022.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan ADUN Haslinda Salleh
Haslinda Salleh (tiga dari kiri) bergambar bersama pemenang acara bola keranjang Sukan Bangsa Johor peringkat DUN Tenang.
"Melihat kepada semangat yang dipamerkan oleh para peserta dalam semua acara yang dipertanding, saya yakin mereka yang terpilih untuk mewakili DUN Tenang ini mampu memberi saingan kepada pasukan DUN-DUN lain pada Sukan Bangsa Johor Peringkat Negeri itu nanti.
"Saya juga berharap mereka yang terpilih nanti menggunakan peluang tersebut untuk menonjolkan bakat mereka memandangkan rata-rata mereka masih muda dan berpeluang untuk pergi lebih jauh dalam bidang sukan," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang acara bola jaring di Dewan Serbaguna Pekan Ayer Panas, Labis, Johor.
Katanya, selain peluang menonjolkan bakat melalui acara sukan yang disertai, peserta juga perlu menggunakan kesempatan yang ada untuk menjalin hubungan serta berkongsi pengalaman dan pandangan termasuk mengintai peluang dalam bidang ekonomi serta kerjaya sesama mereka.
Menurutnya, peserta tidak harus melihat penganjuran Sukan Bangsa Johor ini sebagai satu medan untuk mereka bersaing dalam acara sukan yang disertai semata-mata, sebaliknya perlu dilihat dalam sudut pandang yang lebih luas sebagai platfom terbaik untuk mereka bergerak ke hadapan bagi memajukan diri dalam semua aspek pembangunan diri yang mencakupi semangat setiakawan dan displin.
Dalam masa sama beliau turut berharap penganjuran Sukan Bangsa Johor pada masa akan datang di DUN Tenang akan berjaya menarik penyertaan lebih ramai belia dalam kalangan bukan Melayu bagi memastikan agenda menyemai semangat perpaduan dalam kalangan penduduk berbilang bangsa melalui aktiviti sukan dapat disemarakan lagi.
"Selain berharap penganjuran Sukan Bangsa Johor ini dijadikan sebagai acara tahunan, saya juga mencadangkan agar acara sukan yang dipertanding pada penganjuran akan datang dapat ditambah bagi memberi peluang kepada semua golongan masyarakat secara lebih menyeluruh.
"Penganjuran pada masa akan datang juga harus mempertimbangkan untuk menganjurkan satu atau dua acara 'indoor game' yang dikhususkan penyertaanya kepada golongan orang kelainan upaya (OKU)," katanya. - KitaReporters