Seni & Sukan 30 Sep, 2022

Bikers Keluarga Malaysia santuni warga emas! Anita Bikers Club lawati Pusat Jagaan Insan, Semenyih!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


ANITA Bikers Club, yang tidak asing lagi dalam kalangan peminat dunia permotoran di samping terkenal dan sinonim dengan program kebajikan, menyantuni warga emas di Pusat Jagaan Insan yang terletak di Taman Tasik Semenyih, Semenyih, Selangor pada 25 September 2022 lalu.

Kunjungan mereka itu dianggap tepat pada masanya bagi membantu serta memberi sokongan kepada pusat jagaan berkenaan yang baru sahaja beroperasi bermula pertengahan Ogos 2022 bagi menempatkan warga emas yang memerlukan penjagaan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan keab Anita Bikers Club

Muhammad Syafiq Mohiadin (depan) memberi taklimat mengenai pusat jagaan berkenaan yang baru beroperasi kepada ahli ANITA Bikers Club.


Presidennya, Anita Yusop, berkata kelab itu yang dianggotai ramai dalam kalangan golongan profesional dan mereka yang berjawatan dalam agensi kerajaan, badan berkanun serta swasta sudah memasuki siri ke-53 dalam pelbagai program misi bantuan kemanusiaan dan kebajikan seluruh negara sejak 2010.

Menurutnya, kunjungan ke pusat jagaan berkenaan adalah siri ke-54 bagi membantu serta menyantuni mereka dalam golongan asnaf, miskin dan warga emas yang memerlukan pembelaan dan bantuan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Jelasnya, misi bantuan itu akan diteruskan pada Oktober 2022 nanti bagi menyantuni warga Persatuan Cina Muslim Borneo yang mendapat kerjasama dan kelolaan ‘Rider’ di Sabah, Sarawak, Labuan dan Brunei.


Anita Yusop menghulurkan sumbangan ANITA Bikers Club kepada Muhammad Syafiq Mohiadin.


“Misi bantuan kemanusiaan serta program kebajikan ini antara lain bagi menyampaikan mesej kepada umum bahawa masih ada dalam kalangan masyarakat yang masih memerlukan pembelaan bagi meringankan bebanan hidup terutama mereka berkeluarga dan menjadi tanggungjawab kita semua untuk menolong,” katanya.

Dalam kunjungan ke pusat jagaan berkenaan Anita hadir bersama-sama beberapa rakan artis serta ahli ‘Bikers’ dari pelbagai kelab yang bergotong-royong membersihkan kawasan di samping beramah mesra dengan warga emas di pusat itu.


Anita (berdiri, empat dari kiri) dan Muhammad Syafiq (berdiri, tiga dari kiri) merakamkan kenangan bersama ahli kelab dan warga emas yang menghuni pusat jagaan berkenaan pada 25 September 2022.


Sementara itu pihak pengurusan pusat jagaan berkenaan berasa bertuah apabila dikunjungi Keluarga Malaysia iaitu Anita Bikers Club dan ‘Riders’ yang lain bagi menyantuni warga emas di situ selepas sebulan lebih beroperasi. 

Pengerusinya, Muhammad Syafiq Mohiadin, berkata kunjungan ahli kelab berkenaan memberi suntikan semangat kepada mereka untuk terus berusaha gigih membela nasib warga emas yang menghuni pusat jagaan berkenaan bagi memikul amanah menjaga golongan itu sehingga akhir hayat mereka.


Ahli-ahli Anita Bikers Club bergotong-royong mengecat pagar Pusat Jagaan Insan.


Menurutnya, kunjungan Anita itu sendiri membuka peluang kepada dia untuk berkongsi pengalaman dan ilmu kerana bersama kelabnya beliau sudah mengunjungi banyak negeri dalam misi kemanusiaan membantu mereka yang memerlukan bantuan.

Jelasnya, sudah pasti dalam misi itu Anita bersama-sama ahlinya tentu sudah peka dan memahami masalah yang dihadapi mereka dalam kalangan asnaf, miskin serta warga emas yang akan dia jadikan panduan sepanjang mengendalikan pusat jagaan berkenaan.  


Muhammad Syafiq dengan dibantu sukarelawan membersihkan halaman pusat jagaan berkenaan yang dipenuhi semak samun pada Ogos 2022 lalu.


Beliau berkata, ketika memulakan operasi pusat jagaan itu dia terpaksa meminta bantuan beberapa sukarelawan bagi melakukan kerja gotong-royong membersih semak samun sekitar halaman serta dalam rumah banglo berkenaan yang sudah lama terbiar. 

“Saya terdetik untuk membuka pusat jagaan ini apabila selalu mengikuti perkembangan semasa menerusi media sosial mengenai warga emas yang hidup terbiar atau tidak dapat diuruskan dengan sempurna oleh ahli keluarga kerana beberapa faktor.

“Atas dasar keprihatinan serta aspirasi Keluarga Malaysia saya bersama saudara iaitu Rafiq Aizuddin Rohimi bersetuju untuk berganding bahu membuka pusat jagaan ini yang juga menjadi mesej kepada umum bahawa ada tenaga muda ambil peduli nasib warga emas.

“Saya mengalu-alukan kepada pelbagai pihak dan mereka yang ingin menghulurkan sumbangan, melakukan aktiviti amal kebajikan dan sebagainya bagi membantu warga emas di pusat ini. Mereka boleh menghubungi nombor telefon saya 017-3786804 atau 013-5456880 (Rafiq),” katanya. - KitaReporters

Pegawai Tugas-Tugas Khas Yayasan Budi Ihsan Malaysia, Muhamad Hizal Mustafa mengagihkan makanan tengah hari kepada sukarelawan ketika kerja gotong-royong membersihkan pusat jagaan itu.

30
12
1
13
0
You will be interested