KEKALAHAN pemain badminton profesional negara, Lee Zii Jia pada pusingan pertama Terbuka Malaysia 2023 pada Rabu, 11 Januari, 2023 membuka mata banyak pihak serta mencetuskan kebimbangan dalam kalangan peminat mengenai prestasi dan masa depan pemain itu.
Walaupun dia menyatakan gangguan angin sebagai alasan kekalahan 21-13, 17-21, 19-21 kepada pemain kurang ternama Jepun, Kodai Naraoka namun peminat tidak melihat ia sebagai punca.
Sebaliknya mereka percaya Zii Jia kini kehilangan arah tanpa bimbingan jurulatih selepas dia menamatkan perkhidmatan Indra Wijaya sejak November 2022 lalu.
Malah, ramai peminat mendesak agar Zii Jia menimbang kembali keputusan untuk tidak menggunakan khidmat jurulatih sebaliknya sekadar menjadikan pemain, Liew Darren sebagai rakan sepelatih di samping mengekalkan kakaknya, Lee Zii Yii sebagai pengurus, Sandra Fiedler (fisioterapi) dan jurulatih kecergasan, Lim Joe Heang.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pemain badminton Lee Zii Jia
LEE Zii Jia tewas 21-13,17-21,19-21 kepada pemain Jepun, Kodai Naraoka pada pusingan pertama Terbuka Malaysia. - Kredit foto: BAM
Bagi penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli, apa yang dibimbangi peminat ada asasnya malah beliau sendiri tertanya-tanya mengapa pemain nombor dua dunia berkenaan mengambil keputusan drastik itu sedangkan sebagai pemain profesional, khidmat seorang jurulatih adalah antara elemen yang sangat penting.
“Sepatutnya, sebagai pemain profesional, Zii Jia sudah benar-benar faham tentang erti profesional. Bukan sekadar status, tapi implementasinya juga kena profesional. Banyak faktor perlu diberi perhatian.
“Ia adalah sesuatu yang merugikan jika berstatus profesional tapi tidak mengikut etika profesional. Salah satu elemen penting dalam disiplin profesional adalah menggunakan khidmat jurulatih, bukan sekadar jurulatih tapi seorang yang benar-benar berkualiti untuk membimbingnya.
PEKAN Ramli anggap Lee Zii Jia sebagai harapan untuk memenangi emas Sukan Olimpik 2024.
“Tapi, apabila anda mengambil keputusan untuk tidak menggunakan khidmat jurulatih, secara tidak langsung anda sudah melanggar etika sebagai profesional. Zii Jia kena ingat, ini bukan sukan riadah seperti memancing yang tak perlu bimbingan sesiapa.
“Dalam sukan seperti badminton, seseorang pemain bukan sahaja perlukan jurulatih untuk melatih tapi juga bertindak sebagai pembimbing serta pendorong terutama semasa perlawanan kerana beliau yang nampak apa kelemahan pemain untuk diperbaiki secara segera serta menyusun strategi untuk mengalahkan lawan,” ujar Pekan.
Menurut Pekan, selepas bergelar profesional, karier
Zii Jia sepatutnya lebih baik berbanding ketika bersama BAM (Persatuan
Badminton Malaysia) tapi apa berlaku adalah sebaliknya malah beliau melihat
prestasi pemain itu kini menurun.
Zii Jia, 25, mencetuskan kontroversi apabila meninggalkan BAM untuk bergelar pemain profesional pada Januari 2022 selepas menjuarai perseorangan Seluruh England 2021. Namun kontroversi itu ternyata tidak menjejaskan prestasinya apabila muncul juara Asia dan Terbuka Thailand.
Namun, prestasi Zii Jia mula goyah selepas mengalami siri penyingkiran awal pada beberapa pertandingan antarabangsa termasuk pada Kejohanan Dunia. Dia juga gagal melayakkan diri ke pusingan akhir Sirkit Dunia selepas hanya menduduki tangga kesembilan.
ZII Jia menamatkan khidmat Indra Gunawan sebagai jurulatihnya pada November 2022. - Kredit foto: BH
Jika prestasi Zii Jia terus merudum, ia akan memberi tekanan dan penaja mungkin akan menarik diri.
Pekan tidak pasti apakah punca Zii Jia enggan menggunakan khidmat jurulatih tapi menasihati pemain itu agar menimbang semula keputusan itu demi masa depannya.
“Saya tidak pasti adakah ia berpunca kerana masalah kewangan atau masalah lain tapi kita sudah nampak implikasinya. Nasihat saya, Zii Jia perlu bertindak segera sebelum terlambat kerana kariernya kini dalam bahaya.
“Zii Jia kena ingat, jika prestasinya terus merudum dan tidak mencapai keputusan diharapkan, ia bukan sahaja akan memberi tekanan ke atas dirinya malah penaja juga mungkin akan menarik diri.
“Jika ini berlaku, Zii Jia akan menghadapi kesukaran untuk meneruskan kariernya. Ia juga secara tidak langsung menjejaskan peluang Malaysia untuk memenangi pingat emas pertama pada Sukan Olimpik 2024 kerana setakat ini dia adalah sandaran terbaik sukan badminton,” kata Pekan lagi.
Malah, menurut Pekan, jika tidak ada lagi jalan keluar kepada Zii Jia, dia seharusnya tidak berasa malu untuk berpatah balik ke pangkuan BAM.
“Ia mungkin jalan terakhir yang perlu dilakukan oleh Zii Jia jika tidak ada lagi pilihan. Buat masa ini, masih belum terlambat untuk dia memperbaiki apa saja kekurangan dan perbetulkan apa yang tak betul. Jadilah pemain profesional dalam erti kata sebenar,” katanya. - KitaReporters
LEE Zii Jia menjuarai Kejohanan Seluruh England pada 2021. - Kredit foto: BAM