Seni & Sukan 05 Jan, 2025

Video| Tular peniaga jual racun bunuh kera! Tiz Zaqyah suarakan pendapat! Takkan setuju sama sekali!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this


Awal tahun baharu 2025 tular satu video menunjukkan seorang peniaga lelaki menjual secara terbuka dalam media sosial racun untuk membunuh monyet, kera, babi dan haiwan perosak lain yang merosakkan tanaman.

Pelbagai cara digunakan olehnya termasuk memasukkan racun ke dalam makanan seperti ais krim, pisang dan roti. Malah, dia menunjukkan cara menggunakan racun tersebut kepada orang ramai.



Tindakan peniaga tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen. 

Ada yang bersetuju dengan tindakan lelaki tersebut terutama yang pernah mengalami kerugian akibat tanaman mereka dirosakkan oleh haiwan-haiwan ini. 

Ada juga mengecam sikap peniaga berkenaan yang dianggap terlalu kejam. Mereka menyarankan agar menggunakan kaedah lain yang lebih berperikemanusiaan.

Laporan polis juga telah dibuat kerana ia dikatakan melanggar Akta Perlindungan Hidupan Liar serta mendatangkan bahaya kepada manusia.



Sementara itu, pelakon popular, Tiz Zaqyah turut bersuara mengenai perkara tersebut. Dia menyuarakan pendapat dalam media sosialnya. Pelakon yang terkenal dengan drama bersiri Nur Kasih ini, tidak setuju sama sekali cara yang digunakan oleh peniaga tersebut. 

Dalam Instagramnya, Tiz berkongsi gambar-gambarnya ketika bercuti di Kuala Selangor sedang bermain dan memberi makan kepada monyet dan kera liar di sana yang jinak.

“Macam mana kau sanggup bagi racun bunuh haiwan ni? Ada cara baik, guna cara baik. Insya-Allah, mereka inipun kan ciptaan Allah. Kita sama-sama kongsi dunia. 

"Aku tak akan setuju sama sekali, maaf. Kau kejam. Silap-silap manusia pun kau tak risau nak bagi racun,” tulisnya geram.



Pendapat Tiz itu turut mendapat pelbagai reaksi daripada netizen. Seperti dijangka, ada yang setuju dan sebaliknya. 

Seorang netizen yang tidak bersetuju mengajar pelakon ini duduk di kampungnya agar dapat merasa bagaimana suasana dan kesan buruk sekiranya masalah haiwan perosak ini tidak dibunuh.

“Mari duduk kampung saya kak. Nanti akak dapat tahu. Kereta akak calar, rumah kena masuk, tanaman hancur, piring Astro kena cabut, anak kucing kena bunuh disebabkan haiwan-haiwan ini. 

"Mari sini jadi sukarelawan tangkap mereka,” tulis netizen tersebut tanda tidak setuju dengan pendapat Tiz.



Manakala seorang lagi netizen berpendapat sebaliknya. Seperti juga Tiz, netizen ini menganggap apa yang berlaku puncanya datang daripada manusia sendiri yang menceroboh kawasan haiwan-haiwan liar.

“Betul! Sesetengah manusia buat dunia ini macam hanya manusia yang punya. Makhluk lain pun ada hak nak hidup. Dahlah manusia yang kacau habitat mereka, tebang segala pokok, pembangunanlah kononnya padahal bangunan berlambak dah. 

“Itu belum kira yang terbengkalai lagi lepas itu paling tak boleh blah marah, sampai sanggup bunuh apabila haiwan liar muncul depan mata. 

"Tiada beza spesis bunuh haiwan-haiwan yang tak berdosa ini dengan Z**nis. Dua-dua membunuh sebab yang dibunuh itu hanya existing kat habitat atau tanah mereka,” jelasnya.


 


Semoga perkara ini dapat diselesaikan dengan baik dan telus. 

Ibarat peribahasa Melayu berbunyi, bagai menghela rambut dalam tepung: rambut jangan putus, tepung jangan terserak. Ia bermaksud pekerjaan sulit yang harus dikerjakan dengan berhati-hati sekali. - KitaReporters



14
12
0
13
0
You will be interested