Seni & Sukan 04 May, 2025

Video| Bidaah makin ngetop! Disiar di Trans TV mulai 2 Jun 2025! Kedua ditayang selepas Upin & Ipin!

@fauzan uda ahmad
Bekerja dengan Utusan Malaysia dari 1985 hingga 1996. Menjadi wartawah hiburan, koresponden di Jakarta, Indonesia dan Ketua Meja Hiburan. juga bertugas dengan beberapa media lain

Share this
.


Stesen-stesen TV di Indonesia selalunya mengutamakan produk tempatan dalam siarannya. Untuk bahan luar negara, hanya bahan 'ngetop'  (paling popular) yang mempunyai kualiti dan menjadi pilihan ramai diambil untuk siaran.

Bahan dari Malaysia selama ini dipandang sebelah mata untuk disiar dalam TV Indonesia.

Cuma beberapa tahun ini siri animasi ‘Upin & Ipin’ diterima oleh MNC TV untuk disiar dalam stesen TV itu kerana popularitinya di Malaysia. 

Kesannya siri animasi ini menjadi ikutan terutama dari kalangan kanak-kanak. Bahasa asal dikekal dan hanya diberi sari kata bahasa Indonesia, sehingga beberapa perkataan dalam dialog asal menjadi ikutan.



Walid Muhammad bersama isteri-isteri yang dikahwininya secara batin

Kini satu lagi siri dari Malaysia akan ditayang di Indonesia. Drama ‘Bidaah’ menjadi pilihan Trans TV untuk ditayang mulai 2 Jun 2025. Ia akan mengekalkan bahasa asal dan hanya diberi sari kata bahasa Indonesia. 

Perjanjian siaran telah ditandatangani antara Erma Fatima selaku pemilik Rumah Karya Citra  dan Trans Media yang mengendalikan stesen TV, Trans TV dan Trans 7.

Erma mengesahkan perkara itu dalam temu bual dalam program bual bicara popular Trans TV, ‘Rumpi No Secret’ pada Rabu, 30 April 2025. 

Beberapa pelakon ‘Bidaah’ terutama pemegang watak Walid Muhammad iaitu Faizal Hussein mungkin akan dibawa ke Indonesia untuk promosi tayangan di Trans TV nanti.



Sementara itu, Erma dalam interbiu itu menyatakan ‘Bidaah’ bukan untuk memburukkan golongan agamawan.

Sebaliknya ia untuk mendedahkan kecurangan individu tertentu yang menggunakan agama untuk memuaskan nafsu zahir dan batin. Dengan mengamalkan ajaran sesat dia berjaya ‘melemah’ dan ‘menundukkan’ pengikut tertentu untuk mengikut telunjuknya.

Erma mengakui penggunaan pakaian walid itu dan beberapa babak membuat sejumlah pihak termasuk golongan agamawan membidas drama ‘Bidaah’.

Ketika ditanya hos rancangan, Fenni Rose apa reaksinya apabila ‘dihentam’ golongan agamawan, Erma menyatakan dia mengambil sikap hanya diam kerana tidak mahu berdebat dengan golongan yang lebih arif dalam agama.

Erma Fatimah (dua dari kiri) dalam rancangan bual bicara 'Rumpi No Secret' bersama hos Fenni Rose (kiri sekali)

Ketika ditanya  lanjut Fenni adakah ‘Bidaah’ adalah kisah benar, Erma menyatakan ia berdasarkan kisah benar cuma sebagai penulis skrip dan lakon TV (skenario) dia  melakukan penambahan untuk mencantikkan jalan cerita.

Tambah Erma, kisah yang dipapar banyak menyentuh mangsa-mangsa yang merupakan bekas pelajar Walid itu. Dan Erma mengakui watak Baiduri (lakonan Riena Diana) adalah dirinya yang turut berguru dengan Walid itu lebih 10 tahun lalu.

Menyentuh mengenai siri ‘Bidaah’ turut mendedahkan kelakuan sumbang yang dilakukan di pondok pesantren di Lombok, Erma bangga siri itu mampu membongkar kecurangan golongan agamawan yang ‘sesat’ di Indonesia.

Namun dia kesal kerana dalam siaran dialam media, gambar Walid dalam drama itu yang dipapar seolah-olah dialah yang melakukan kejahatan di pondok pesantren terbabit. Ia boleh memberi kesan negatif kepada pemegang watak Walid iaitu Faizal Hussein.



Tambah Erma, jika akan menerbitkan ‘Bidaah 2’, dia akan lebih berhati-hati dalam pelbagai segi agar tidak menyinggung perasan golongan agamawan yang sebenarnya.

Erma turut ditemu bual untuk siaran berita Trans TV CNN. 

Drama ‘Bidaah’ dikatakan ditonton oleh lebih 2.5 bilion dalam pengstriman Viu dan laman-lama media sosial di Indonesia dan Malaysia.

Tayangan di TV secara percuma akan memberi peluang lebih ramai rakyat Indonesia menonton kerana negara kepulauan terbesar di dunia ini mempunyai kira-kira 285  juta jiwa. Setelah ditayang di Trans TV, ‘Bidaah’ dijangka lebih popular di Indonesia.

‘Bidaah’ juga mungkin akan ditonton di TV Malaysia tidak lama lagi. Ini kerana drama yang sudah ditonton dalam pengstriman masih boleh disiar di TV setelah tempoh tertentu. - KitaReporters

Erma diwawancara untuk siaran berita Trans TV CNN

14
10
0
13
0
You will be interested